Seni & Sukan 15 Jan, 2026

Bukan gimik! Penyanyi, komposer, wartawan dakwa diganggu suara misteri? Di sebalik Rahsia Abhasa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Belum pun malam gala tayangan filem terbaharu terbitan Metrowealth Pictures, ‘Pemuja’ yang dijadualkan pada 20 Januari 2026 ini menemui penonton, kisah menyeramkan di sebalik tabir pembikinan lagu runutnya, ‘Rahsia Abhasa’ menjadi bualan ramai.



Ia ekoran dakwaan gangguan misteri yang dialami penyanyi lagunya, Tyka Zatyka sewaktu proses rakaman dijalankan.

Menurut Tyka, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi ketika dia sedang berada sendirian di dalam bilik rakaman untuk sesi yang memakan masa selama empat jam.

Dalam suasana studio yang sunyi sepi selepas muzik dimatikan, dia mendakwa terdengar bisikan suara halus di telinganya yang seolah-olah memberi arahan supaya dia menambahkan elemen gurindam bagi memperkuat lagi nuansa seram pada rangkap lagu tersebut.



“Sekitar jam 1 pagi, ketika muzik semuanya dimatikan, suasana dalam studio memang senyap dan hanya  saya seorang berada di bilik rakaman, manakala komposernya, Chery Amry  berada di bahagian luar.

"Tiba- tiba dari belakang, ada suara halus  yang membisikkkan pada telinga bagi menambahkan elemen seram pada rangkap gurindam,” katanya ketika dihubungi. 

Walaupun pada ketika itu dia berada dalam keadaan tertekan waima Chery sangat teliti, selain faktor kesihatan diri, Tyka akui menuruti arahan ‘suara’ berkenaan sehingga meminta komposer untuk merakamkan semula bahagian tersebut mengikut ilham mistik yang diterimanya.

“Bila dengar suara itu, walaupun terkejut saya mengikuti arahan ‘ suara’  itu dan meminta komposer merakamkan semula suara saya ,” jelas Tyka. 



Menurut Tyka, beliau tidak dapat menafikan kejadian terbabit  kerana lagu dan susunan muzik 'Rahsia Abhasa' mempunyai  unsur mistik.  

Abhasa itu sendiri bermaksud  sesuatu yang boleh dirasai, didengari tetapi tidak dapat dilihat, seolah-olah menggambarkan situasi sebenar yang dialami oleh mereka yang terlibat dalam produksi ini.

Untuk rekod, Tyka Zatyka telah melibatkan diri dalam bidang seni suara selama 26 tahun dan telah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian yang berprestij antaranya Bintang Klasik RTM 3, Juara dan D’Academy Asia Musim Keempat.

Beliau juga pernah viral dengan lagu ‘Cinta Happy’ dan ‘Goyang Bersama’ termasuk pernah menghasilkan lagu kerohanian, ‘Percaya’ serta terdahulu muncul dengan single lagu ‘Imaginasi’ pada tahun lepas.


Tyka bersama Chery Amry ketika di studio rakaman.


Pengalaman menyeramkan itu tidak terhenti di studio rakaman, malah turut dirasai Chery Amry,

Chery mendedahkan bahawa ketika sedang melakukan proses suntingan di rumah, dia mengalami gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba yang disusuli dengan bunyi guli serta kaca dihempas ke lantai dari arah dapur.

“Bekalan elektrik tiba-tiba terputus, bunyi guli dan kaca yang dihempas ke lantai kedengaran di bahagian dapur. Apabila elektrik kembali pulih, tiada apa-apa yang berlaku di dapur,” kenangnya.

Menceritakan mengenai penghasilan lagu tersebut, Chery Amry menjelaskan dia sering membuat bunyi dengung (humming) sehingga timbul idea untuk membuat humming dalam bentuk Jawa (Sundal Bolong).

“Saya terus menghubungi Tyka dan memberitahu tentang ilham itu,  pada mulanya Tyka menyatakan humming itu susah untuk dilakukan, namun setelah dipujuk dan diberi tunjuk ajar, Tyka berjaya melakukannya dengan baik,” katanya.



Komen yang dicatatkan dalam YouTube  David Teo kala penerbit itu memuat naik video muzik lagu OST 'Pemuja' berjudul "Rahsia Abhasa' nyanyian Tyka.


Selain itu, khabarnya kejadian aneh ini turut tempias ke atas seorang wartawan yang menghubungi Tyka menerusi telefon untuk mendapatkan kenyataan. 

Beliau turut ‘diganggu’ suara misteri apabila 'kedengaran’ suara lain’ yang mengulangi suaranya apabila wartawan terbabit meminta Tyka menyebut  perkataan ‘Abhasa’.

Setelah ditanya pada Tyka Zatyka, dia menyatakan hanya menyebut perkataan itu sekali sahaja sedangkan wartawan terbabit mendengar perkataan itu sebanyak tiga kali dalam nada suara yang berbeza pada hujung talian.

Filem 'Pemuja' berkonsepkan psikologi–seram arahan Azmir Affandi ini bakal menemui penonton pada 22 Januari 2026, membariskan para pelakon hebat seperti Qi Razali, Yasmin Hani, Maria Farida dan Namron. - KitaReporters


4
17
0
7
0
You will be interested