PENGALAMAN servis berbisa Zulkifli Razak (kiri) seperti bergelar juara antara regu Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 masih ditagih oleh PSM dan barisan jurulatih negara bagi tiga misi besar antarabangsa sepanjang 2025. Tengah ialah Azlan Alias, perejam.
SYAHMI Husin dan Ikhwan Syafiq Fitri dikeluarkan, manakala yang masuk kali ini ialah Zulkifli Razak atau lebih popular digelar Sobey.
Dua muka baharu turut terpilih ke dalam skuad sepak takraw negara bagi Program Podium 2025 iaitu Amar Roslan dan Riezman Faizul daripada KPT-Masum dan Kuala Lumpur.
Sobey, tekong regu emas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, kembali menambat hati panel jurulatih negara dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi berdepan tiga misi besar antarabangsa sepanjang 2025.
Misi tersebut ialah Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur (9 hingga 18 Mei), Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-38 di Korat (20-27 Julai) dan Sukan SEA Ke-33 di Songkhla, Thailand (9-20 Disember).
Kali akhir tekong Terengganu dan Selangor pada Kejohanan Piala Tun Ali dan Piala Juara-juara Liga Sepak Takraw (STL) ini menyarung jersi dan membantu Malaysia ialah ketika meraih dua pingat perak regu berpasukan dan antara regu Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh.
ZULEFFENDI Sumari atau Pak Long (dua dari kiri) ketika mengalungi Malaysia, pingat gangsa kuadran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Kredit foto: PSM
Turut kembali dipanggil oleh PSM bagi melapor diri dalam Program Podium mulai 2 Januari 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN) ini ialah apit kiri atau pengumpan Negeri Sembilan, Zuleffendi Sumari.
Inilah kepulangan Pak Long (julukannya) yang juga tonggak Negeri Sembilan juara Piala Juara-juara STL, ke pangkuan pasukan kebangsaan sejak meraih pingat gangsa kuadran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Seorang pendatang baru lagi dinamakan bagi posisi apit kanan atau perejam iaitu Khairul Aman Rosdi dari Terengganu.
Dua perejam, Hafizul Hayazi Adnan dan Ariff Daniel Aripin dari Negeri Sembilan dan Selangor yang tersenarai pada 2024 namun tidak mendapat pelepasan majikan, turut terpilih manakala yang diketepikan kali ini ialah tonggak juara beregu Piala Dunia Istaf di ibu kota, Baihakki A’ripin.
“Kesemua 21 pemain skuad negara kali ini dinilai hasil prestasi mereka sepanjang Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari di Alor Setar, Kedah (Januari 2024 lalu), STL (Ogos hingga November 2024 lalu) dan Piala Tun Ali di Bukit Serindit, Melaka (Disember 2024 lalu).
“Senarai ini juga diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSM-MSN pada 26 November 2024 sebagai persediaan ke Piala Asia, Piala Raja Thailand dan Sukan SEA Ke-33 serta Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Satu sesi pemilihan mereka turut dijalankan PSM dan barisan jurulatih negara di MSN, Bukit Jalil dari 9 hingga 13 Disember 2024 lalu,” kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh dalam kenyataan media 25 Disember 2024.
EMILIA Eva Natasha Saudia kembali dipanggil PSM bagi memperkasa skuad wanita negara setelah tersisih lama dan berjinak-jinak dengan sukan teqbol pada 2024. - Kredit foto: PSM
Selain itu, dua belas pemain bagi skuad wanita negara turut dinamakan daripada sesi berkenaan dan penilaian sepanjang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak (Ogos 2024 lalu) dengan lima daripadanya merupakan pendatang baharu.
Pemilihan baharu ini walau bagaimanapun mengekalkan tekong senior sejak 2007, Siti Norzubaidah Che Wahab, 34, dan menyenaraikan semula Emilia Eva Natasha Saudia. - KitaReporters
SKUAD SEPAK TAKRAW MALAYSIA 2025:
LELAKI
TEKONG: Syahir Rosdi, Zarif
Marican Ibrahim Marican, Riezman Faizul (Kuala Lumpur), Haziq Hairul Nizam
(Negeri Sembilan), Zuhri Zain (Selangor), Zulkifli Razak (Terengganu), Amar
Roslan (KPT-Masum).
PEREJAM: Azlan Alias, Redwan
Hakim Muhammad (Kuala Lumpur), Noraizat Nordin (Perak), Fetri Aswadi (Angkatan
Tentera), Shahalril Aiman Halim (Polis), Khairul Aman Rosdi (Terengganu),
Hafizul Hayazi Adnan (Negeri Sembilan), Ariff Daniel Aripin (Selangor).
PENGUMPAN: Amirul Zazwan Amir
(Kuala Lumpur), Aidil Aiman Azwawi (Perak), Farhan Adam (Johor), Norfaizzul
Razak (Angkatan Tentera), Zaim Razali (Pulau Pinang), Zuleffendi Sumari (Negeri
Sembilan).
WANITA
TEKONG: Siti Hadinavilla Jumidil, Siti Norzubaidah Che Wahab, Emilia Eva Natasha Saudia (Polis), Siti Hadifitri Navilla Jumidil (Sabah).
PEREJAM: Fisydiana Faradona, Kamisah Khamis, Nazirah Hani Iskandar Ali (Sabah), Nurul Syifa' Najwa Zam Sairon (Perlis).
PENGUMPAN: Azeira Lusian, Veronica Asli, Razmah Anam, Nadillatul Rosmahani Saidin (Sabah).
HAFIZUL Hayazi Adnan atau digelar John diapit oleh Aidil Aiman Azwawi (kiri) dan Noraizat Nordin ketika meraih pingat perak beregu Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - Kredit foto: PSM