Seni & Sukan 24 May, 2020

Aidilfitri di Arab Saudi! Disambut dalam suasana lockdown!!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri di Arab Saudi tahun 2020 ini berlangsung dalam suasana perintah berkurung berikutan arahan kerajaan negara itu melaksanakan perintah berkurung total (total lockdown) bagi tempoh 24 jam selama lima hari bermula Sabtu, 23 sehingga Rabu, 27 Mei 2020 ini. : KitaReporters

Masjidilharam di Mekah, Arab Saudi semasa perintah berkurung yang hanya membenarkan para pegawai dan petugas tertentu bersembahyang sunat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini, begitu juga untuk solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal. - Kredit foto: Saudi Gazette


Berikutan penguatkuasaannya, orang ramai tidak dibenarkan melakukan sebarang pergerakan keluar rumah termasuk kunjung mengunjung sempena sambutan 1 Syawal kecuali atas urusan kecemasan atau membeli barangan keperluan sahaja. 

Sebelum ini, sejak April 2020, kerajaan Arab Saudi telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara. 

Bagaimanapun, bermula awal Ramadan, larangan itu dilonggarkan bagi beberapa bandar utama termasuk Riyadh, Jeddah, Tabuk, Buraidah, Hufof, Dammah, Ad Diriyah, Jubail, Khobar, Dahran, Taif serta Dheba kecuali Mekah dan Madinah.

Keadaan Masjidilharam lengang dan sepi daripada kesibukan orang ramai beriktikaf dan melakukan tawaf mengeliling kaaba, solat sunat termasuk tarawih dan Aidilfitri pada 1441 Hijrah disebabkan penutupannya kepada orang awam. Yang dibenarkan mengimarahkan masjid ini hanyalah para pegawai dan petugas tertentu sahaja.-  Kredit foto TV Haramain.   


Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Makatul Mukaramah (Mekah), Masnira Ramli menyatakan, berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak beberapa minggu, kebelakangan ini kerajaan Arab Saudi bertindak menguatkuasakan semula perintah berkurung 24 jam dalam usaha memutuskan rangkaian wabak pandemik berkenaan.

Dalam hantaran dalam media sosialnya, beliau berkata melalui penguatkuasaan perintah berkurung kali ini orang ramai tidak dibenarkan melakukan sebarang pergerakan keluar rumah termasuk sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjidilharam bagi penduduk Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah serta masjid-masjid lainnya.

Bagi kedua-dua masjid utama ini dan masjid-masjid lain yang dibolehkan solat Aidilfitri hanya dikhaskan kepada para pegawai dan petugas yang dibenarkan sahaja, tetapi dikenakan mematuhi SOP yang ketat saperti pemeriksaan suku badan, penjarakan sosial dan lain-lain.

Selain itu, penduduk juga tidak dibenarkan mengadakan majlis sambutan hari raya dan berkumpul secara beramai-ramai.

Arab Saudi mengenakan denda antara SR5,000 hingga SR50,000 kepada setiap orang yang didapati melanggar perintah tersebut bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. 

Sehingga Jumaat, 22 Mei 2020 jumlah kes COVID-19 di seluruh Arab Saudi seramai 65,077 orang dari jumlah itu 36,040 telah disahkan sembuh hasil rawatan dijalankan. 

Bagi kes kematian sebanyak 351 kes. Sehari jumlah kes baharu ialah 2,532 orang.  

Semasa sembahyang tarawih berjemaah dalam kalangan para pegawai dan petugas Masjidilharam di Mekah mereka terpaksa mematuhi SOP yang ketat termasuk melakukan penjarakan sosial. Peraturan ini juga dikekalkan semasa solat sunat Aidilfitri  pada 1 Syawal 1441 Hijrah - kredit foto: Saudi Gazette   


Menurut Masnira, Semasa pelaksanaan perintah berkurung ini restoran dibenarkan dibuka untuk penghantaran sahaja antara jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, manakala kedai runcit dan pasar raya, kedai jualan daging, sayur, stesen minyak serta kedai gas dibenarkan dibuka antara jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang.

Hanya seorang ahli keluarga dibenarkan pergi ke kedai terdekat antara jam 6,00 pagi hingga 6.00 petang.

Maksimum hanya dua orang dibenarkan berada dalam sesebuah kereta.

Kanak-kanak tidak dibenarkan keluar rumah, sekalipun hanya berada di dalam kereta kecuali jika berlaku kecemasan dan perlu dihantar ke hospital.

Katanya, sepanjang tempoh perintah berkurung dikuatkuasakan perjalanan keluar masuk ke kawasan bandar tidak dibenarkan.

Bagi mendapat kebenaran keluar setiap individu perlu mendaftar dan memohon melalui aplikasi tawwakalna. Setelah aplikasi dikemas kini dan permohonan diluluskan barulah mereka diberi permit selama satu jam untuk bebas bergerak di dalam bandar untuk tujuan tersebut.

