Kepergian tokoh seni Indonesia, Titiek Puspa, 87, pada Khamis, 10 April 2025 lalu dirasai ramai insan seni di negara itu kerana sifat mulianya yang suka membantu artis yang menghadapi masalah di samping terus bergiat dalam industrI seni hingga akhir hayat.
Kerana itu Titiek Puspa Purnamasari atau nama asalnya Sudarwati atau Sumarti menjadi emak angkat bagi sejumlah insan seni Indonesia. Dan antaranya ialah penyanyi dangdut terkenal Inul Daratista.
Kerana jasa besar Titiek, wanita berjiwa kental ini dianggap sebagai ibunya sendiri, bukan lagi sebagai mak angkat. Inul menganggap Titiek Puspa sebagai manusia terbaik di dunia.


Wanita ini menjadi penyelamat Inul yang sudah lemas dalam bidang hiburan untuk menapak semula dengan bantuan Titiek Puspa.

Ketika itu sebagai penyanyi yang belum ada nama, tiada tawaran untuk menyanyi di pentas. Untuk kembali ke kampung, Inul berasa malu. Dan peluang bertemu dengan Titiek Puspa memberi rahmat buat Inul.
Sebagai penyanyi dan komposer berpengalaman, Titiek melihat Inul punya peluang cerah untuk menjadi penyanyi dangdut yang berjaya.
Lalu Titiek membawa Inul mengikut shownya di seluruh Indonesia selama dua bulan. Hasil pendapatan sebagai penyanyi pentas membolehkan Inul membayar sewa rumah yang sudah tertunggak sebanyak 285 juta rupiah (kira-kira RM75,000) .
Kerana sudah menjadi anak angkatnya, Titiek turut membawa Inul berjalan dengan menaiki pesawat peribadi milik saudara Titiek. Ia merupakan pengalaman pertama Inul naik pesawat.


Titiek juga merupakan tokoh seni yang membela Inul daripada kritikan pedas ‘Raja Dangdut’ Rhoma Irama yang ketika itu mengetuai Persatuan Artis Muzik Melayu Indonesia (PAMMI).
Rhoma menganggap kemunculan Inul dengan lagu sulungnya ‘Goyang Inul’ pada Mei 2003 keluaran syarikat rakaman Blackboard dengan tarian sensasinya yang dinamakan tarian ngebor telah merosakkan industri dangdut Indonesia.
Rhoma meminta Inul tidak muncul dalam siaran TV dengan menyampai lagu itu dan lagu lain dengan tarian ngebornya iaitu menari dengan pakaian sendat. Ia menjadi isu kontroversi ketika itu.
Dan Titiek merupakan tokoh seni yang menantang keras tindakan Rhoma dan membela anak angkatnya itu.
Berkat lagu cari makan ‘Goyang Inul’ dengan klip video yang memaparkan tarian ngebornya membuat Inul meledak. Inul terus menjadi penyanyi dangdut paling popular ketika itu.
Tawaran menyanyi di pertunjukan pentas datang bertalu-talu dan Inul mampu mendapat pendapatan lumayan dan mulai merasai hidup selesa.
Kemarahan Rhoma tiada kesudahan. Pada Januari 2006, Rhoma di depan anggota Parlimen (DPR) Indonesia mengeluarkan kenyataan menentang aksi pentas Inul yang berunsur pornografi dan menjejaskan citra dangdut.
Membalas kenyataan Rhoma pada April 2006, Inul membuat kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan dalam media massa bahawa dia ingin berpos bogel dalam majalah Playboy edisi Indonesia.
Kontroversi Inul itu membuat dirinya semakin popular sebagai penyanyi dangdut.
Krisis antara Rhoma Irama dan Inul Daratista berkepanjangan sehingga kini. Jika dalam program TV, masing-masing tidak akan muncul dalam program yang sama.

Titiek Puspa turut membantu majlis perkahwinan Inul dengan kenalan sekampungnya Adam Sumingharto Suseno, yang menjadi mualaf pada 29 Mei 1995.
Titiek turut membantu Inul ketika proses kelahiran anak tunggal Inul, Yusuf Ivander Damares melalui program

Ketika Titiek Puspa dirawat di hospital, Inul setiap hari melawat malah tidur bersama di hospital. Cuma Inul agak ralat kerana tidak berada di sisi Titiek Puspa pada saat akhir kematiannya. Ini kerana dia pulang ke rumah sekejap untuk menukar pakaian.

Inul Daratista kini sudah hidup selesa sebagai penyanyi dangdut dan perniagaannya bermula dengan semangat dan dorongan Titiek Puspa. - KitaReporters