Seni & Sukan 16 May, 2024

Video| Single terbaharu daripada Alyph! Mungkinkah lagu Dari Jauh boleh tular sama atau kena Swipe?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Tahun lalu judulnya ‘Swipe’, tahun ini ‘Dari Jauh’… itulah tajuk dan lagu pilihan terbaharu penyanyi dan bintang rap kelahiran Singapura, Alyph atau nama sebenarnya, Alif Abdullah.

Melalui ‘Swipe’ yang menampilkan korus yang mudah dinyanyikan serta penampilan daripada usahawan kosmetik Dato Seri Vida, “Swipe” menawan telinga dan hati penonton di seluruh Asia Tenggara sehingga memperoleh 10 juta strim dalam Spotify dan YouTube,

Lagu yang dipaparkan sebagai bunyi dalam lebih 1.6 juta video TikTok yang dicipta oleh peminat di seluruh dunia termasuk golongan artis malah menjadi siulan kanak-kanak kecil sekali pun. Begitu ‘viral’ penangan ‘Swipe’.

Mampukah ‘Dari Jauh’  menandingi ‘Swipe’ dan mendapat sambutan sama? Sudah tentu ia menjadi persoalan utama apabila lagu single keduanya menjadi pertaruhan terbaharu. Itu lumrah manusia tak gitu?



Apa pun, kali ini ‘Dari Jauh’ Alyph meneroka rona-rona irama R&B yang lebih perlahan, semestinya jauh beza dengan apa yang pernah beliau paparkan dalam karya-karya terdahulunya yang sarat dengan nuansa hip-hop.

"Dari Jauh" merupakan sebuah lagu putus cinta yang menyakitkan, mengisahkan seseorang yang tidak pernah memberikan waktu dan perhatian terhadap hubungannya dengan kekasih sendiri. 

Sehinggalah kekasihnya mendapat peluang yang besar dan terpaksa melangkah pergi daripadanya, barulah dia sedar tentang kesilapannya. 

Daripada menunjukkan rasa sedih, dia memilih untuk menyembunyikan perasaannya dan menunjukkan betapa bangga dan gembiranya dia dengan kejayaan kekasihnya itu, sambil memberitahu bahawa yang dia sentiasa akan menyokongnya walaupun mereka sudah putuskan hubungan cinta.



"Jadi, ilham untuk lagu ini datang daripada kita yang tidak bersyukur dengan apa yang kita ada sehinggalah sesuatu berubah," kata Alyph tentang kisah di balik lagu "Dari Jauh” ketika ditemui pada sidang media pelancaran 'Dari Jauh' baru-baru ini.

Semasa proses menyiapkan lagu "Dari Jauh", Alyph mendedahkan bahawa pada mulanya dia ingin menghasilkan sebuah lagu yang dia tidak mungkin mampu hasilkan secara biasa, jadi dia meminta Kenny Gabriel selaku penerbit untuk membuat beberapa penambahbaikan pada kord lagu dengan penuh jiwa.

“Sebaik sahaja kami bersetuju, emosi lagu itu pun mengalir keluar. Teddy Adhitya (penulis lirik) bertanya pada saya apa perasaan saya tentang lagu dan hala tuju karya ini. 

"Selepas saya menyampaikan cerita di atas, dia memasukkan baris pertama secara spontan berserta irama untuk korus,” cerita Alyph sambil memaklumkan lagu dicipta dalam masa yang singkat dan diterbitkan pertama kali di Indonesia.

Menurutnya untuk bahagian bunyi pula, Alyph menekankan rona-rona muzik R&B dengan menghidupkan kord muzik yang penuh jiwa, menjadikannya satu karya yang sedap didengar.

“Saya tahu saya ingin membuat sesuatu yang romantis, dan inilah hasilnya,” kata Alyph yang turut melancarkan video muzik dilakonkannya sendiri.



Terbitan Nocturnal Projects, video yng diarahkan oleh Bobby Adrin Vitra serta Jessy Sylviani menjadikan kedai baju sebagai latar penggambaran.

Alyph mengambil keputusan untuk membuat sesuatu yang lebih ringan, menampilkan dua orang yang jatuh cinta namun kalah dengan ketua saingan mereka.

“Ini membolehkan kami untuk menterjemah lagu ini dengan pelbagai cara, mungkin dengan mengingatkan kita pada sesuatu atau membenarkan kita mencipta babak-babak tertentu dengan pengalaman unik hidup kita sendiri, menjadikan lagu ini sesuatu yang lebih peribadi buat kita,” ulas Alyph lagi.



Mengambil masa hanya sehari untuk penggambaran, Alyph menganggap pengalaman berlakon menyeronokkan, berbeza dengan proses pembuatan lagu yang sering dilakukan sebelum ini.

Alyph berpendapat mencipta lagu di Jakarta dengan para pemuzik berbakat merupakan salah satu impiannya malah lagu tersebut adalah adalah cerminan tentang muzik terhadap dirinya.

“Ia seperti mengumpul semua kenangan kegemaran anda dan mengabadikannya dalam satu wangian, kemudian dimasukkan ke dalam botol minyak wangi,” tambahnya.

Melalui lagu terbaharu ini, beliau berharap lebih ramai akan mendengar serta merasai maksudnya di samping memahami rasa cinta yang terkandung sehingga mungkin tular sekali lagi. - KitaReporters


15
17
0
14
0
You will be interested