ASET bersihnya bernilai 249 crore Rupees (RM128 juta). Banglo miliknya di kawasan mewah di Juhu, Mumbai, bernilai 60 crore Rupees (RM31 juta). Selain itu dia juga memiliki rumah di London, Juhu dan Powai di Mumbai. Itulah harta kekayaan bintang terkenal Bollywood, Kajol Mukherjee, lebih dikenali sebagai Kajol. - KitaReporters

Aktres jelita Kajol sudah 33 tahun dalam kancah perfileman Bollywood, mencipta nama dan kejayaan sebagai bintang pujaan.
ASET bersihnya bernilai 249 crore Rupees (RM128 juta). Banglo miliknya di kawasan mewah di Juhu, Mumbai, bernilai 60 crore Rupees (RM31 juta). Selain itu dia juga memiliki rumah di London, Juhu dan Powai di Mumbai.
Itulah
harta kekayaan bintang terkenal Bollywood, Kajol Mukherjee, lebih dikenali
sebagai Kajol, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 pada 5 Ogos 2025 lalu. Peminat
filem Hindi tentu biasa menyaksikan Kajol di layar perak melalui filem-filem hebat
lakonannya.
Selaku bintang rebutan pengarah Bollywood, Kajol mampu mengumpul banyak harta dan hidup mewah hasil berlakon sejak 1992. Suaminya, Ajay Devgan, 56, juga pelakon hebat Bollywood. Pasangan itu mempunyai dua orang anak, Nysa Devgan, 22, dan Yug Devgan, 12 tahun.

Hasil kerja keras dan kejayaan di layar perak membolehkan Kajol menjalani kehidupan serba mewah.

Kajol bahagia bersama suami Ajay Devgan dan anak Nysa (kanan) serta Yug (kiri).
Kajol ialah anak seni. Ibunya, aktres Tanuja, 81, merupakan bintang popular era 60-an dan awal 70-an, membintangi banyak filem. Antaranya ‘Mere Jeevan Shaati’, ‘Anubav, ‘Pitruroon,’ ‘Ghar Dwarr’, ‘Jeene Ki Raah' dan banyak lagi.
Namun filem
box-office (pecah panggung) ‘Haathi Mere Saathi’ (Gajah Sahabatku) keluaran tahun 1971 adalah
kejayaan terbesar Tanuja dalam layar perak. Dalam filem ini dia bergandingan
dengan superstar Rajeh Khanna. Filem ini pernah ditayangkan selama tiga
bulan di pawagam Royal, Pulau Pinang.
Bapa Kajol, Shomu Mukherjee, ialah pengarah, penulis skrip dan produser. Dia adalah ahli keluarga Mukherjee yang terkenal di Bollywood serta memiliki studio filem sendiri, Filmalaya. Shomu meninggal di Mumbai pada 10 April 2008 dalam usia 65 tahun.

Bapa Kajol, Shomu Mukherjee dan ibu, aktres Tanuja.

Pelakon Joy Mukherjee, bapa saudara Kajol.
Bapa saudara Kajol, Joy Mukherjee, pelakon popular era 60-an dan awal 70-an. Dia meninggal pada 9 Mac 2012 pada usia 73 tahun. Antara filem popularnya ‘Love In Tokyo’ (Asha Parekh --1966), ‘Dil Aur Mohabbat’ (Sharmila Tagore --1968), ‘Aag Aur Daag’ (Poonam Sinha --1970) dan banyak lagi.
Benarlah,
kuah tumpah ke nasi jua. Bakat seni ibu bapa dan bapa saudara diwarisi Kajol.
Diperkuat dengan bakat milik sendiri, Kajol melonjak sebagai pelakon hebat masa
kini. Kehidupannya serba mewah.
Kajol menjejakkan kaki ke dalam kancah layar perak Bollywood pada 1992 melalui filem ‘Bekhudi’ bergandingan dengan Kamal Sadanah. Sejak itu Kajol tidak menoleh ke belakang. Bakat serta personaliti yang menarik menjadikan dia pujaan ramai.

