Siapa tak kenal Ismail Izzani? Penyanyi muda berbakat ni memang selalu ada saja kejutan.
Kali ini, dia kembali dengan single terbaharunya, diberi nama “Tenggelam”, sebuah karya yang menzahirkan perasaan cinta yang mendalam dan jujur, disampaikan melalui gubahan melodi yang tangkap jiwa serta lirik yang dekat dengan hati.
Lagu tersebut menampilkan sisi kematangan Ismail dalam menyampaikan kisah cinta secara metafora tanpa kehilangan jiwa pop moden yang menjadi kekuatan utama dalam karya-karyanya sebelum ini.
“Lagu ini bukan tentang kejatuhan atau kesedihan. 'Tenggelam' adalah metafora kepada rasa cinta yang sangat mendalam, tentang bagaimana perasaan itu membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita,” ulas pemilik bernama penuh Ismail Izzani Zainal Nazeri.

Menurut penyanyi muda berusia 25 tahun ini, proses cipta lagu ni memang spontan gila semasa sesi pertama dia berada di studio MFMF.
"Sebaik sahaja saya dengar beat itu, ‘hook’ terus datang," ceritanya, sambil menambah yang prosesnya sangat organik malah bersyukur sebab banyak bahagian lirik datang daripada idea dia sendiri yang dikongsi bersama Brendan Lim Seng Meng, manakala bahagian komposisinya pula dihasilkan oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan.
Ismail pun happy sangat dapat bekerjasama dengan MFMF, sebab bukan sahaja kreativiti dia semakin berkembang, tapi banyak juga benda baharu yang dipelajarinya.
Dia percaya, suasana studio yang selesa memang penting untuk seseorang artis hendak meluahkan ekspresi kreatif dengan jujur dan tanpa batasan.
Untuk muzik video (MV) rasmi "Tenggelam" pulak, Ismail ambil pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan, tanpa sebarang jalan cerita yang konvensional tetapi fokus pada mood dan emosi, siap dengan vibe Y2K yang rare sekarang ni.

"Kami memulakan penggambaran seawal 4 pagi," kata Ismail.
Walaupun pagi buta, dia suka sebab bila mulakan awal, ada banyak ruang untuk improvise dan idea-idea spontan pun banyak muncul semasa dalam set.
"MV ini bukan tentang naratif, tetapi tentang vibe, perasaan yang ingin disampaikan menerusi visual dan ekspresi." tambahnya.
Salah satu momen paling bermakna bagi Ismail dalam proses penghasilan lagu ni adalah peluang untuk kembali bekerjasama dengan individu yang dah bersamanya sejak hari pertama, iaitu Ghazi Maslan dan Lily.
Dan mengenai harapannya untuk lagu ni, Ismail kekal merendah diri namun tulus dalam impiannya.
"Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba sampaikan. Saya mahu orang terima saya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pemuzik dan penghibur yang boleh memberi kesan kepada mereka," ujarnya.
Ismail pun berharap sangat agar "Tenggelam" akan jadi permulaan kepada lebih banyak lagi karya yang hendak dihasilkan selepas ni.
Dah dengar ke "Tenggelam" ni? Apa pendapat anda? - KitaReporters

Persembahan pertama Ismail Izzani membawakan lagu 'Tenggelam' di hadapan para pelajar UKM. - Kredit Foto: Instagram @Ismailizzani_