
HARIMAUWATI Malaya pimpinan bek tengah, Steffi Sarge Kaur, 37, (berjersi No. 10) yang sempat menyamakan kedudukan dengan Hong Kong, manakala yang menembusi gol Bhutan ialah Nur Ainsyah Murad (22), Intan Sarah Anisah Zulgafli (15) dan Farahiyah Ridzuan (8). - Kredit foto: FAM
KETIKA Harimau Malaya meniti laluan yang tepat setakat ini menghala ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi dengan dua kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi, bagaimana pula dengan nasib saudaranya, Harimauwati Malaya?
Berbanding tim
Peter Cklamovski yang menumpaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 pada 25 Mac dan 10
Jun 2025 lalu yang sorakan dan pujian Ekor Harimau Malaya seperti masih bergema
sehingga kini, berapa keratlah sangat peminat yang memberikan perhatian kepada skuad bola sepak wanita kita?
Kalau dinilai di
atas kertas, sangat sukar dan amat suram peluang skuad wanita negara ini menjelang
Kelayakan Piala Asia Wanita AFC 2026 Kumpulan H di Stadium Pusat Republikan, Dushanbe, Tajikistan pada 23
Jun hingga 5 Julai 2025 ini.
Korea Utara pastinya
pasukan pilihan bakal juara kumpulan ini kerana rekodnya sebagai juara Piala
Asia tiga kali (2001, 2003 dan 2008) malah kini menduduki ranking kesembilan dunia
selain pernah menjulang Piala Dunia Perempuan Bawah 20 dan 17 Tahun.
Hanya juara kumpulan kelayakan ini akan ke pusingan akhir di Australia manakala dua lagi rintangan Malaysia, penghuni ranking ke-102 dunia, ialah tuan rumah Tajikistan (ke-155) dan Palestin (ke-134).

SOLEEN Al-Zoubi (kiri) dan Joel Cornelli dalam sidang media memperkenal ketua jurulatih baharu Harimauwati Malaya itu di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 14 Mei 2025. - Kredit foto: FAM
Namun Harimauwati
Malaya telah mendapat suntikan 'rentak samba’ dengan pengumuman Joel Cornelli
dari Brazil sebagai ketua jurulatihnya pada 14 Mei 2025 lalu, menggantikan Soleen
Al-Zoubi yang menjadi Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM).
Joel, 58, yang sebelum
ini berkhidmat di Arema FC, Indonesia dan beberapa kelab liga negara Asia lain serta
Amerika Selatan, turut mengaku pernah melatih sebuah kelab bola sepak wanita di Jordan.
Perubahan corak
permainan Malaysia telah dikesan dengan kemenangan terhadap Bhutan (ke-171) 3-1, manakala ditewaskan oleh Hong Kong (ke-80) 2-1 pada 3 Jun dan 31 Mei 2025 lalu dalam perlawanan
antarabangsa tahap 1 Tiga Negara di Stadium Changlimithang, Thimphu, Bhutan.
Daripada berkemarau gol ketika tersingkir pada Piala AFF Wanita 2024 di Vientiane, Laos, Harimauwati Malaya bersama Joel kini mampu memecah kebuntuan itu dengan jaringan kapten Steffi Sarge Kaur, Intan Sarah Anisah Zulgafli, Nur Ainsyah Murad dan Farahiyah Ridzuan.

FARAHIYAH Ridzuan (8) yang diasak oleh pemain Hong Kong, Lucia Ko Pak Ling, turut membolosi gawang Bhutan. - Kredit foto: FAM
"Pasukan kita ada masalah penyusunan permainan yang memerlukan saya membuat perubahan setelah mereka ketinggalan kepada lawan namun mereka dapat bertindak balas baik dengannya.
“Hanya dengan bermain secara tersusun, barulah anda boleh menyerang dengan mantap dan mereka jelas semakin bersemangat selepas itu. Saya percaya ada potensi untuk mereka maju,” ulas Joel ekoran persembahan anak-anak buahnya di Thimphu.

JOEL Cornelli menunjukkan formasi menyerang dan bertahan yang tepat kepada Harimauwati Malaya. - Kredit foto: FAM

JOEL Cornelli (depan, dua dari kiri) menyampaikan taklimat kepada Presiden FAM, Datuk Joehari Ayub (tiga dari kanan) sebelum sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 13 Jun 2025. - Kredit foto: FAM
Kali akhir Malaysia layak ke Piala Asia Wanita AFC (sebelumnya Kejohanan Wanita AFC) hanyalah secara automatik sebagai tuan rumah 1995, namun dibelasah oleh Taiwan 8-0 dan ditumpaskan oleh Thailand 3-1, manakala yang terbaik dicapainya ialah tempat ketiga pada 1983 di Thailand setelah menewaskan Singapura menerusi penentuan penalti 5-4 (0-0).
Sekurang-kurangnya masih ada sekelumit cahaya semula pada hujung terowong setelah kewibawaan Soleen mulai diragui gara-gara sasaran juara Piala AFF Wanita 2024 yang diletakkan oleh wanita Jordan itu, langsung meleset.
Prestasi skuad wanita negara begitu hambar apabila berkesudahan di anak tangga corot Kumpulan B setelah ditundukkan Indonesia 1-0 dan Kemboja 2-0 di Stadium Kebangsaan Laos Baharu dan Padang Simpanan Km 16, Vientiane pada 26 dan 29 November 2024 lalu.
Angkara gagal ke separuh akhir, tim Soleen turut terlepas slot Kejohanan Wanita ASEAN di Vietnam pada Ogos 2025 - satu saingan untuk lapan pasukan terpilih atau ibarat Divisyen Perdana rantau Asia Tenggara.

PENYERANG negara, Nur Adrienna Zamzaihiri (11) bersaing dengan benteng Hong Kong, Wu Choi Yu dalam perlawanan yang dimenangi lawan 2-1. - Kredit foto: FAM
Harimauwati Malaya juga mempunyai satu lagi misi antarabangsa pada 2025 iaitu Sukan SEA 2025 di Chonburi, Thailand pada 4 hingga 17 Disember 2025 ini yang membabitkan sembilan negara selain tuan rumah iaitu Myanmar, Vietnam, Kemboja, Filipina, Singapura, Laos dan Indonesia yang bakal dibahagikan kepada dua kumpulan.
Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM telah pun meletakkan sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan pada temasya dwitahunan serantau ke-33 ini.
Namun berdepan
lawan yang sudah bertaraf dunia seperti Filipina (ke-41) dan Asia termasuk
Vietnam (ke-37), Thailand (ke-46), Myanmar (ke-55) dan Indonesia (ke-95), harapannya
memang hampir sesukar dengan mengharungi Kelayakan Piala Asia Wanita AFC.
Sekiranya Tim Joel dapat melepasi tentangan Laos (ke-107), Kemboja (ke-118) dan Singapura (ke-139) dengan memungut sebarang mata dan menyumbat gol, itu pun sudah cukup satu petanda kemajuan yang beransur-ansur memandangkan tempoh khidmatnya yang belum pun berusia setahun jagung. - KitaReporters

HARIMAUWATI Malaya menunjukkan perkembangan membina sejak dikendalikan Joel Cornelli terutama ketika menumpaskan Bhutan 3-1 di Thimphu. - Kredit foto: FAM

PERANTARA Nur Ainsyah Murad (22) dan penyerang Ayuna Anjani Lamsin (19), antara tonggak kesebelasan yang dipertaruhkan Joel Cornelli untuk menewaskan Bhutan 3-1. - Kredit foto: FAM