
P RAMLEE pengarah yang mampu menggilap bakat pelakon.
LAZIMNYA, dalam sesebuah filem, watak hero akan sentiasa dikenang dan menjadi mainan bibir peminat. Jarang sekali pelakon pembantu mendapat 'pengiktirafan' peminat apatah jika dia hanya muncul dalam satu babak sahaja.
Tapi, inilah geniusnya manusia bernama P Ramlee apabila beliau berjaya mengangkat watak sampingan dalam filemnya sebagai legenda pada kalangan peminat.
Bukan saja lakonan mereka diingati sebaliknya dialog yang mereka ungkapkan dalam filem yang mereka lakonkan menjadi ajukan peminat sehingga sekarang.
Watak dibawakan oleh Aziz Satar dan S Shamsudin dalam siri Bujang Lapok, M Zain dan Udo Omar menerusi filem Labu Labu, Mak Dara dalam filem Ibu Mentuaku, Saleh Kamil (3 Abdul), Ibrahim Din dan AR Tompel (Do Re Mi) serta Ibrahim Pendek dalam Ali Baba Bujang Lapok memang menjadi watak ikonik filem-filem arahan P Ramlee.

WALAUPUN memegang hanya sebagai jaga namun lakonan Pritam Singh dikenang sehingga sekarang.
Tapi, siapa boleh lupakan watak jaga bernama Singh, Rafiee, Husin Lempoyang, Hang Kebun, Ustaz Nor KK, Pak Babjan, Chief Khadam dan ibu Norkiah yang turut meninggalkan impak besar kepada kita.
Menerusi filem Seniman Bujang Lapok, Singh yang menjadi jaga di Studio Jalan Ampas dingati peminat kerana menempelak S Shamsudin kerana memanggilnya dengan panggilan "Hoi! Ini wayang gambar pusing ka?"
"Nama saja orang Melayu, sikit adab pun tak tau, panggil orang 'hoi, hoi, hoi'. Saya ini apa batu ka, kayu ka?" kata Singh.
Satu lagi dialog Singh itu yang diingat oleh peminat sehingga sekarang adalah apabila dia menegur seorang petugas di studio bernama Amat yang mempersenda tiga bujang lapok yang mahu meminta kerja sebagai pelakon.

ADEGAN Singh menegur sikap Amat dalam filem Seniman Bujang Lapok.
"Ini macam punya muka mahu jadi film
star ke?" sindir Amat.
"Apa macam lu punya bangsa mahu maju. Lu punya nasib lu makan, dia punya nasib, dia makan, apa salah makan sama-sama," ujar pengawal keselamatan itu.
Walaupun watak Singh itu terlalu kecil namun dia dikenang sehingga sekarang. Malah ramai kalangan peminat tidak kenal pelakon itu waima tidak tahu namanya.
Pritam Singh bukanlah seorang pelakon profesional, tetapi beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan syarikat Shaw Brothers, bertugas mengawal laluan ke pintu masuk di Studio Jalan Ampas.

WOW! Dialog Husin Lempoyang dalam filem Tiga Abdul popular hingga sekarang.
Begitu juga dengan watak Husin Lempoyang, saudagar unta dalam filem Tiga Abdul. Dia dikenang hanya kerana satu babak ketika Abdul Wahub mahu membeli dua abangnya, Abdul Wahab dan Abdul Wahib.
Dialognya "Wow!" yang diungkapnya kerana terlalu teruja ditawarkan harga yang tinggi oleh Abdul Wahub ke atas Abdul Wahab dan Abdul Wahub menjadi ajukan hingga sekarang.
"Berniaga manusia lagi bagus daripada berniaga unta, wow!!" katanya.
Sebagaimana Singh tadi, ramai yang tidak mengenali siapakah pembawa watak Husin Lempoyang itu walaupun selain filem Tiga Abdul, beliau juga pernah berlakin dalam beberapa filem arahan P Ramlee seperti Musang Berjanggut.
Carian menerusi media sosial menyatakan pelakon itu adalah Nyong Ismail atau nama sebenarnya Ismail Abdullah atau dilahirkan dengan nama Chia Soo Tuan, berasal dari Menado, Sulawesi Utara, Indonesia.
Selain watak Husin Lempoyang, beliau juga diingati dengan watak Hang Kebun menerusi filem Seniman Bujang Lapok.

