Seni & Sukan 17 Dec, 2021

Video| Populariti parodi! Abang Upin Ipin dilamar syarikat rakaman! Single #1 Janji Sampai Mati!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


NAMA Hasif Upin mungkin asing pada pendengaran halwa telinga pendengar muzik tempatan melainkan jika  ‘Upin Ipin’, sudah pasti ramai yang mengetahui nama dua watak animasi kartun popular itu.

Jadi siapa Hasif Upin? Adakah dia ada kaitan dengan Upin dan Ipin?

Sebenarnya, Hasif Upin atau nama sebenarnya, Muhammad Hasif Sharuddin, 29, merupakan bintang media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTUbe yang tular dek kerana video-video parodi 'Upin Ipin' yang dihasilkan menggunakan akaun '@abangupinipin'.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Upin & Ipin



Mempunyai pengikut seramai 2.6 juta, konten parodi watak-watak dalam kartun Upin & Ipin yang dimuat naik sentiasa mendapat perhatian netizen  sehingga ada video mencapai jutaan tontonan.

Ibarat ‘tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, siapa sangka Muhammad Hasif kini telah pun bergelar artis rakaman sulung Armani Entertainment Group dan muncul dengan 'single' pertamanya berjudul 'Janji Sampai Mati'

Semuanya bermula dengan satu video parodi Upin Ipin dihasilkan selepas sahur Ramadan tahun 2020 sehingga ia menjadi tular dan dengan populariti itu memudahkan Hasif Upin ditawarkan sebagai penyanyi setelah sertai uji bakat ‘The Audition’ dianjurkan Armani Entertainment Group.

Bakat nyanyiannya menerima ‘superstar pass’ daripada pengarah tersohor Michael Ang sehingga terus diserap menjadi artis rakaman. 

“Mulanya saya ke sana untuk pencarian bakat lakonan tetapi apabila mereka mendengar saya menyanyi, terus saya ditawarkan kontrak sebagai penyanyi,” cerita Hasif.


Single pertama Hasif Upin yang berjudul Janji Sampai Mati


Jika anda pengikut setia drama 24 episod, ‘I Promise, Janji Anaqi’ dalam slot MegaDrama ditayangkan di Astro Ria bermula 6 Disember 2021 lalu, diterajui pelakon popular, Sharnaaz Ahmad dan Emma Maembong, tentunya telah dengar lagu ‘Janji Sampai Mati’ kerana ia merupakan runut bunyi utama drama berkenaan.

Lagu ciptaan penyanyi dan penggubah lagu terkenal, Aizat Amdan bersama komposer Anas Amdan serta penulis lirik, Mel Ramlan berkisar tentang kisah cinta antara dua jiwa, penantian penuh kesetiaan dan janji yang terpatri sehingga ke akhir hayat.

“Sejujurnya, saya tidak tahu berperasaan sebegitu kerana masih lagi bujang dan saya juga hidup sebatang kara setelah pemergian ibu tercinta menemui Sang Pencipta hujung Oktober 2021, ayah pula sudah lama dijemput Illahi,” kata Hasif.

Berbekalkan doa serta semangat sentiasa dititip oleh ibunya, Mimah Mahmud sewaktu hayat, ia kini menjadi pendorong serta pemangkin kekuatan buat pendatang baharu berasal dari Kota Tinggi, Johor ini memulakan kerjaya dalam bidang seni. 



“Arwah mak suka mendengar nyanyian saya, jadi saya dedikasikan lagu 'Janji Sampai Mati' ini khas untuk beliau.

“Saya diberikan masa tiga hari membuat ‘homework’ bagi memahami dan mendalami maksud lagu. Sepanjang proses rakaman saya disediakan guru vokal, Sarah Ismail  yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar kerana masih terlalu banyak perkara perlu saya pelajari. 

"Harapan saya agar peminat hiburan tanah air dapat menerima kehadiran saya dalam industri dan 'Janji Sampai Mati'," katanya. 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Armani Entertainment Group, Datuk KK Chua menyifatkan kehadiran Hasif sebagai artis pertama di bawah naungannya merupakan salah satu langkah awal pihaknya menembusi pasaran industri muzik Malaysia.

“Saya yakin dengan bakat dimiliki Hasif kerana mampu menyanyi dengan baik dan vokalnya juga  unik serta jarang kedengaran di Malaysia. Semoga ramai terhibur denan single sulongnya.” ujarnya. - KitaReporters


10
14
0
15
0
You will be interested