Seni & Sukan 09 Aug, 2023

Impak Maksima| Pertama kali irama keroncong di IB! Tapi terpalit isu! Tetap menghiburkan, menenangkan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kak Fas dah lama tidak mendengar irama Keroncong berkumandang pada era lagu genre baharu seperti hip hop yang semakin bermaharaja lela antara muzik rock, R&B mahu pun balada yang menjadi kegemaran ramai.

Sehubungan itu, apabila dijemput menyaksikan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia anjuran Irama Studios di Istana Budaya  (IB) baru-baru ini, tergerak pula hati nak menontonnya apatah lagi apabila mendapati antara barisan artis yang diundang adalah Dato Awie dan Datin Aliyah yang memang rasanya mereka  tidak pernah menyanyi lagu-lagu keroncong.

Malah keterujaan nak menonton dikuatkan lagi apabila Juara Big Stage musim kedua, kelahiran Korea Selatan, Han Byul turut dijemput.

“Biar betul, Han Byul nak berkeroncong, harus dengar ni,” hati berbisik. 

Jadi pada malam pertama konsert yang diadakan selama dua malam bermula 5 dan 6 Ogos 2023, Kak Fas hadir ke Istana Budaya (IB) untuk menyaksikan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang buat pertama kalinya berkumandang di panggung berprestij itu sejak beroperasi pada tahun 1999.


Dari kiri: Rizal Ahmad, Rasyidah, Jamilah, Yusni Hamid, Khadijah Ibrahim, Aliyah, Awie dan Mahzan Manan. - Kredit foto: FAS.


Dan lebih menarik konsert dipimpin oleh komposer legenda, Mahzan Manan yang banyak mencipta lagu-lagu popular untuk sebilangan artis ternama antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Datuk DJ Dave, Gaya Zakri serta ramai lagi.

Ketika keroncong berkumandang di pentas IB, Mahzan menyambut ulang tahunnya yang ke-89 dan diraikan bersama oleh tetamu jemputannya, Datuk Khadijah Ibrahim yang sekali gus meminta hadirin menyanyikan lagu  Inggeris ‘Happy Birthday”… terfikir sejenak kenapa tak sambut dengan lagu “Allah selamatkan kamu….” rasanya lebih afdah pada konsert yang mengangkat lagu-lagu tradisional Melayu ya tak? 

Apa pun bangga melihat komposer yang berusia 89 tahun dari Taiping, Perak ini masih gagah dan mampu memimpin Orkestra Keroncong Irama Perindu yang mengiringi persembahan setiap artis. 

Dan turut dijemput komposer Jari yang mengambil alih tempat Mahzan Manan sebagai konduktor bagi tujuh buah lagu ketika Mahzan berehat dan kembali ke pentas semula menyudahkan empat buah lagi lagu pada segmen terakhir konsert.

Selain Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Datin Aliyah dan Datuk Yusni Hamid, barisan artis yang memeriahkan konsert terdiri daripada artis-artis baharu seperti Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013) dan Jamilah Abu Bakar, 28, (Puteri Keroncong), pemegang Anugerah Artis Muda Berbakat 2013 daripada Kementerian Kebudayaan Malaysia atas penglibatan beliau dalam muzik tradisional.



Pada malam konsert Jamilah turut menyampaikan lagu popular Korea “Winter Sonata” dan ketika itulah baharu Kak Fas sedar beliau menggantikan Han Byul yang tidak dapat hadir. Tidak sukar nampaknya Jamilah menyampaikan lagu tersebut waima pernah menyanyikan lagu itu pada sebuah majlis pada tahun 2018 cuma kali ini dalam irama keroncong. 

Kak Fas terlepas pandang berita mengenai Han Byul yang terpaksa digugurkan saat akhir gara-gara tidak mendapat kelulusan persembahan dari Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara atau ringkasnya PUSPAL.

Kenapa terjadi demikian? Khabarnya ada masalah yang tidak dapat diselesaikan antara pengurusn baharu Han Byul dan PUSPAL.

Seperti pendapat umum, memang sayang sekali peluang untuk mengetengahkan irama asli keroncong ke mata dunia dengan langkah awal menjemput penyanyi berbangsa Korea tidak kesampaian pada hal Han Byul adalah Juara program realiti Big Stage di Malaysia. 

Penyertaan penyanyi dari Korea Selatan ini boleh berikan Impak Maksima yang diperlukan untuk lonjakkan lagi fenomena irama keroncong di negara ini.

Sudah tentu Han Byul sudah memahami adat dan budaya negara berbanding kumpulan 1975 yang sepatutnya diharamkan terus penampilan mereka di Malaysia bukan dibenarkan dan  dihentikan ketika sedang membuat persembahan.

Jauh bezanya Han Byul atau pemilik bernama sebenar Jang Han-byul ini dengan kumpulan 1975. Tetapi itulah takdirnya, penganjur merancang tetapi Allah SWT jua yang menentukan. 


Klip promosi dari Han Byul ini dikongsikan dalam laman Facebook Istana Budaya pada 1 Ogos 2023 sebelum dimaklumkan beliau tidak dibenarkan membuat persembahan.


Khabarnya Han Byul menitiskan air mata kehampaan apabila menerima ‘hukuman’ yang tidak dijangkakannya apatah lagi lebih tiga bulan beliau  memberi komitmen pada latihan. 

Han-byul sepatutnya menyampaikan dua buah lagu  dalam versi keroncong iaitu ‘Winter Sonata’ yang digantikan oleh Jamilah dan  ‘Cinta Abadi’ pula disampaikan oleh Rizal Ahmad

Seperti mana kata Han Byul dalam laporan akhbar hmetro.com.my ketika meluahkan permohonan maafnya kepada peminat, beliau mengambil masa agak lama untuk menerima berita terbabit.