RAFIEE (kanan sekali) dalam filem Madu Tiga.
M Rafiee yang membawa watak sebagai kerani dalam filem
Madu Tiga pula diingat dengan dialog "kasihan" apabila
ditanya oleh Latipah (lakonan Zaharah Agus) mengenai kemalangan yang menimpa
Jamil (P Ramlee).
Walaupun Rafiee merupakan antara pelakon tetap filem-filem arahan P Ramlee namun wataknya dalam Madu Tiga paling diingati termasuk adegan ketika dia masuk meminang Rohanj (Sarimah).
Menerusi filem itu juga pelakon, M Babjan dikenang kerana mengucapkan satu dialog yang terus diguna pakai sehingga sekarang.
"Baik... baik ada makna tu," kata Babjan membalas pujian Rohani ke atas Jamil. Sebagai orang tua, beliau dapat menangkap maksud di sebalik kebaikan Jamil itu.

KHADAM (lakonan Mahmud Hitam) ketika menyambut Sadiq Segaraga (Ahmad Nesfu) dan anak-anaknya.
Gelagat Chief Khadam dalam filem Tiga Abdul semasa menyambut ketibaan Tuan Sadiq Segaraga ke majlis hari jadi Ismet Ulam Raja, turut dikenang hingga sekarang.
"Yang berhormat saudagar barang-barang purba, Tuan Sadiq Segaraga bersama anak-anaknya, Hamidah, Rafidah, Ghasidah, jalan dah."
Ramai yang tidak mengenali pembawa watak itu. Beliau bernama Mahmud Hitam, bekerja sebagai buruh dan krew di Studio Shaw tapi kerap diberi peluang berlakon sebagai pelakon tambahan.
Antara watak yang pernah dilakonkannya adalah sebagai guru silat kepada Tun Nila Utama (P Ramlee) dalam filem Musang Berjanggut dan sebagai orang kampung yang memberi upah tebu kepada Belalang dalam filem Nujum Pak Belalang. Namun, wataknya sebagai Chief Khadam dalam Tiga Abdul paling diingati.

NOOR KK (kiri) bersama AR Tompel dalam filem Nasib Do Re Mi.
Dan siapa boleh lupa watak pak lebai yang dibawa oleh Noor KK dalam filem Nasib Do Re Mi. Walaupun kemunculannya dalam filem itu hanya satu babak tapi beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon yang dikenang sepanjang zaman.
Adegan yang membabitkan beliau bersama AR Tompel, Ibrahim Din dan P Ramlee (Do Re Mi) di sebuah kedai kopi adalah paling dingat hingga dialognya melekat dalam ingatan peminat sehingga sekarang.
Selain dialognya bersama Tompel, paling diingati adalah adegan ketika dia mahu melarikan diri kerana menyedari mahu ditipu oleh tiga lelaki itu
"Sebelum dia pekenekan saye, saya pekeneke dia dulu. Padan muka die hee...hee. Duduk la situ sampe pagi esok," katanya.

CHIK (kiri) bersama P Ramlee dalam filem Masam-Masam Manis.
Anda juga mungkin tidak mengenali pelakon bernama Chik tapi jika disebut emak kepada Norkiah dalam filem Masam-Masam Manis, sudah tentu anda dapat membayangkan siapakah wanita yang dimaksudkan.
Dalam filem itu, emak Norkiah digambarkan seorang wanita kampung dari Alor Setar yang datang ke Kuala Lumpur untuk menjenguk anak gadisnya itu.
Lakonan Chik yang selamba berjaya memikat hati penonton terutama ketika dia melontarkan dialog berbunyi “Amboi sombongnya budak ni…hang tunjuk ek kat aku no, tak apa, nanti hang pi Aloq Setaq, kepala hang nanti aku putaq tau” yang ditujukan kepada Cikgu Shaari (lakonan P Ramlee).
Walaupun Chik kurang dikenali tapi dialog berkenaan menyebabkan beliau diingati sehingga sekarang serta menjadi ajukan peminat.

HAJI Bakhil (lakonan Udo Omar) antara watak yang dilahirkan oleh P Ramlee.
Demikian impak yang ditinggalkan oleh watak-watak ciptaan P Ramlee. Pelakon-pelakon di bawah arahannya sentiasa cemerlang walaupun hanya membawa peranan kecil.
Lihatlah bagaimana P Ramlee mengangkat Mak Dara, Udo Omar, Ahmad Nesfu, Aziz Satar, S Samsudin, Sharif Dol, M Zain dan ramai lagi ke satu tahap luar biasa.
Walaupun mereka ini adalah pelakon yang dikenali menerusi filem-filem lain, namun tidak dinafikan di tangan P Ramleelah bakat sebenar nereka lebih terserlah dan bersinar.
Pada 29 Mei, 2025 ini, genap 52 tahun Tan Sri P Ramlee kembali ke rahmatullah namun khazanah yang ditinggalkannya tidak luntur dek panas, tidak lapuk dek hujan. Al-Fatihah. - KitaReporter