Seni & Sukan 18 Mar, 2022

Keluarga Malaysia: Sukarelawan IPGKDRI berbakti di SK Tapah! Misi Banjir 3.0 di Hulu Terengganu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this



PROGRAM Sukarelawan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Nerus, Terengganu, untuk pascabanjir Pantai Timur di Hulu Terengganu adalah ke arah membentuk jati diri yang jitu dalam diri pelajar khusus ahli Kelab Volunteer For Dato’ Razali Ismail (VFDRI) IPG berkenaan.  

Disertai 43 pelajar termasuk ahli VFDRI, tujuh pensyarah penasihat dan staf pengiring mengadakan program Misi Banjir 3.0 Hulu Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah, Hulu Terengganu, selama tiga hari dua malam bermula 10 Mac dan berakhir 12 Mac 2022 lalu bertepatan dengan aspirasi konsep Keluarga Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan IPG

Pelajar IPGKDRI memasukkan peralatan pembersihan ke dalam bas dan kenderaan pacuan empat roda.


Pemilihan SK Tapah sebagai lokasi program berikutan sekolah itu berada dalam kondisi yang teruk akibat banjir dan situasi berkenaan memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada pelajar IPGKDRI untuk melakukan kerja mengemas serta membersih yang secara tidak langsung dapat mempraktikkan tugas sukarelawan.

Sebelum bertolak ke sekolah berkenaan, Pensyarah Penasihat VFDRI, Safri Aziz memberi taklimat pergerakan di hadapan Dewan Al-Farabi dan mengarahkan pelajar terbabit meletakkan peralatan untuk kerja pembersihan ke dalam bas serta kenderaan pacuan empat roda.

Di samping itu Safri memastikan semua pelajar, pensyarah serta staf  pengiring menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dan ujian itu juga akan diadakan sekali lagi selepas mereka pulang ke IPGKDRI pada hari akhir program sebagai mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.


Sukarelawan IPGKDRI membersihkan kawasan dewan terbuka SK Tapah.


Sebelum memulakan kerja pembersihan sebahagian pelajar terbabit membersihkan dewan terbuka dan makmal sains sekolah berkenaan terlebih dahulu untuk dijadikan sebagai ruangan solat serta tempat memasak kerana sepanjang program berlangsung mereka akan menetap di SK Tapah sehingga selesai tugasan.

Pada sebelah petang pelajar memulakan tugas sukarelawan dengan tumpuan membersihkan kawasan tepi padang sekolah diikuti membuang lumpur tebal yang melekat pada wakaf serta mencemari kawasan parking kenderaan SK Tapah yang dilakukan pada hari pertama program berkenaan.

Ketua program pada hari kedua, Muhammad Alif Danial Lukman, dalam taklimat beliau di dataran perhimpunan sekolah berkenaan membahagikan pelajar kepada lima kumpulan untuk memantapkan kerja pembersihan koridor sekolah di aras tiga, mencuci longkang, bilik darjah sertai bangunan kantin.


Sukarelawan IPGKDRI terpaksa berusaha membuang sisa lumpur yang melekat pada lantai dan longkang sekolah itu.


Selepas pulang menunaikan solat Jumaat, tugasan pembersihan terus dilakukan dengan memberi tumpuan membersihkan dua bangunan pentadbiran, tandas, koridor, tangga di aras satu, dua dan tiga serta bangunan prasekolah mengikut kumpulan yang ditetapkan.

Sebagai memastikan tugasan itu dilaksanakan dengan sempurna lima pensyarah iaitu Ronif, Azhar, Tuan Che Abdul Muttalib, Samsiah dan Siti Rahimah selaku pensyarah bimbingan memantau kerja yang dilakukan pelajar sebelum mengikuti sesi tazkirah pada sebelah malam yang disampaikan Safri.

Pada hari terakhir program sebelum bertolak pulang ke IPGKDRI, selepas sesi taklimat semua pelajar melakukan pembersihkan sekitar tapak dataran perhimpunan dan longkang dengan membuang sisa lumpur.


Pelajar IPGKDRI merakamkan kenangan pada hari terakhir melaksanakan tugas sukarelawan membersih SK Tapah, Hulu Terengganu dalam program Misi Banjir 3.0 Hulu Terengganu selama tiga hari dua malam bermula 10 Mac 2022 lalu.


Ahli Jawatankuasa Peralatan program berkenaan, Thakib turut memastikan semua peralatan pembersihan yang digunakan mencukupi serta bersih untuk dibawa pulang ke IPGKDRI dan pelajar dibekalkan setiap seorang satu test kit Covid-19 sebelum pulang ke asrama sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengarah IPGKDRI, Dr Narita Mohd Noor yang turut serta melahirkan rasa bersyukur kerana sukarelawan terbabit melaksanakan tugas dengan sempurna selain meringankan bebanan pihak pengurusan SK Tapah dalam kerja pembersihan.

“Saya berharap semua mereka dapat mempraktikkan tugasan sukarelawan daripada pengalaman pertama itu supaya dapat menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pada masa akan datang dengan membawa imej baik IPGKDRI ini,” katanya. - KitaReporters


Dr Narita (dua dari kanan) turut menyertai sukarelawan IPGKDRI melakukan kerja pembersihan di SK Tapah.

28
11
0
7
0
You will be interested