
Kayu konda kondi yang direka oleh Politeknik Merlimau, Melaka.

Konda kondi jika ditunjukkan pada generasi muda sekarang, sudah tentu ada yang tidak pernah mendengar nama permainan ini.
Apalagi menggunakan kayu konda kondi dalam pertandingan.
Bagi menghidupkan kembali warisan tradisi yang semakin pupus itu, Kerajaan negeri Melaka melalui Tourism Melaka buat julung kalinya mengambil inisiatif menghidupkan kembali permainan tradisi melalui pertandingan peringkat negeri sempena program 'Rentak Bertandak Antarabangsa' mulai 5 hingga 6 Julai di pekarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Bandar Hilir, Melaka.
Program buat pertama kali diadakan ini terbukti berjaya apabila ia disertai 48 penyertaan merangkumi pasukan daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan universiti serta pelbagai jabatan.


Pertandingan ini menyaksikan penggunaan rasmi kit inovasi konda kondi, hasil ciptaan Politeknik Merlimau, Melaka. Kit ini diperhalusi dari segi struktur dan badannya (termasuk Kayu Ibu dan Kayu Anak) yang lebih ergonomik.
Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2,500 dan menjadikan ia sebagai acara permainan warisan paling berprestij pada tahun ini (2025).
Konda kondi yang dipertandingkan kini bukan sahaja permainan zaman dahulu, tetapi kini ia diraikan sebagai kebanggaan budaya Melaka di pentas dunia 'Rentak Bertandak Antarabangsa'.


Bagi peringkat sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 menggondol kejuaraan dan diikuti SK Merlimau sebagai Naib Johan.Tempat ketiga pula disandang oleh SK Merlimau 1.
Manakala untuk kategori sekolah menengah, Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin menjadi johan. Tempat kedua ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Muzaffar Syah dan tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung.
Untuk kategori terbuka pasukan Patuk Ayam menjadi juara dan Majlis Sukan Negeri Melaka mendapat tempat kedua. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka.
Hadiah telah disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Tourism Melaka, Nasrul Ahmad dan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Politeknik Merlimau, Melaka, Ts. Zan Aizuwan. - KitaReporters