Kajol dalam filem pertama lakonannya, 'Bekhudi' (1992), bergandingan dengan Kamal Sadhanah.
Banyak filem lakonannya memecah box-office. Antaranya ‘Baazigar’, (1993), ‘Dilwale Dulhania Le Jayenge’ (1995), ‘Karan Arjun’ (1995), ‘Duplicate’ (1998), ‘Ishq’ (1997), ‘Kuch Kuch Hota Hai’ (1998), ‘Kabhi Khusi Kabhie Gham’ (2001) dan ‘Do Patti’ (2024).
Beri apa
sahaja peranan kepadanya, sama ada romantik, emosional atau antagonis, semua
mampu dibawa oleh Kajol dengan baik. Kerana itu dia mampu bertahan dalam layar
perak Bollywood selama 33 tahun sehingga kini.
Sementara sumber
utama kekayaan Kajol ialah hasil berlakon, itu bukan satu-satunya punca pendapatan.
Dia memperoleh hasil daripada sumber lain seperti jurucakap produk serta kolobrasi
media sosial berbayar.
Pada 2014, Kajol menjadi produser drama berbahasa Marathi bertajuk ‘Vitti Dandu’. Ini merupakan kemajuan dalam dunia seninya, sekali gus menambah pendapatan.

Banglo mewah kediaman Kajol dan keluarga, 'Shiv Shakti'. Banglo bernilai RM31 juta ini terletak di kawasan mewah Juhu, Mumbai.

Kajol bergaya dalam banglo mewah miliknya di Juhu, Mumbai.
Kajol dan keluarga tinggal di sebuah banglo mewah, ‘Shiv Shakti’, bersama suami Ajay Devgan dan anak mereka, Nysa dan Yug. Banglo tersebut bernilai 60 Crore Rupees (RM31 juta).
Selain itu,
dia juga memiliki hartanah di Powai, sebuah kawasan mewah di Mumbai, dua buah
apartment di Juhu, dan sebuah rumah di London. Deretan kereta miliknya termasuk
BMWX7 dan Audi Q7.
Semua
kemewahan ini adalah hasil kerja keras sehingga melonjakkan namanya sebagai
ikon bintang Bollywood. Sepanjang kariernya dia menampilkan persembahan yang
sentiasa diingati peminat.
Antara filem box-offce lakonannya yang sangat berkesan dan diingati peminat hingga hari ini ialah ‘Dilwale Dulhania Le Jayenge’ keluaran 1995, bergandingan dengan Shah Rukh Khan. Filem romantik arahan Aditya Chopra ini ini kekal sebagai filem klasik sehingga ke hari ini.

Kajol dan Shah Rukh Khan dalam filem 'Dilwale Dulhania Le Jayenge'.
Seterusnya filem ‘My Name Is Khan’ (2010), arahan Karan Johar. Dalam filem ini Kajol membawa watak seorang isteri yang kental ketahanan diri dan jiwa raga melayan karenah suami yang meghidap sindrom Asperger.
Sindrom ini antaranya memberi kesan kepada tingkah laku seseorang dan menjejaskan kemampuan berinteraksi dengan orang lain. Filem ini mengupas isu identiti, prejudis dan kasih sayang pasca-Covid-19.

Filem 'Baazigar' kejayaan box-office pertama Kajol, bergandingan dengan Shah Rukh Khan.
‘Baazigar’ pula merupakan kejayaan box-office pertama bagi Kajol. Filem thriller yang turut dibintangi Shah Rukh Khan ini mempamerkan Kajol sebagai seorang bintang berkalibar dengan penampilan mempesona di layar perak.
Filem ‘Kuch Kuch Hota Hai’ (1998) satu lagi filem klasik yang mempamerkan kehebatan Kajol yang membawa watak Anjali. Filem yang menampilkan tema persahabatan dan cinta ini menampilkan Shah Rukh Khan sebagai hero.
‘Kabhi Khusi Kabhie Gham’ (2001), satu lagi filem popular Kajol. Filem muzikal drama ini tetap popular sebagai sebuah filem klasik bermutu. Sekali lagi Kajol mempamerkan kemampuan membawa peranan Anjali, bergandingan dengan Shah Rukh Khan.

Pasangan bahagia Bollywood, Kajol dan Ajay Devgan.
Masa berlalu tetapi bagi Kajol tiada nokhtah dalam kerjaya. Dia masih jadi pilihan pengarah.
Filem terbaharu lakonannya termasuk ‘Maa ’, filem seram arahan Vishal Furia. Ia mengisahkan seorang wanita dan anak perempuannya pulang ke kampung halaman selepas kematian penuh misteri suami.
Dengan kerjaya lakonannya tetap subur, dan keriernya filemnya terus mantap sehingga kini, Kajol unggul sebagai salah seorang bintang Bollywood yang disayangi dan dihormati. Kerjaya seninya kukuh, sukar digugat untuk beberapa tahun akan datang. - KitaReporters