Seni & Sukan 30 Aug, 2024

Rai keindahan dan kepentingan seni lukis batik! MAG Bank Negara anjur pameran Batik: Melirik Larik!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


Batik merupakan sejenis seni kraf tangan yang unggul di Malaysia. Seni batik yang biasanya berunsurkan alam semula jadi dengan penggunaan corak flora dan fauna sudah mula dihasilkan sejak abad ke-15 Masihi lagi.

Menurut laman web Kraftangan Malaysia, batik didefinisikan sebagai hasilan kerja tangan tekstil yang menggunakan lilin sebagai bahan perantara untuk memisahkan atau halangan kepada kepelbagaian warna yang dicelup atau disapukan ke atas permukaan fabrik sama ada daripada jenis sutera atau kapas. Ia juga disebut wax resist dyeing dalam bahasa Inggeris.

Justeru, dalam usaha meraikan keindahan dan kepentingan budaya serta seni lukis batik, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) telah menganjurkan sebuah pameran seni yang berlangsung dari 20 Ogos sehingga 30 September 2024. 


PAMERAN Batik: Melirik Larik anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua dari kanan). Turut hadir Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (kiri) dan Pengarah BNM MAG, Noreen Zukepli.


PENGUNJUNG dapat menyaksikan koleksi catan batik yang dipersembahkan melalui seni halus.


Bertemakan 'Batik: Melirik Larik', pameran ini menampilkan sebanyak 81 catan batik daripada koleksi Bank Negara Malaysia. Malah, lebih menarik ada antara koleksi catan batik ini yang telah dihasilkan pada tahun 1960-an lagi.

Umumnya, batik sering dilihat sebagai tekstil tradisional yang punya keistimewaan sendiri. Tetapi dalam pameran ini, ia dipersembah dengan cara yang berbeza yang disebut sebagai satu seni halus.

Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, pameran ini memberikan penghormatan pada kekayaan budaya Malaysia dan para karyawan yang memelihara kehalusan seni tradisi batik ini. 


SALAH seorang karyawan terlibat memberi penerangan kepada Senator Datuk Seri Amir Hamzah dan barisan tetamu kehormat.


"Melalui pameran ‘Batik: Melirik Larik’, matlamat kami adalah untuk meningkatkan apresiasi terhadap batik sebagai khazanah budaya dan seni serta mengetengahkan kepentingannya kepada identiti negara kita. 

"Kami berharap untuk memberikan inspirasi kepada generasi karyawan Malaysia yang akan datang untuk menghayati dan memberikan nafas baharu kepada seni yang tidak lapuk dek zaman ini, lantas memastikan seni ini terus relevan dan terus mekar. 

"Di samping itu, pameran ini bukan sahaja menampilkan kemahiran karyawan batik tempatan tetapi turut mengingatkan kita tentang kepentingan budaya serta susur-galur sejarah kesenian batik Malaysia," ujar beliau.


SENATOR Datuk Seri Amir Hamzah dan Datuk Seri Abdul Rasheed menunjukkan kemahiran mencanting dan mewarna batik.


Dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu majlis pada 20 Ogos 2024 lalu, pameran ini secara keseluruhannya memaparkan cara batik menggambarkan cerita kehidupan dan inti pati budaya Malaysia. 

Pengunjung akan dapat melihat catan batik hasil karya artis batik terkenal yang memainkan peranan penting dalam perkembangan seni terutama di Pulau Pinang. 

Pengunjung juga boleh meneroka cara tradisi dan kemodenan digabungkan dalam karya-karya ini, kerana setiap lukisan mempunyai cerita tersendiri yang terjalin dalam legasi kesenian Malaysia. 

Antara karyawan yang terlibat pada Pameran Batik: Melirik Larik ini ialah Chuah Thean Teng, Khalil Ibrahim, Tay Mo Leong, Ismail Mat Hussin, Kwan Chin, Hu Te Hsin, Toya Lim, Khalid Shamsuddin, Fatimah Chik dan Lim Anuar. Ia terbahagi kepada empat bahagian iaitu Larik Keakraban, Larik Rezeki, Larik Alam dan Larik Mujarad.


SALAH satu koleksi barangan untuk menghasilkan kesenian batik turut dipamerkan.


Setiap bahagian akan membawa pengunjung meneroka tema berbeza menerusi kesenian batik, daripada penceritaan jelas yang dipaparkan dalam karya sehinggalah karya abstrak yang mengajak mereka untuk berfikir. 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pameran ini, sila layari laman web museum.bnm.gov.my atau ikuti dalam Facebook @BNM.MAG, Instagram @bnmmag dan X @BNM_MAG. - KitaReporters


INFO:

Tempoh Pameran: 20 Ogos 2024 – 30 September 2024 

Dibuka pada hari Selasa hingga Ahad

Pukul 10 pagi hingga 5 petang. 

Tutup setiap hari Isnin. 

Lokasi: Aras 3, Muzium dan Galeri Seni BNM 

Bayaran masuk: Percuma


PAMERAN ini terbahagi kepada empat bahagian untuk para pengunjung memahami tentang seni batik di Malaysia.

16
17
0
11
0
You will be interested