BARISAN juara regu berpasukan Piala Dunia Istaf dari Thailand dirombak secara drastik dengan kembalinya dua perejam senior dan dua muka baharu bagi menghadapi King's Cup. - Kredit foto: ST
SITTIPONG Khamchan dengan servis kapak derasnya masih mendapat kepercayaan Thailand untuk mempertahan King's Cup di Korat yang dijangka pada final, 8 September 2024. - Kredit foto: ST
THAILAND merombak barisan juara regu berpasukan Piala Dunia Istaf 26 Mei 2024 lalu apabila tampil sebagai juara bertahan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau King’s Cup di Korat dari 1 hingga 8 September 2024.
Si Gajah Putih hanya mengekalkan kesemua tekong
sebaliknya mengembalikan dua perejam atau apit kanan senior dan membawa masuk seorang muka
baharu selain memperkenal seorang lagi pengumpan atau apit kiri.
Empat tekong yang kekal mendapat kepercayaan gandingan jurulatihnya, Supot Tumpracha dan Prawet Intra ialah Sittipong Khamchan, Siriwat Sakha, Kritsanapong Nontakote dan Pornthep Tinbangbon.
JIRASAK Pakbuangoen tersenarai tetapi tidak dapat beraksi pada Sukan Asia Hangzhou 2023 atas sebab teknikal.
Hanya Varayut Jantarasena dikekalkan daripada skuad Piala Dunia di Kuala Lumpur manakala Thawisak Thongsai dan Jirasak Pakbuangoen yang kali akhir menyarung jersi Thailand pada Sukan Asia Hangzhou 2023 tersenarai kembali sementara muka baharu ialah Sankhai Daoreang.
Supasin Boonrueng juga bakal menjejak arena antarabangsa mulai King’s Cup ini, mengekori apit-apit kiri seniornya seperti Seksan Tubtong, Rachan Viphan dan Marukin Phanmakon dalam acara regu berpasukan, kuadran dan kuadran campuran Divisyen Perdana.
Rachan juga membantu Si Gajah Putih mempertahan pingat emas regu berpasukan Sukan Asia Hangzhou pada 29 September 2023 lalu tetapi tidak terpilih ke Piala Dunia.
Senarai pemain King's Cup ini diumumkan oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) dalam laman sosialnya pada 22 Ogos 2024.
Mereka yang daripada skuad Piala Dunia tetapi tidak terpilih bagi King’s Cup ialah perejam kidal Pichet Pansan, Tanaphon Sapyen dan Kittiphum Sareebut di samping dua pengumpan, Wichan Temkort dan Poramet Siriswat.
THAWISAK Thongsai, perejam kidal di ranking ketiga tim Thailand.
KRITSANAPONG Nontakote (tengah) antara tonggak kejayaan Thailand menjuarai regu berpasukan Piala Dunia Istaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan menumpaskan Malaysia 2-1 tanggal 26 Mei 2024 lalu. - Kredit foto: ST
Thailand menjuarai regu berpasukan Piala Dunia Istaf dengan menewaskan Malaysia (15-9, 11-15, 13–15), (15-8, 15-5), (15-12, 15-12) tetapi tumpas kepada musuh tradisi itu pada final antara regu (8-15, 12-15) dan beregu (16-17, 13-15).
King’s Cup 2023 juga di Korat yang menjadi
rebutan acara kemuncak regu berpasukan sahaja, kekal milik tuan rumah selepas
menundukkan Malaysia (21-18, 21-9), (21-14, 21-14) malah mereka memenangi final
antara regu, 22-20, 21-17.
Sekalipun King’s Cup dianjurkan TAT, tuan rumah seperti
negara-negara peserta undangannya, turut tertakluk kepada syarat penyertaan wajib
regu berpasukan, antara regu atau kuadran (berempat), regu campuran atau
kuadran campuran dan pilihan gelung – seperti ditetapkan Persekutuan Sepak
Takraw Antarabangsa (Istaf).
Istaf telah menauliahkan status dan pengiktirafan Kejohanan Dunia kepada King’s Cup sejak 11 Disember 1992 di Stadium Khon Kaen.
PEREJAM kidal bertubuh sasa, Pichet Pansan (12) tidak terpilih ke King's Cup 2024 berbanding tekongnya, Kritsanapong Nontakote (23). - Kredft foto: ST
Thailand mengetuai Kumpulan A regu berpasukan
sambil ditentang oleh India dan Jepun, manakala Myanmar, Kemboja dan Brunei dalam Kumpulan B, sementara Malaysia, China dan Laos membentuk Kumpulan C, dan akhir sekali, Kumpulan D dibarisi
Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.
