Seni & Sukan 28 Aug, 2022

Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis untuk Keluarga Malaysia! Usaha merakyatkan klinik kesihatan!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Salah seorang pengunjung Program Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis, Johor mengambil kesempatan melakukan saringan kesihatan fizikal.


PENGANJURAN Program Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis bukan sahaja mampu 'mendekatkan' lagi masyarakat dengan institusi kesihatan tersebut, malah dapat menepis pandangan masyarakat bahawa klinik kesihatan hanyalah tempat untuk mendapatkan rawatan ketika mengalami masalah kesihatan sahaja.

Usaha itu tentunya bertepatan dengan inspirasi Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob melalui program aspirasi Keluarga Malaysia.

Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Zaid Kassim berkata, melalui penganjuran program seumpama itu, masyarakat bukan saja berpeluang mengetahui pelbagai perkhidmatan yang terdapat di klinik kesihatan, malah mereka boleh memperolehi ilmu pengetahuan yang mampu memperkasa kesihatan mereka menerusi pelbagai program pendidikan yang disediakan oleh kakitangan klinik yang terlatih.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan klinik-klinik kesihatan

Dr Zaid Kassim (tengah) menyampaikan hadiah kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Labis yang memenangi tempat pertama kuiz kesihatan.

Salah seorang petugas fisiotraphi Klinik Kesihatan Labis sedang melakukan saringan fizikal kepada salah seorang pengungjung warga emas ketika Program Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis, Johor.


"Ini selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menggariskan empat teras bertujuan menjadikan rakyat negara ini sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat.

"Empat teras yang telah digariskan tersebut adalah promosi pembudayaan hidup sihat, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan kebersihan persekitaran," katanya berucap menyempurnakan perasmian penutup Program Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis, Johor pada 27 Ogos 2022.

Menurutnya, pelbagai pengisian melibatkan semua peringkat umur masyarakat setempat bermula daripada kanak-kanak sehingga warga emas sepanjang berlangsung program tersebut di mana kesemua pengisian tersebut mampu memberi manfaat kepada pengunjung mencakupi aspek kesihatan fizikal dan mental. 

Namun apa yang lebih penting katanya, matlamat program tersebut untuk mendidik masyarakat agar tidak hadir ke klinik ketika mahu mendapatkan rawatan kesihatan semata-mata dapat dicapai, sekali gus dapat melahirkan masyarakat yang lebih terbuka melihat klinik kesihatan sebagai sumber rujukan untuk mendapatkan pelbagai maklumat terutama dari aspek penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat.   


Sebahagian kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna semasa Program hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis, Johor.

"Suka saya memaklumkan daerah Segamat mencatatkan peningkatan 200 peratus kes demam denggi dengan 83 kes sehingga 13 Ogos 2022 berbanding 22 kes dalam tempoh sama pada tahun 2021menjadikan Segamat sebagai daerah ketiga mencatat kes tertinggi dalam kalangan 10 daerah yang terdapat di negeri Johor.

"Bagi kes penyakit berjangkit lain pula, Segamat mencatatkan 781 kes Penyakit Kaki Tangan dan Mulut (HFMD) iaitu di kedudukan tangga kelima di negeri ini. 

"Sementara bagi penyakit malaria pula terdapat tujuh kes direkodkan menjadikan Segamat daerah kedua tertinggi dan Covid-19 pula, secara kumulatif terdapat 15,880 kes positif di Segamat mencatat kedudukan kelapan di Johor sepanjang tempoh negara dilanda pendemik Covid-19," katanya. 

Katanya, jumlah penyakit berjangkit yang dicatatkan itu berkait rapat dengan tahap kebersihan persekitaran dan jumlah tersebut boleh dikurangkan sekiranya masyarakat prihatin terhadap kebersihan persekitaran mereka dan berusaha memusnahkan tempat pembiakan nyamuk yang menjadi punca penularan demam denggi dan malaria.  


Salah seorang pengunjung mendengar penerangan mengenai pengunaan alat untuk mengukur kadar gula dan tekanan darah ketika Program Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis, Johor.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tenang, Haslinda Salleh menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam penganjuran program tersebut sekali gus membuktikan  kesihatan rakyat bukan tanggungjawab Kementeriaan Kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk pelbagai agensi kerajaan lain.

"Masyarakat tidak harus memandang remeh aspek penjagaan kesihatan kerana tahap kesihatan rakyat memberi pengaruh besar terhadap kemajuan serta ekonomi negara. 

"Ekonomi negara yang dipenuhi rakyat berpenyakit tidak akan mampu berkembang  dengan baik selain terpaksa menyediakan peruntukan yang besar untuk kos rawatan yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan.

"Situasi tersebut akan merugikan semua pihak dan ia boleh dielakkan sekiranya terdapat kesedaran  tinggi dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kesihatan melalui pencegahan awal serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat," katanya. - KitaReporters.

ADUN Tenang, Haslinda Salleh (tengah) ketika melawat salah satu meja pameran di Program Hari Terbuka Klinik Kesihatan Labis, Johor.

14
14
0
13
0
You will be interested