
KEHADIRAN pemain import meriahkan Liga Malaysia. - Kredit foto: Selangor FC
DALAM tempoh dua minggu kebelakangan ini, ada dua keputusan membabitkan bola sepak Malaysia yang menjadi bualan peminat tempatan.
Pada 9 Julai, 2025 lalu, Liga Bola Ssepak Malaysia (MFL), badan yang mengendalikan Liga Malaysia (Liga M) membuat kejutan apabila mengurangkan jumlah pemain import di atas padang.
MFL kini hanya membenarkan enam pemain import beraksi di atas padang sambil tiga lagi boleh berada dalam senarai pemain gantian, berbanding tujuh dan tiga simpanan sebelum ini.
Ekoran pengurangan seorang pemain import, kouta untuk import ASEAN turut dikurangkan kepada hanya satu berbanding dua sebelum ini sementara import terbuka kekal empat dan slot untuk import Asia, satu.

"Keputusan untuk mengurangkan seorang pemain asing di atas padang dilihat dapat memberi sedikit keseimbangan antara pemain tempatan dan pemain asing dalam kesebelasan utama pasukan pada hari perlawanan.
"MFL percaya kehadiran pemain asing akan meningkatkan daya tarikan serta saingan dalam Liga M, namun pada masa sama perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkasakan skuad Harimau Malaya.
"Malah pandangan kelab juga diambil kira dalam keputusan pindaan ini yang mana mereka berpendapat kehadiran lebih ramai pemain ASEAN tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan," jelas MFL.
Walau bagaimanapun, jumlah kuota pemain import yang boleh didaftarkan dalam satu pasukan kekal dengan 15 pemain. Namun kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota itu sebaliknya bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.

ARIF AIMAN antara pemain tempatan yang berjaya menyaingi pemain import. - Kredit foto Johor Southern Tigers.
Namun, pada ketika peminat memberi reaksi positif kepada
pusingan U yang dibuat oleh MFL itu, ramai juga yang beranggapan ia tidak mampu
membawa impak besar terhadap perkembangkan pemain tempatan
sebagaimana dicanangkan.
Tambahan satu slot untuk pemain tempatan tidak menggambarkan kesungguhan MFL untuk membantu anak watan kerana komposisi pemain di atas padang masih didominasi oleh pemain import iaitu enam, berbanding lima pemain tempatan.
Itu belum lagi kita mengambil kira kehadiran pemain naturalisasi dan pemain warisan dalam sesebuah pasukan. Akhirnya, pemain tempatan hanya akan sekadar menjadi nasi tambah atau melukut di tepi gantang.
Jika benar MFL mahu mengembangkan bakat tempatan sebagai bekalan untuk skuad kebangsaan, mereka sepatutnya mengurangkan lagi kuota import kepada hanya lima pemain import di atas padang dan enam slot untuk pemain tempatan.
Apa guna Liga M rancak dan nampak gah dengan kehadiran pemain import tapi tidak membantu meningkatkan pembangunan bola sepak Malaysia khususnya skuad kebangsaan.
Berapa lama kita boleh bergantung kepada pemain warisan dan pemain naturalisasi untuk memperkasakan Harimau Malaya? Jangan nanti, menang sorak kampung tergadai!

PASUKAN yang mengambil bahagian pada Piala CAFA sebelum Malaysia menarik diri.
Isu kedua yang kini menjadi topik perbincangan komuniti bola sepak tempatan adalah keputusan skuad kebangsaan, Harimau Malaya menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Ssepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadualkan pada 29 Ogos hingga 9 September, 2025.
FAM memaklumkan keputusan itu dibuat susulan perubahan tarikh perlawanan yang bermula di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga memberikan cabaran dalam segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
"Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini telah menimbulkan cabaran besar daripada sudut logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
"Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga-liga utama seperti di Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun," ujar FAM dalam satu kenyataan.

