Seni & Sukan 18 Aug, 2021

FAM beku sementara projek naturalisasi! Langkah bijak! Jangan tangkap muat lagi - Azraai Khor

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Mohamadou Sumareh, salah seorang pemain naturalisasi pasukan Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM


KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘membekukan’ sementara program pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan dianggap sebagai langkah terbaik bagi memastikan badan induk itu tidak mengulangi kesilapan.

Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang bersetuju dengan langkah itu berkata, percubaan FAM menggunakan khidmat pemain naturalisasi untuk menambah taring Harimau Malaya ternyata gagal sebagaimana dibuktikan pada pertandingan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Jun 2021 lalu.

Azraai Khor harap FAM belajar daripada kesilapan. - Kredit foto: KFA


“Kita dapat lihat dan nilai bagaimana sumbangan mereka pada pertandingan di UAE itu. Mereka tidak ubah sebagai penumpang saja dalam pasukan kita, langsung tidak memberi sebarang impak.

“Tapi, itu bukan salah mereka kerana sebagai pemain, apabila anda dipilih mewakili pasukan negara ia adalah satu penghormatan dan kebanggaan walaupun pada hakikatnya, mereka sendiri sedar sejauh mana kemampuan mereka.

“Sebaliknya, FAM patut menyalahkan diri sendiri kerana mengambil sikap tangkap muat dalam pemilihan pemain naturalisasi itu. Apa yang boleh kita harapkan apabila memilih pemain ‘usia senja’ seperti mereka kerana berapa tahunkah mereka boleh memberi sumbangan?

“Tapi, elok juga FAM cepat sedar. Langkah membekukan sementara program ini memang tepat kerana perlu dilakukan bedah siasat untuk penambahbaikan.

“Pastikan, jika program ini diteruskan, kita memilih pemain yang benar-benar berkualiti, kalau tidak lebih baik kita beri peluang kepada pemain tempatan,” ujar Azraai.



Sambil tidak menafikan program pemain naturalisasi memang bagus malah diamalkan oleh kebanyakan negara lain, Azraai bagaimanapun berkata ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan perancangan rapi.

“Kita perlu belajar daripada negara yang berjaya memanfaatkan kaedah ini. Kebanyakan mereka membentuk pemain naturalisasi dari usia belasan tahun bukannya mengambil pemain yang sudah menghampiri penghujung kariernya seperti kita lakukan.

“Jadi, FAM juga perlu memikirkan kaedah ini dengan meninjau bakat-bakat muda negara luar yang berpotensi untuk dijadikan pemain naturalisasi untuk jangka panjang. Ia memang rumit tapi perlu dilakukan jika mahu program naturalisasi membuahkan hasil,” kata Azraai.


Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Kredit foto: FAM


FAM, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada Selasa, 17 Ogos, 2021, memutuskan untuk menangguhkan projek naturalisasi bagi memberi laluan buat tiga jawatankuasa teknikal meneliti keberkesanan program itu.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, tiga jawatankuasa terbabit iaitu Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia serta Jawatankuasa Program Naturalisasi perlu menyediakan laporan lengkap yang akan dibentangkan pada November nanti.

"Ini salah satu perkara (pemain naturalisasi) yang dibenarkan oleh FIFA. Walau bagaimanapun mesyuarat memutuskan projek naturalisasi ini kita akan menunggu laporan daripada tiga jawatankuasa yang akan berbincang dan perhalusi sebelum bawa ke mesyuarat Exco.

"Buat ketika ini, projek naturalisasi daripada FAM ditangguhkan," kata Hamidin pada sidang media secara maya sejurus berakhirnya mesyuarat berkenaan.


Guilherme de Paula, pemain naturalisasi yang menerima kritikan keras penyokong Harimau Malaya kerana aksi hambar pada kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023, di Dubai pada Jun 2021 lalu.


Buat masa ini, pemain naturalisasi yang mewakili Harimau Malaya adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula. Mereka menerima kritikan hebat selepas mempamerkan aksi ‘suam-suam kuku’ pada pertandingan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Sementara itu, Azraai turut menyambut baik polisi baharu pemilihan pemain ke skuad kebangsaan untuk saingan Piala AFF pada Disember 2021 serta Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari 2022 apabila kriteria pemilihan pemain berdasarkan minit permainan dan prestasi semasa.

FAM membuat keputusan itu selepas mengambil kira pandangan serta cadangan pelbagai pihak termasuk daripada mantan presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ekoran kegagalan di UAE.


Liridon dikatakan gagal memberi impak sebagai pemain naturalisasi skuad kebangsaan.


“Saya rasa ini keputusan yang tepat. Ia adil kepada semua pemain yang terbabit dalam liga. Tidak timbul lagi isu pemain yang hanya memanaskan bangku simpanan pun dipilih berdasarkan prestasi silamnya atau kerana kelab diwakilinya.

“Ia juga akan memberi persaingan sihat dalam kalangan pemain. Jika mereka ingin mewakili pasukan negara, mereka perlu sentiasa mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama bersama kelabnya dan menunjukkan prestasi cemerlang secara konsisten,” ujar Azraai.

Sebelum ini, polisi pemilihan pemain skuad Harimau Malaya turut dikritik penyokong apabila beberapa orang pemain yang sekadar menjadi penghuni bangku simpanan dipanggil menyertai skuad kebangsaan sedangkan pemain yang beroleh lebih minit permainan serta menunjukkan prestasi cemerlang diketepikan. - KitaReporters


Antara pemain yang dipilih menganggotai skuad Harimau Malaya untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di UAE pada Jun 2021 lalu. - Kredit foto: FAM

2
0
0
0
0
You will be interested