
TIGA pengadang serentak dipasang Jepun untuk membendung rejaman Shahalril Aiman Halim (22). Norfaizzul Razak (9) dan Aidil Aiman Azwawi (17). - Kredit foto: ST
SAYANG seribu kali sayang. Thailand yang ‘ganas’ dapat ditawan tetapi Si Jepun pula kita yang terlepas pandang atau kerana hanya dipandang enteng.
Tim negara tersungkur mengejut 11-15, 13-15 pada 25 Julai 2025 yang langsung meranapkan hajat memburu gelaran kuadran (berempat) Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand (King’s Cup) 2025 di Hatyai, Songkhla.
Libasan gulung Shahalril Aiman Halim yang sering ditampan sedangkan serangan Jepun kerap pula mengena dan jarang terbuang, menyumbangkan sentuhan kecundang Malaysia dalam pertembungan separuh akhir Divisyen Perdana ini.
Tanpa perejam utama, Afifuddin Razali yang tercedera kaki ketika mengalahkan Korea Selatan, Malaysia menampilkan seorang lagi perejam, Noraizat Nordin sebelum dia digantikan Azlan Alias yang sudah lama tidak bermain acara ini.
Dua pengumpan kita ialah Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Razak.

SERANGAN Malaysia jelas pincang menentang Jepun dalam separuh akhir kuadran tanpa Afifuddin Razali (kanan) yang tercedera setelah menyerlah ketika menumpaskan Thailand. - ST
Jepun kini membalas dendam kekalahannya kepada gandingan negara, 8-15, 11-15 dalam final Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur tanggal 12 Mei 2025 lalu.
Keputusan upset ini juga bagaikan ‘dijangkiti’ daripada Si Gajah Putih yang ditumbangkan Vietnam 12-15, 16-17 terdahulu dalam satu lagi separuh akhir.
Thailand, juara kuadran Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada Mac 2025 lalu, dijinakkan Malaysia 13-15, 16-17 dalam saingan Kumpulan A pada 23 Julai 2025.
Kecuali Sankrai Daoreang, tuan rumah mengekalkan barisan juara ini dalam King’s Cup Ke-38 ini iaitu Kritsanapong Nontakote, Phutawan Sopa, Rachan Viphan, Seksan Tubtong dan Pornthep Tinbangbon.

Walau bagaimanapun masih ada cabaran acara berpasukan demi merebut trofi berprestij milik Thailand yang wajar difokuskan Malaysia setelah mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.
Mereka bertemu naib juara Kumpulan A, India kira-kira pukul 12 tengah hari 26 Julai 2025 waktu kita tadi bagi penentuan tiket final.

RACHAN Viphan (9) memimpin gandingan kuadran Thailand yang turut dianggotai Seksan Tubtong (tengah) dan Phutawan Sopa yang ditumbangkan mengejut oleh Vietnam. - Kredit foto: TAT
Mereka mengesahkannya dengan menewaskan Jepun 3-0 (15-10, 15-13), (15-10, 15-11), (15-11, 15-5) dan Laos 3-0 (15-8, 15-11), (15-5, 15-13), (15-13, 15-11) pada 25 Julai 2025.
Malah sehari sebelumnya, mengatasi lawan di ranking dunia lebih tinggi - Myanmar 3-0 (15-13, 15-9), (15-12, 7-15, 15-13), (15-8, 15-10) dan Korea Selatan 3-0 (14-17, 15-9, 15-11), (15-10, 15-8), (15-6, 15-7).
Gandingan utama kita terdiri daripada Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) diikuti Zulkifli Razak, Shahalril dan Aidil serta diakhiri Haziq Hairul Nizam, Noraizat dan Norfaizzul.
Simpanan ialah Zarif Marican Ibrahim Marican, Afifuddin dan Zaim Razali.

JEPUN membuat adangan dan pertahanan yang ampuh sehingga dua malah kadangkala empat pemain untuk menyekat rejaman Shahalril Aiman Halim (dua dari kanan) dan Azlan Alias (terlindung). - Kredit foto: ST
Malaysia yang mengalahkan India 2-0 (15-10, 15-11), (15-11, 15-8) dalam separuh akhir pada 26 Julai 2025 sudah mengesahkan kemaraan ke final berpasukan untuk berdepan juara bertahan Thailand pada 27 Julai 2025.
Si Gajah Putih pula seperti diduga tidak bermasalah untuk mengatasi Korea Selatan 2-0 (15-8, 15-11) dan (15-8, 15-7).
Hanya dua kali Malaysia pernah berjaya merampas King's Cup iaitu pada 1985 dan 1988 di Bangkok. - KitaReporters

HAZIQ Hairul Nizam (20) diapit oleh Noraizat Nordin (kiri) dan Farhan Adam. - Kredit foto: ST