PETER CKLAMOVSKI
Kalendar FIFA bakal bermula dari 1 hingga 9 September 2025 sedangkan berdasarkan jadual kejohanan CAFA, Harimau Malaya akan berdepan Tajikistan pada 29 Ogos sebelum menentang Iran (1 September) dan Afghanistan (4 September) bagi aksi Kumpulan B.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski melahirkan kekecewaan kerana terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu
Ketiadaan tarikh rasmi FIFA juga menyebabkan ramai pemain utama tidak dapat dilepaskan oleh kelab masing-masing terutama yang beraksi di luar negara seperti di Sepanyol, Colombia dan Argentina.
"Ini senario yang sukar kepada pemain untuk ke sana (Tajikistan) dan bersedia menjalani persiapan. Saya tidak mahu berkompromi dengan pemain," katanya.
Jurulatih berusia 45 tahun itu turut menegaskan beliau hanya mahu menyertai kejohanan dengan kekuatan penuh dan bukannya sekadar mencukupkan kuota.

MALAYSIA kini menduduki ranking ke-125 dunia.
Penulis bersetuju dengan Cklamovski, jika kita
tidak dapat menghantar sebuah pasukan yang kuat, sekadar melepaskan batok di
tangga yang akhirnya menyebabkan Harimau Malaya menjadi budak belasahan, adalah
lebih baik kita mengibar bendera putih lebih awal.
Walaupun ada pengkritik yang menganggap tindakan Harimau Malaya itu sebagai ‘tak berapa jantan’ namun hakikatnya itu lebih baik daripada kita pulang sebagai seekor harimau yang terpaksa menyorokkan ekornya di celah kelangkang!
Malu kita diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu pada kelayakan Piaka Dunia di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi, pada 3 September 2015 masih berbekas, Kita tidak mahu sejarah pahit itu berulang jika menghantar skuad tangkap muat.
Apatah lagi lawan kita nanti bukan calang-calang. Iran kini berada pada ranking ke-2 Asia sementara tuan rumah, Tajikistan berada pada kedudukan ke-106 dunia. Kita juga tidak boleh memandang lekeh pada sebuah lagi pasukan saingan dalam Kumpulan B, Afghanistan.
Malaysia kini berada pada kedudukan 125 dunia selepas naik enam anak tangga ekoran kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 Jun, 2025 lalu.
Jika anak didik Cklamovski memberi aksi buruk pada kejohanan CAFA, sudah pasti kedudukan ranking Harimau Malaya akan turut terjejas, sekali gus memberi impak negatif kepada persiapan kita menghadapi baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.

KERATAN akhbar Sinar Harian.
Cuma, satu kesilapan yang perlu diakui FAM, mengapa mereka menyatakan persetujuan untuk menyertai kejohanan itu sedangkan mereka sedia maklum ia berlangsung di luar kalendar FIFA.
CAFA dalam satu kenyataan selepas penarikan diri Malaysia, menjelaskan mereka tidak meminda jadual sebagaimana didakwa FAM
"Penyertaan Malaysia sebelum ini telah disahkan lebih awal dengan pengetahuan penuh mengenai tarikh kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 dan tarikh itu tidak pernah berubah sejak dari awal,” ujar CAFA.
Kenyataan rasmi CAFA jelas menunjukkan FAM tahu jadual pembabitan skuad negara pada kejohanan itu kelak namun tetap mahu menyertainya. Mungkin selepas bersetuju dan membuat pertimbangan semula, FAM mendapati mereka tidak bersedia untuk bersaing dengan jaguh-jaguh Asia lain. Kalau kalah, malu weh!
Sepatutnya, FAM berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan, bukan buat keputusan dulu, baru berfikir.
Kepada FAM dan MFL, perangai suka ‘u-turn’ jangan diamalkan kerana tersalah membuat pusingan-U, boleh terbabas dan memalukan diri sendiri. Peminat hari ini bijak dan sentiasa memerhati, jangan sampai menjadi bahan jenaka mereka! -KitaReporters
 
                                                                                     
                                 
                                     
                                     
                                    