Seni & Sukan 29 Oct, 2025

Video| TV anda kembali bergegar! GV12 satukan bintang dari tiga negara! Ada Elaine, Mark dan Rahmat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Gegar Vaganza, program realiti nyanyian popular, kembali dengan musim ke-12 yang lebih eksklusif,  memperkenalkan konsep “GV-Verse” yang direka untuk meraikan keunikan aura bintang-bintang serantau. 


 


Dalam pengumuman barisan peserta yang dinanti-nantikan, tiga nama besar yang mewakili era dan gaya muzik berbeza—penyanyi versatil kelahiran Filipina Mark Adam, 46, legenda pop rock dengan vokal power Rahmat Ekamatra, 57, dan ratu balada Malaysia Dato’ Elaine Kang, 60, disahkan sebagai antara 13 bintang yang bakal bertanding merebut gelaran juara. 

GV12 bersedia untuk menghangatkan malam minggu penonton mulai 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria.



Penyertaan ratu balada yang popular dengan lagu-lagu seperti 'Di Luar Kerelaan’ atau 'Maafkan Diriku',  Elaine Kang, 60, dijangka bakal menjadi tumpuan utama dalam program realiti nyanyian yang meraikan aura dan keunikan setiap bintang legenda.


Musim ini menyaksikan pertembungan vokal merentasi sempadan dan generasi, di mana barisan peserta Malaysia turut diperkuat dengan penyanyi solo Korie,  Nubhan, Krisya dan Mell Sakura bersama duo pop nostalgia Freshies (Ejie dan Shima)

Pentas GV-Verse turut diserikan dengan penyertaan dari Indonesia, iaitu Shae, Ruri Repvblik, serta trio harmoni Mendua (Pungky, Sasha & Diana), manakala, Singapura tampil dengan keunggulan vokal Iskandar Ismail

Bagi menambah elemen kejutan, SHY8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha, juga berusia 60 tahun, hadir sebagai peserta wildcard misteri, menjanjikan sentuhan seni yang unik dalam saingan kali ini.



Pendek kata, daripada ikon era 80-an hingga ke suara emas 2000-an, GV12 meraikan kebangkitan semula sebuah era gemilang melalui muzik yang abadi dan tidak lapuk dek zaman, menyatukan suara-suara legenda merentasi sempadan dan generasi.

“Tahun ini, kami mengangkat legasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi menerusi GV-Verse, sebuah dimensi baharu yang meraikan kepelbagaian serta kehebatan bakat serantau. 

"Daripada legenda evergreen seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, sehingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap artis membawa kisah, warna suara dan semangat tersendiri ke pentas GV,” ujar Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad pada majlis memperkenalkan barisan artis, hos dan juri yang terlibat dalam GV12 baru-baru ini.


Dari kiri: Raqim, Ramli MS, Hetty Koes Endang, Shafinaz, Sherry dan Nabil Ahmad.


Menurut Raqim, sejak mula diperkenal, Gegar Vaganza kekal sebagai pertandingan nyanyian realiti no. 1 di Malaysia, sebuah platform untuk penyanyi legenda dan yang dah lama menghilang, menyalakan semula perjalanan muzik mereka. 

“Daya tarikannya yang berterusan terletak pada gabungan sempurna antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen, yang menyatukan kembali artis dan penonton melalui lagu-lagu abadi dan kenangan yang tidak lapuk dek zaman,” tambahnya.

Gandingan hos serasi, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, akan kembali mengemudi pentas GV12, sementara mutu vokal dan persembahan peserta akan terus dinilai oleh tiga tokoh juri profesional yang disegani, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Datuk Syafinaz Selamat. 

Program ini mengekalkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh juri, dengan penyingkiran berdasarkan markah terendah pada segmen akhir. 



Juara musim ini akan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM100,000, diikuti RM50,000 untuk naib juara, dan RM30,000 bagi tempat ketiga, manakala tempat keempat dan seterusnya pula masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000, dan RM10,000.

“Dengan barisan peserta yang hebat dan pelbagai ini, kami mahu GV12 menjadi lebih daripada sekadar pertandingan. Ia tentang menghargai perjalanan yang telah mereka tempuhi dan membayangkan sejauh mana mereka boleh pergi selepas ini. 

“Kami menjemput semua Vaganzers untuk menyertai universe ini bersama kami untuk mengimbau kenangan, menemui alunan baharu dan menyaksikan dunia muzik yang diolah semula dalam skala yang lebih besar daripada sebelumnya,” akhiri Raqim. - KitaReporters

13
14
0
8
0
You will be interested