Seni & Sukan 27 Aug, 2022

Syabas! Atlet memanah cemerlang! Julang nama negara! Kejohanan Memanah Tradisional Dunia di Hungary!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PEMANAH tradisional dari Malaysia mencipta kejayaan membanggakan pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia HDH-IAA Kali Ketiga yang bertaraf dunia itu disertai atlet dari 21 negara dan dianjurkan oleh HDH International Archery Association (HDH-IAA), berlangsung di Gyula, Hungary pada 14 hingga 20 Ogos 2022 lalu.

Delegasi atlet Malaysia melakar sejarah apabila memenangi tempat ketiga dan keempat bagi kategori lelaki dewasa, tempat kedua dan keempat bagi kategori wanita junior, tempat keempat bagi kategori lelaki junior, tempat keempat bagi kategori berkumpulan dan sepuluh terbaik bagi kategori veteran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti memanah

Muhammad Thaqif (tengah) raih tempat pertama dalam Historical Bow Modern Material Category Male Junior bagi acara Zoltan Levente Archery Day 2022.


Duta Besar Istimewa dan Mutlak Malaysia ke Hungary, Slovenia dan Macedonia Utara, Francisco Munis turut hadir untuk menyampaikan sokongan beliau kepada delegasi memanah tradisional Malaysia pada kejohanan berkenaan.

Beliau melahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet memanah Malaysia yang melakar sejarah dengan mencatat beberapa kemenangan, sekali gus menyuntik semangat atlet memanah negara yang lain untuk gigih berusaha sehingga mampu mewakli negara nanti.

“Saya berasa amat teruja untuk menyaksikan kesungguhan atlet memanah tradisional negara. Dengan berbusana penuh berlatarbelakangkan lokasi bersejarah di Hungary sebagai tapak pertandingan, saya yakin kita juga mampu pergi lebih jauh sekiranya setiap aspek penganjuran dipatuhi.

“Saya akan terus menyokong usaha anak-anak tempatan untuk beraksi dalam kejohanan memanah tradisional ini pada masa akan datang kerana dengan cara itu juga secara langsung rakyat negara asing dapat mengenali Malaysia,” katanya. 


Dhia (kiri) raih tempat kedua dalam Historical Bow Modern Material Category Female Junior bagi acara Zoltan Levente Archery Day 2022.


Penganjur kejohanan itu, HDH International Archery Association (HDH-IAA) turut mengiktiraf seorang hakim memanah tradisional antarabangsa sulung dari Malaysia dan rantau Asia. 

Langkah itu bertujuan untuk mengembangkan sukan berkenaan di Malaysia dan serantau serta memastikan pematuhan undang-undang sukan memanah tradisional bertaraf antarabangsa.

Dalam kategori lelaki dewasa, Saharuddin Mohd Hassan, 34, mencatat 292 markah menjadi pemenang tempat ketiga manakala Ahmad Alrafaei, 44, meraih markah kedua tertinggi kejohanan dengan 318 markah yang menobatnya untuk tempat keempat berdasarkan sistem pemarkahan baharu yang diperkenalkan oleh pihak penganjur.

Saharuddin melahirkan rasa terharu dengan kejayaannya itu walaupun terpaksa bersaing dengan pemanah dunia yang terhebat dengan menggunakan anak panah kayu atau semula jadi dan menggunakan busur yang berat daya beban tarikannya.

“Namun begitu busur buatan tempatan yang digunakan saya dan rakan-rakan juga mampu bersaing dengan busur dari Eropah itu,” katanya.


Dhia Darwisya dan Muhammad Thaqif Hifzhan mengharumkan nama negara pada pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia Kali Ketiga di Gyula, Hungary, 14 hingga 20 Ogos 2022 lalu.


Siti Nur Aisyah Yusup, 17, yang memenangi tempat kedua dalam acara jarak jauh, berkata dia hampir hilang kelayakan bertanding atas sebab busur yang tidak mematuhi spesifikasi pertandingan namun tetap bersemangat untuk terus berjuang.

“Bagaimanapun saya bernasib baik serta berasa amat terharu kerana diberi peluang untuk membetulkan kesilapan itu, jika usaha ini gagal dilakukan maka saya tidak dapat memenuhi impian Allahyarham bapa yang mahukan saya bertanding dan berjaya pada peringkat antarabangsa.

Bagi Dhia Darwisya, 16, dan Thaqif Hifzhan, 14, mendapat tempat keempat dalam kategori masing-masing tetap berasa bangga dan gembira kerana sudah berlatih bersungguh-sungguh walaupun hanya berjaya merangkul tempat keempat.

“Pencapaian ini antara terbaik di dunia manakala kami hanya bermula dengan panah yang mempunyai daya tarikan ringan dan sekarang pula terpaksa menggunakan panah mempunyai daya tarikan setanding dengan pemanah dewasa,” kata mereka.

Walaupun menjadi pemanah veteran antara sepuluh terbaik di dunia dengan mendapat tempat kesembilan perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Ismail Abd Kadir, 60.

“Saya mula berlatih memanah tradisional beberapa bulan lalu dan berasa risau dalam usia lanjut untuk bertanding dengan juara-juara dunia. Alhamdulillah dengan latihan yang berterusan di bawah seliaan ahli pasukan yang lain saya mampu mencapai impian. Usia tidak menghalang saya kerana kekuatan ada dalam memanah,” ujarnya.


Pasukan memahan tradisional negara merakam kenangan pada kejohanan yang diadakan di di Gyula, Hungary.


Manakala hakim antarabangsa rasmi untuk memahan tradisional di bawah HDH-IAA dan Setiausaha Persatuan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama), Anuar Faiq Mat Saat, berkata semua pihak terbabit seharusnya memastikan pemanah tempatan mematuhi undang-undang dan syarat bertaraf antarabangsa.

“Ini selaras hasrat saya untuk memastikan kualiti atlet panahan tradisional negara muncul bertaraf dunia.

"Dengan kepimpinan dan sokongan yang jitu, kita mampu mencapai kejayaan berterusan seperti sebelum ini dengan Ahmad Alrafaei (Fateh Kupasi, Turki, 2019), Dhia Darwisya (Bhutan, 2019), Thaqif Hifzhan (Bhutan, 2019) dan yang terkini, pasukan panahan tradisional Malaysia ISG Konya Pertama (Turki, 2022),” terang beliau.

Pasukan atlet panahan tradisional mendapat sokongan daripada Adabi, Persatuan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama) dan Ahmad Alrafaei disokong secara peribadi oleh Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB), Rumah Tenun Pahang, Ismail Holding serta Dato’ Seri Zuri Abdullah. - KitaReporters


Kredit foto: newstimes.com.ng

23
12
0
9
0
You will be interested