Hanya juara setiap kumpulan akan mara ke separuh
akhir, namun Malaysia dijangka mudah menjuarai acara antara regu yang cuma disaingi
India, China, Singapura dan Brunei dalam Divisyen Perdana yang berformat liga
sepusingan ekoran ketiadaan Thailand yang memilih kuadran.
Agak sukar peluang untuk melihat Malaysia berentap
dengan Thailand pada final kuadran campuran memandangkan taraf daya saing pemain-pemain
wanita kita yang masih rendah dan tidak seperti lelaki.
Apatah lagi untuk melepasi peringkat Kumpulan A Divisyen
Perdana acara itu yang turut mengandungi Laos dan Vietnam yang agak seimbang
bagi kedua-dua jantina selain India.
Tuan rumah yang sentiasa menguasai podium emas lelaki dan wanita Sukan SEA dan Sukan Asia, kian pasti menjadi pilihan menjuarai Kumpulan B tanpa bermasalah untuk melepasi tentangan Jepun, Myanmar dan Kemboja. - KitaReporters
BARISAN pemain Malaysia dengan jurulatih, Haris Abdul Rahman (depan, kiri) yang merampas King's Cup daripada tuan rumah pada 13 Disember 1988 di Stadium Hua Mark, Bangkok. - Kredit foto: IT
SENARAI JUARA DAN KEPUTUSAN FINAL KING’S CUP
1984 Bangkok:
Thailand A 2 Thailand B 0
1985 Bangkok: Malaysia
2 Thailand B 1
1986 Bangkok:
Thailand A 2 Malaysia 1
1987 Bangkok:
Thailand A 3 Thailand B 0
1988 Bangkok:
Malaysia 2 Thailand 0
1989 Bangkok: Thailand
A kalahkan Thailand B
1990 Bangkok: Thailand 2 Malaysia 1
1991 Ditunda ke 1992
1992 Bangkok: Thailand B kalahkan Thailand A
1992 Khon Khaen: Thailand A 2 Thailand B 0
1993 Trang: Thailand B 2 Malaysia 1
1994 Bangkok:
Thailand A 2 Malaysia 0
1995 Tiada pertandingan
1996 Hatyai: Thailand B kalahkan Thailand A
1997 Nakhon Sawan:
Thailand A
1998 Bangkapi:
Thailand A
1999 Bangkapi:
Thailand B
2000 Bangkapi:
Thailand
2001 Tiada pertandingan
2002 Bangkapi:
Thailand kalahkan Malaysia
2003 Phatthalung: Thailand kalahkan Malaysia
2004 Bangkok: Thailand
2005 Bangkok: Thailand 2 Malaysia 0
2006 Bangkok: Thailand 2 Indonesia 0
2007 Bangkok:
Thailand 2 Malaysia 0
2008 Bangkok:
Thailand 2 Malaysia 0
2009 Bangkok:
Thailand 2 Malaysia 0
2010 Chiang Mai:
Thailand 2 Korea Selatan 0
2011 Bangkok:
Thailand 2 Indonesia 0
2012 Bangkok:
Thailand 2 Korea Selatan 1
2013 Udonthani:
Thailand 2 Indonesia 0
2014 Bangkok:
Thailand 2 Korea Selatan 0
2015 Bangkok:
Thailand 2 Korea Selatan 0
2016 Bangkok:
Thailand 2 Malaysia 0
2017 Bangkok:
Thailand 2 Korea Selatan 0
2018 Korat: Thailand
2 Malaysia 0
2019 Bangkok: Thailand
2 Indonesia 1
2020 Tiada pertandingan-
2021 Tiada pertandingan-
2022 Bangkok: Thailand
2 Korea Selatan 0
2023 Korat: Thailand 2 Malaysia 0
FINAL King's Cup di Stadium Hua Mark tanggal 11 Mei 1985 yang menyaksikan Malaysia (berseluar merah) termasuk Raja Sepak Takraw Asia, Adnan Saidin (berdiri, enam dari kanan) menjinakkan Thailand B 2-1. - Kredit foto: IT
AKSI final regu berpasukan King's Cup 2023 di Korat antara perejam Malaysia, Azlan Alias (dua dari kanan) yang cuba dikekang Varayut Jantarasena. - Kredit foto: ST