Seni & Sukan 05 Aug, 2024

Tak menyerah kalah! Syabas Aaron-Wooi Yik! Gangsa Olimpik dipertahan! Pingat pertama di Paris 2024!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

AARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik menggenggam tangan meraikan kejayaan mengutip mata terhadap pasangan Denmark, Kim Astrup/Anders Rasmussen. - Kredit foto: MOM


SEHINGGA hari ke-10 iaitu tanggal 4 Ogos 2024 barulah Malaysia mampu menyertai dalam kedudukan pungutan pingat Sukan Olimpik Paris 2024 di anak tangga ke-60.

Kalungan pingat gangsa dihadiahkan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga beregu lelaki badminton temasya ke-33 itu di Arena Porte De La Chapelle.

Mereka menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen yang juga pilihan kedua Olimpik ini, 16-21, 22-20, 21-19 dalam tempoh 74 minit. 

Biarpun begitu, mereka kempunan mengumandangkan lagu Negaraku di podium, sekali gus merealitikan pingat emas sulung Malaysia di arena Olimpik sejak 1956 kerana disekat gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada separuh akhir, 3 Ogos 2024.


ARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik menayangkan pingat gangsa beregu lelaki badminton dan cenderamata Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: MOM


Kejayaan Aaron-Wooi Yik mempertahan pingat gangsa sejak Sukan Olimpik Tokyo 2021, membolehkan Malaysia menyusuli dua negara jiran Asia Tenggaranya, Filipina dan Indonesia dalam senarai pungutan itu. 

Mereka juga menebus kehampaan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang kecundang dalam perlawanan penentuan sama kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida 11-21, 11-21 pada 3 Ogos 2024.  

Pingat gangsa Olimpik Paris turut melayakkan Aaron-Wooi Yik menikmati ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sebanyak RM100,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN). 

Selain itu mereka akan menerima RM2,000 secara bulanan menerusi Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) sepanjang hayat. - KitaReporters


AARON Chia dan Soh Wooi Yik (kanan) bergambar di podium dengan pemenang pingat emas beregu lelaki badminton Sukan Olimpik Paris 2024 dari Taiwan (tengah) dan perak dari China (kiri). - Kredit foto: MOM


Ulasan Aaron-Wooi Yik: 

“Kebangkitan terhebat dalam pertandingan besar sejak Kejohanan Dunia. Dua mata akhir, kami hanya teruskan bermain. 

“(Faktor kejayaan) ada keajaiban dan yakini diri kami. Kami terus menyerang dari bahagian tengah. Kami hanya fikir untuk tidak mahu menyerah kalah.  

“Kami gunakan kekurangan lawan. Kami bangga memenangi pingat buat Malaysia. Sasaran kami sudah tentu lebih tinggi tetapi sekurang-kurangnya kami masih memberi Malaysia gangsa.

“Permainan tadi tentang mental dan saling mempercayai. Beregu Denmark banyak mengawal set pertama, mantap dan sehingga mata akhir itu, masih mengasak. 

"Kepada mereka yang sentiasa menyokong kami sejak Tokyo 2021, kami tetap bangkit daripada kalah separuh akhir.” 


AARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik (dua dari kanan) saling berpelukan dengan jurulatih mereka, Tan Bin Shen (kanan) dan Rexy Mainaky selepas memenangi perlawanan penentuan pingat gangsa beregu lelaki badminton Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: MOM


Laluan ke pingat gangsa Aaron-wong Yik:

Kumpulan A: Kalahkan Ben Lane-Sean Vendy (Great Britain) 19-21, 21-16, 21-11, kalahkan Adam Dong-Nyl Yakura (Kanada) 21-10, 21-15, dikalahkan oleh Liang Wei Keng-Wang Chang (China) 22-24, 14-21.

Suku akhir: Kalahkan Rankireddy Satwiksairaj-Shetty Chirag (India) 13-21, 21-14, 21-16. 

Separuh akhir: Dikalahkan oleh Liang Wei Keng-Wang Chang (China) 19-21, 21-15, 21-17.

Penentuan pingat gangsa: Kalahkan Kim Astrup-Anders Rasmussen (Denmark) 16-21, 22-20, 21-19.


SOH Wooi Yik membalas pukulan pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Rasmussen sambil diawasi Aaron Chia di depan. - Kredit foto: MOM 

9
15
0
17
0
You will be interested