Seni & Sukan 06 Jul, 2024

Syabas SSTMI! Kembali juara! Tewaskan juara bertahan, ARAS! Ragbi 7 Sebelah (7's) Perdana MCKK 2024!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

SSTMI bergembira menayangkan pingat kemenangan dan Piala NJ Ryan selaku juara Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Perdana MCKK Ke-12, 2024 selepas menumpaskan juara bertahan, ARAS 36-5 pada perlawanan akhir di Padang MCKK, Kuala Kangsar, Perak pada 30 Jun 2024.  - Kredit foto: SHK



SEKOLAH Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) kembali menjuarai Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Perdana Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK Premier 7’s) 2024 iaitu gelaran kelimanya setelah menewaskan penyandang, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga atau Akademi Ragbi Selangor (ARAS) 36-5. 

SSTMI mengungguli perlawanan akhir edisi ke-12 di Padang MCKK, Kuala Kangsar, Perak pada 30 Jun 2024, seperti mana pada 2011 (sebagai Sekolah Sukan Bandar Penawar), 2012, 2016 dan 2017.

Sejak wisel pertama, SSTMI melancarkan serangan bertali arus sehingga ARAS tidak mampu membalas dengan berkesan lantas beroleh dua try dan dua conversion untuk mendahului babak pertama dengan selesa 24-0.

SSTMI memastikan dua lagi conversion dalam babak kedua dan mengesahkan satu kemenangan besar 36-5.


PEMAIN SSTMI (jersi biru) cuba melolosi kepungan empat pemain ARAS dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Perdana MCKK Ke-12, 2024 di Padang MCKK, Kuala Kangsar, Perak pada 30 Jun 2024.  - Kredit foto: SHK


Namun ARAS tetap mampu tersenyum bangga apabila tonggaknya, Anas Zulqarnain Mizan dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Zaharuddin Alias. 

Pemain SSTMI, Arief Anaqi  Anuar pula dinamakan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Majlis penyampaian hadiah-hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.  

Naib juara tahun lalu, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) pula memastikan kemenangan terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (SMKTHO) dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang mendebarkan, 10-5.

Dalam separuh akhir, SSTMI mara ke perlawanan akhir dengan selesa sesudah menewaskan SSMP 12-0 manakala Aras menundukkan pasukan ragbi SMKTHO atau THOR dengan tipis 19-14.


MCKK (jersi hitam) tersingkir dalam suku akhir dengan kekalahan 26-7 kepada SSMP. - Kredit foto SHK


Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba (SMK Hosba) Kedah muncul juara kategori Plate dengan menewaskan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) atau English College (EC) 25-15.

EC, juara 2020, tersingkir awal dalam suku akhir dengan kekalahan 33-0 kepada SSTMI, manakala tuan rumah, MCKK disekat dalam suku akhir oleh SSMP yang menang 26-7.

Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KE VII) meraih gelaran Bowl dengan mengetepikan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) 38-15, sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas (atau Akademi Ragbi Melaka atau AKRAM) dari Melaka muncul juara Shield apabila menewaskan Victoria Institution (VI) 14-0. - KitaReporters


SSMP (jersi biru kuning) mengubati kehampaan kandas separuh akhir dengan memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga setelah menundukkan THOR 19-14. - Kredit foto: SHK

16
11
0
11
0
You will be interested