Seni & Sukan 27 Feb, 2023

Video| Alamak! Yonnyboii, Alpyh dah Sengkek? Mampu berikan satu kelainan dalam dunia hip hop serantau!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Jika disebut nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin yang panjang itu tentu ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangannya tetapi bila sebut nama pentasnya, Yonnyboii, pasti ramai yang kenal.

Penyanyi hip hop muda berusia 24 tahun ini tidak syak lagi merupakan seorang rapper yang pantas meningkat malah berjaya meninggalkan kesan dalam industri muzik tempatan apatah lagi setelah memenangi kategori Album Terbaik: Yonny (Deluxe Version) pada Anugerah Industri Muzik ke-23 pada tahun lalu (2022).

Tidak mahu terhenti dengan pencapaian setekat itu sahaja, Yonnyboii terus aktif dengan karya baharu dan terhasillah lagi sebuah single baharu berjudul ‘Sengkek”.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi-penyanyi rapper


Aik! Kenapa ‘Sengkek’ selepas mendirikan mahligai bahagia bersama isteri tercinta Nik Nazirah Nik Narriman pada November 2021, banyak keluar duit belanja ke?

“Lagu ini sebenarnya ditulis semasa saya sedang mengalami situasi ‘sengkek’ beberapa tahun lepas dan meletakkannya dalam aplikasi TikTok. Selepas menerima pelbagai respons positif daripada peminat dan pengikut, saya mengambil keputusan untuk menyiapkannya dan menjadikan ia projek terbaharu saya,” ujar Yonnyboii pada majlis sidang media 'Sengkek' baru-baru ini. 

Turut hadir Pengarah Urusan Def Jam Recording SEA, Joe Flizzow; Hermond Cheng selaku Pengarah, A&R Pemasaran & Promosi, Universal Music Malaysia merangkap Ketua Def Jam Recordings Malaysia dan David Tee, Naib Presiden, A&R & Komersial, Def Jam Recordings South East Asia. 

'Sengkek' merujuk kepada sebuah perkataan yang digunakan dalam Bahasa Malaysia lisan dalam kalangan generasi muda. Ia bermakna tidak berduit dan bermula sebagai satu imbasan tentang keadaan Yonnyboii pada awal kerjayanya yang masih belum berduit namun ingin mengejar impiannya.

Itulah kini setelah bergelar suami tentu kewangan pun dah stabil tetapi kenangan lalu tetap mengusik jiwa kan walaupun dah menggapai puncak impian.


Dari kiri: Hermond, Yonnyboii, Alyph, Joe Flizzow dan David Tee.


Itu kisah Yonnyboii di Malaysia  manakala rapper dari Singapura, Alyph tidak kurang meletup namanya dalam waktu singkat apabila lagunya ‘Swipe’ menjadi siulan dan trending dalam platform media sosial malah menjadi lagu latar kepada gelagat artis-artis ternama di Malaysia antaranya Janna Nick dan ramai lagi. 

Alyph atau nama sebenarnya Aliff Abdullah, 33, kini bergabung dengan Yonnyboii bersama menghasilkan ‘Sengkek’ di mana lagu ciptaan mereka itu disusun pula oleh pemenang Anugerah Juara Lagu dan tokoh hip hop tersohor, SonaOne bersama-sama Alyph yang juga bertindak sebagai penerbit bersama.



'Sengkek' merupakan sebuah karya seni yang mampu memberikan kelainan dalam dunia hip hop serantau yang menceritakan perjalanan ramai orang yang bermula mengejar cita-cita tanpa wang dan bagaimana mereka berjaya melalui pelbagai cabaran untuk sampai ke satu titik selesa. 

Berkongsi cerita bagaiamana Alyph boleh terlibat dalam penciptaan awal lagu ‘Sengket’ kata Yonniboii, “saya menghantar demo tersebut kepada SonaOne untuk proses susunan dan penerbitan. 

"Semasa SonaOne sedang mengerjakannya di studionya di KL, Alyph singgah ke studio beliau, mendengarnya dan terus menyatakan hasratnya untuk menjadi sebahagian daripada lagu tersebut dan memberikan perspektifnya yang tersendiri. Saya berbesar hati kerana memang impian saya untuk bekerjasama dengan Alyph.

"Alyph pula mengaku bahawa dia melihat potensi besar pada karya tersebut sejak pertama kali mendengarnya. 

"Saya dapat dengar keikhlasan serta kejujuran dalam suara Yonnyboii semasa mula-mula mendengar demo ini di studio SonaOne. Saat itu saya tahu saya mampu memasukkan sesuatu dari sudut pandang saya untuk lagu tersebut,” kata Alyph.



Tetapi disebabkan kesibukan jadual mereka, kedua-dua bintang ini terpaksa melakukan proses rakaman berasingan dari rumah masing-masing tetapi bagaikan ‘ikan dilaut, asam didarat, bertemu juga  dalam belanga’ walaupun mereka dipisahkan dengan Selat Melaka. 

Begitu pun, mereka gembira apabila dapat bersama merealisasikan muzik video lagu ‘Sengkek’.

“Saya gembira Alyph dapat bersama-sama menyertai saya di Kuala Lumpur untuk proses penggambaran video muzik. Terdapat dua babak utama namun semuanya dirakam di satu lokasi. Ia mengambil masa sekitar enam hingga lapan jam untuk disiapkan dan kami terpaksa melakukan penggambaran di dalam kerana cuaca buruk di kawasan luar tika itu,” jelas Yonnyboii.

Kedua-dua mereka berharap lagu ini akan diterima baik dan memberi inspirasi kepada semua pendengar untuk terus ke hadapan dan jangan berputus asa dalam mengejar impian masing-masing. - KitaReporters


13
15
0
14
0
You will be interested