"Saya sedar ramai peminat yang mahu melihat saya beraksi dan saya berasa bersalah kerana mengecewakan mereka. Namun saya percaya, ada beberapa perkara dalam hidup yang berlaku dan tidak dijangka seperti ini," memetik laporannya.

Menurut beliau,  pihak penganjur dan pengurusannya sudah melakukan yang terbaik lebih kurang sebulan untuk mendapatkan kelulusan persembahan itu dari Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).


Han Byul sudah berlatih menyanyikan lagu irama keroncong selama hampir tiga bulan.


"Sejujurnya, saya berpendapat ia bukan salah sesiapa kerana ada beberapa kesulitan yang dihadapi ketika proses terbabit yang mengambil masa yang lebih lama daripada yang pihak kami jangkakan.

"Saya percaya Puspal hanya mengikuti polisi dan prosedur rasmi mereka. Pihak pengurusan, penganjur dan saya sendiri banyak belajar proses itu dari pihak Puspal," katanya.

Pandai Han-Byul menjawab tanpa menyinggung perasaan sesiapa walaupun pun perasaannya yang terluka. Tidak mengapalah ‘belum ada rezeki kan? 

Apapun persembahan daripada penggantinya, Jamilah dan Rizal Ahmad tidak mengecewakan apabila lagu ‘Winter Sonata’ dan ‘Cinta Abadi’ nyanyian asal DJ Dave dipersembah dengan lengguk keroncong yang baik.



Namun sebagaimana Awie, lagu-lagu yang bukan berasal keroncong apabila dikeroncongkan seperti ‘Ratuku’ masih kedengaran seperti lagu asalnya pada telinga Kak Fas, cuma melodi lagu berentak keroncong.  

Nyanyian duet bersama Aliyah, ‘Malam Bulan Di Pagar Bintang’ baharulah nampak Awie sedaya upaya memberikan persembahan terbaik mengikut rentak asli waima itu kali pertama mereka berdua menyampaikan lagu tersebut dalam irama keroncong.

Benarlah kata Awie semasa sidang media pengumuman konsert pada bulan Jun lalu apabila beliau akui teruja untuk berdendang dalam irama keroncong yang bukan ‘makanan’ nya.

“Sejujurnya saya sendiri teruja untuk mendengar suara sendiri mengalunkan irama keroncong, Irama ini tidak mudah bagi saya, apa lagi keroncong bukan ‘makanan’ saya,” memetik ulasan Awie ketika itu.

Pun begitu, Kak Fas yang memang meminati suara jantan Awie tetap berpuas hati dengan lagu yang dipersembah termasuk ketika berduet dengan Aliyah yang merasakan pembabitannya dalam konsert berirama keroncong satu penghormatan baginya apatah lagi berkongsi panggung dengan dua biduanita tersohor, Khadijah Ibrahim dan Yusni Hamid, yang kehebatan mereka menyampaikan lagu irama malar segar itu sudah terbukti dan tidak perlu dipertikai lagi.



Pendek kata, selama dua jam menonton 'Konsert Apresiasi Irama Keroncong’ dengan alunan 17 buah lagu malar segar, impaknya memang rasa tenang dan menghiburkan.

Sesungguhnya, irama keroncong dengan nafas baharu melalui lagu-lagu popular baharu sesuatu yang mampu meringankan otak daripada stres.

Seperti pendapat Khadijah Ibrahim yang bangga melihat hadirnya penonton daripada golongan muda, beliau berharap ia akan terus mendapat sambutan kerana irama keroncong bukanlah untuk orang tua-tua sahaja. 

“Ayuh kita semarakkan lagi irama keroncong dan sambung persembahan seperti ini di Singapura,” laung Khadijah menuju seruannya kepada rakan seperjuangannya, penyanyi Rahimah Rahim yang turut hadir.

Kak Fas sendiri pun yang jarang sekali hadir ke konsert irama keroncong terhibur dan berharap lebih banyak konsert keroncong sebegini dapat dipentaskan di IB bagi menarik lebih ramai golongan muda tanpa jemu bahkan dengan penglibatan artis-artis baharu yang popular, diyakini  muzik keroncong boleh terus kekal hingga ke persada pentas dunia!

Muzik tradisional seperti keroncong harus terus mekar dan tidak harus ditelan zaman. 

Kali terakhir Mahzan Manan dilihat mementaskan Konsert Appresiasi Irama Keroncong Malaysia adalah pada tahun 2019 di Mini Auditorium MATIC, Kuala Lumpur.



Dalam perkembangan lain, khabarnya, Istana Budaya akan ditutup mulai Januari 2024 selama tiga tahun bagi memberi laluan pada pengubahsuaian dan pembaikan struktur bumbungnya. Lama sungguh tu? 

Mungkinkah pembinaan Istana Budaya seluas 5,44 hektar dengan keluasan lantai 21,000 meter persegi pada kos pembinaannya bernilai RM210 juta itu akan lebih canggih selepas ini?

Untuk rekod, sejak mula dibina pada tahun 1995 dengan reka bentuk bercirikan kebudayaan Melayu, Istana Budaya mendapat namanya secara rasmi pada tahun 2000 selepas bangunan yang pada asalnya dirujuk sebagai Panggung Negara dirasmikan pada 15 September 1999 oleh mantan  Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed di mana sehingga kini Istana Budaya gah sebagai satu-satunya pangggung yang pertama di Asia yang mempunyai mekanisme pentas tercanggih untuk pementasan teater! - KitaReporters


Kak Fas mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan di hadapan tangga Istana Budaya sebelum ditutup Januari 2024  depan. Kiri:  Kredit Foto Istana Budaya diambil oleh Everaoh @ issuu.com.

13
12
0
9
0
You will be interested