Permit hanya dikeluarkan kepada satu orang dalam sebuah keluarga.

Pengurusan Masjid Nabawi di Madinah juga tidak membenarkan orang awam bersembahyang tarawih sepanjang Ramadan dan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal berikutan COVID-19 - Kredit foto: TV Haramain. 


Masnira berkata, dengan kaedah aplikasi ini kerajaan dapat mengawal pergerakan individu berkenaan dengan tepat dan teratur.

Malahan dengan pergerakan keluar mengikut giliran ditetapkan masalah kesesakan satu-satu kawasan dapat dielakkan.

Katanya lagi, larangan ini mungkin disebabkan budaya Orang Arab suka berkumpul beramai-ramai pada satu-satu kawasan terutama bila musim perayaan saperti Hari Raya Aidilfitri ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada satu keluarga besar yang tinggal di suatu penempatan atau taman perumahan.

Beliau sebelum ini agak terkilan kerana percutian musim panas di Mekah dan Madinah serta beberapa tempat lain di negara itu bermula April 2020 yang dirancang pulang ke Malaysia bersama suami serta anak-anak terpaksa dilupakan kerana tempahan awal tiket penerbangan dibatalkan disebabkan penangguhan penerbangan keluar masuk di Arab Saudi berpunca COVID-19.

Para pegawai dan petugas di Masjidilharam, Mekah menunai solat tarawih pada akhir Ramadan

(29 Ramadan) 1441 Hijrah dengan mengikut SOP penjarakan sosial - kredit foto Saudi Gazette.


Dengan keadaan itu, Masnira sekeluarga yang tinggal di sebuah kawasan perumahan terletak di pinggir Lebuh Raya Mekah-Jeddah dengan jarak sekitar enam kilometer dari Masjidilharam terpaksa berhari raya di rantau orang dalam suasana perintah berkurung.

Malahan keluarga ini pada tahun-tahun sebelumnya sepanjang Ramadan bertarawih di Masjidilharam tetapi kali ini terpaksa menunaikannya di rumah.

Bagi Rokhaizat Rahmat juga salah seorang rakyat Malaysia yang menetap di Mekah sejak 9 tahun lalu menyifatkan Ramadan 1441 Hijrah ini kali pertama menunai solat tarawih di rumah bersama keluarga kerana di Masjidilharam orang awam tidak dibenarkan hanya dibuka kepada para pegawai dan petugasnya sahaja.

Sementara itu, bagi Nor Abdullah yang menetap di Jeddah melahirkan rasa rindu untuk menziarahi Raudah di Masjid Nabawi untuk berdoa memohon keampunan dan berharap dapat ke sana setelah perintah berkurung berakhir, sekali pun pada Ramadan kali ini tidak dapat berbuat demikian. 

Sempena perintah berkurung 24 jam yang dikuatkuasakan selama lima hari bermula 23 Mei hingga 27 Mei 2020, orang awam tidak dibenarkan solat sunat Aidilfitri di dua masjid utama di Arab Saudi iaitu Masjidilaram di Mekah (kiri) dan Masjid Nabawi di Madinah (kanan). Yang dibenarkan hanya para pegawai dan petugas di kedua-dua masjid berkenaan sahaja.


Beliau yang lebih sebulan tidak keluar rumah melihat banyak perubahan melalui norma baharu semasa ke pasar raya mencari nanas, ikan dan udang kerana sudah lama tidak menikmati bahan-bahan makanan berkenaan.

Katanya, pasar raya di Jeddah semasa Ramadan beroperasi antara jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 15 tahun dibawa bersama semasa membeli belah dengan mengehadkan dua orang untuk satu keluarga.

Semua pengunjung perlu memakai penutup mulut dan hidung serta mengamalkan penjarakan sosial.

Bagi Nur Zianah Kahhar sekelurga yang menetap di Mekah, dia sudah dua bulan tidak ke Masjidilharam dan melahirkan rasa rindu untuk beriktikaf, tawaf, sujud di lantai marmar putih dan karpet hijau, duduk di dalam Hijir Ismail serta memegang kiswah Kaabah.

"Sekalipun hasrat itu terhalang sebab perintah berkurung tapi kami masih bersyukur kerana diberi peluang tinggal di tanah haram Makatul Mukaramah yang penuh barakah," ujarnya. - KitaReporters

Salah seorang pegawai di Masjid Nabawi, Madinah terpaksa melalui mesin penyahkuman semasa masuk ke masjid berkenaan - kredit foto: Saudi Gazette.


Beginilah keadaan bahagian kaunter bayaran sebuah pasar raya di Jeddah, Arab Saudi semasa minggu akhir bulan Ramadan - Kredit foto: Nor Abdullah. Jeddah

 

3
0
0
0
0
You will be interested