Seni & Sukan 31 Jul, 2021

Video| Corat-coret: Cerita menarik luar gelanggang! Ceriakan kesuraman temasya Olimpik Tokyo 2020

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


SELEPAS seminggu berlangsung sejak majlis perasmian pada 23 Julai, 2021, Sukan Olimpik 2020, Tokyo menghidangkan pelbagai aksi serta keputusan, ada antaranya di luar dugaan.

Namun, drama yang berlaku di luar gelanggang juga tidak kurang menariknya bagi menambah rencah Sukan Olimpik kali ini yang agak suram tanpa kehadiran penonton akibat ancaman wabak Covid-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Olimpik Tokyo 2020

Berikut adalah antara beberapa kisah menarik luar gelanggang yang sempat kami kumpulkan untuk anda:

Victoria terpaksa menarik diri daripada pertandingan selepas kudanya, Abegglen NRW disahkan sakit gigi.


Tarik diri kerana kuda sakit gigi

Belum sempat masuk gelanggang, sudah terpaksa kibar ‘bendera putih’! itulah yang berlaku ke atas atlet ekuestrian Austria, Victoria Max-Theurer apabila terpaksa menarik diri kerana kuda yang bakal ditunggangnya pada temasya sukan itu mengalami sakit gigi.

Max-Theurer dapat mengesan keanehan tingkah laku kudanya, Abegglen NRW, 11 tahun, semasa latihan menjelang pertandingan. Apabila pemeriksaan kesihatan dilakukan, imbas-x (x-ray) mendedahkan kuda itu mengalami jangkitan pada giginya.

"Kesejahteraan kuda saya selalu berada di atas segalanya bagi saya," kata Max-Theuer. "Ini sangat mengecewakan, tetapi yang paling penting adalah kesihatan kuda saya."


Kredit foto: Instagram Mirabai Chanu


Makan piza percuma seumur hidup

Jaguh angkat berat wanita India, Mirabai Chanu boleh menikmati piza percuma seumur hidup selepas meraih pingat perak kategori 49kg wanita pada Olimpik 2020, Tokyo.

Selepas kejayaan itu, atlet berusia 26 tahun terbabit menyatakan keinginannya untuk menikmati piza selepas terpaksa ‘berpantang’ sepanjang persiapan ke Olimpik.

Mirabai berkata: "Pertama sekali, saya mahu makan piza. Sudah lama saya tak menikmatinya.”

Hasrat Mirabai itu menarik perhatian Domino's India yang kemudiannya berjanji jaguh Olimpik itu akan dapat menikmatinya secara percuma dengan segera.

Domino's India berkata: "Tahniah berjaya membawa pulang pingat!. Anda menyalakan kembali impian berbilion rakyat India dan tiada yang lebih menggembirakan kami daripada menghadiahkan piza percuma seumur hidup. Tahniah sekali lagi!!"


Kredit foto: Shaheizy Sam / Adkhamjon Ergashev.


Shaheizy terkejut ada ‘kembar’ seiras!

Berbeza negara dan jaraknya juga jauh, namun pelakon Malaysia, Shaheizy Sam terkejut apabila mendapati dia mempunyai ‘kembar seiras’ dari negara Uzbekistan!

Atlet angkat berat Uzbekistan, Adkhamjon Ergashev menarik perhatian isteri Sam, Syatilla Melvin apabila dikatakan seiras pelakon itu.

Ia menjadi bahan gurauan antara Sam dan Syatilla apabila mereka saling berbalas status melalui Instagram mengenai perkara itu.

"Awak tak jujur! Semalam, awak keluar cakap nak pergi Bukit Jelutong sekejap saja! Kenapa tak terus terang saja cakap awak kena lari pergi stadium?

"Saya sumpah, okay kalau awak jujur! Lama aku tunggu ikan kembung, bunga kantan semalam nak buat laksa tapi tak sampai-sampai.

"Alih-alih, hari ini kantoi video awak masuk TV," tulisnya dalam Instagram mengiringi gambar suaminya dan potongan video atlet itu.

Tidak berdiam diri, Sam membalas dengan permohonan maaf dalam Instagram.

"Saya terpaksa rahsiakan kepada awak. Maafkan saya Malaysia. Tak ada sesiapa patut tahu saya merentas negeri," tulisnya.

Rata-rata pengikut mereka memberi komen tercuit dengan gurauan suami isteri itu.


Kredit foto: Instagram Welson Sim.


Amoi China puja Welson

Kalah di kolam renang tapi menang di hati peminat!

Perenang Malaysia, Welson Sim mendapat perhatian istimewa dalam kalangan ‘amoi-amoi’ negara China apabila ketampanannya memukau mata mereka, sekali gus menjadi trending dalam platform media sosial negara itu.

Welson, 24, mewakili Malaysia dalam acara 200 meter dan 400 meter gaya bebas di Sukan Olimpik, Tokyo, menjadi perhatian sejak muncul bersama kontinjen Malaysia semasa upacara perasmian temasya sukan berkenaan pada 23 Julai, 2021.

Walaupun memakai pelitup muka, netizen China tetap mengagumi kekacakannya ketika upacara perasmian baru-baru ini.

"Pemuda kacak dari kontinjen Malaysia. Memang hebat, pemuda yang akan berenang tampak sangat tampan!" menurut seorang netizen.

Malah ada antara mereka berkongsi foto Welson dalam Instagram sambil menganggapnya seseorang yang meninggalkan kesan di hati mereka walaupun hanya melihat Welson seketika.

Welson gagal dalam kedua-dua acara disertainya, tapi nampaknya 'menang' di hati gadis-gadis di China. 


Saucedo melamar Maria melalui tulisan  di atas sekeping kertas. 


Akhirnya lamaran diterima!

Selepas lamaran pertamanya ketika kejohanan dunia 2010 ditolak, jurulatih skuad lawan pedang Argentina, Guillermo Saucedo ternyata tidak berputus asa dan mencuba sekali lagi pada Sukan Olimpik kali ini.

Ternyata penantian dan percubaan itu berbaloi. Ibarat memenangi pingat emas, Saucedo terlalu gembira apabila atlet lawan pedang Argentina, Maria Belen Perez Maurice, akhirnya menerima lamaran itu!

Lamaran itu berlaku ketika Maria sedang diwawancara media selepas tewas 15-12 kepada wakil Hungary, Anna Marton, sekali gus menamatkan penampilan ketiganya dalam Sukan Olimpik.

Maria berkata: "Mereka (media) meminta saya untuk toleh ke belakang dan dia (Saucedo) berdiri di situ sambil memegang  sekeping kertas (bertulis ‘Sudikah anda berkahwin dengan saya’?)

"Sudah tentu saya katakan ya," Maria tersenyum. "Kami sangat mencintai satu sama lain, dan kami ingin menghabiskan hidup kami bersama," katanya.


Kredit foto: Suruhanjaya Sukan Filipina.


Hidilyn dapat durian runtuh!

Kejayaan memenangi pingat emas Olimpik, sekelip mata merubah kehidupan atlet angkat berat wanita Filipina, Hidilyn Diaz apabila menerima pelbagai hadiah.

Selain menerima hadiah wang kemenangan sebanyak 33 juta peso (RM2.77 juta) daripada kerajaan Filipina, Hidilyn turut dihadiahkan sebidang tanah, sebuah rumah dan satu unit kondominium.

Tidak cukup dengan itu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte turut menawarkan ganjaran peribadi sebanyak 3 juta peso (RM254,200) dan Angkatan Tentera Udara Filipina pula mengumumkan kenaikan pangkat atlet itu dari Sarjan kepada Staff Sarjan berkuat kuasa 27 Julai, 2021.

Hidilyn juga bakal menikmati penerbangan percuma seumur hidup daripada AirAsia Group serta penerbangan sejauh 80,000 perbatuan daripada Philippine Airlines.

Hidilyn mencipta sejarah sebagai atlet pertama Filipina memenangi pingat emas Olimpik selepas menjuarai kategori 55 kg. - KitaReporters


2
2
0
0
0
You will be interested