BIARPUN pelepasan acara Larian Merdeka Labis dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi pada 20 Ogos 2022 lalu, namun hampir 300 warga Labis mula memenuhi Dataran Labis seawal 7 pagi lagi bagi menzahirkan semangat cinta kepada kemerdekaan selepas dua tahun tidak berpeluang menyambut Kempen Bulan Kemerdekaan secara terbuka akibat negara dilanda pendemik Covid-19 sebelum ini.
Bulan Kemerdekaan tahun 2022 dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama, yang sama seperti tahun lalu (2021), menjadi keiltizaman penduduk untuk sertai pelbagai aktiviti sempena kemerdekaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan acara larian
ADUN Bekok, Tan Chong (tengah) bersama Pengerusi MCA Labis, Datuk Chua Tee Yong (dua dari kiri) mengibarkan Jlur Gemilang bersama peserta Larian Merdeka Labis di Dataran Labis pada 20 Ogos 2022.
Seorang warga emas, Yong Fai Goh, 84, berkata dia sengaja datang awal kerana tidak mahu ketinggalan menyertai program anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok dengan kerjasama MCA Labis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) kampung baharu itu bagi menzahirkan rasa cintanya kepada nikmat kemerdekaan yang dikecapi rakyat ketika ini.
"Bagi saya usia bukan penghalang, apa yang lebih penting adalah usaha untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara serta usaha menjaga nikmat kemerdekaan sebagai contoh kepada generasi muda hari ini yang saya lihat seakan tidak memperdulikan lagi tarikh penting negara dibebaskan daripada penjajahan kuasa luar ini.
"Saya memang tidak pernah ketinggalan menyambut Bulan Kemerdekaan setiap tahun sejak dahulu lagi kerana berpendapat kempen bulan kemerdekaan yang diadakan menjelang 31 Ogos setiap tahun sebagai waktu terbaik untuk menyemarakkan semula semangat patriotisme dalam kalangan rakyat tanpa mengira usia dan kaum mahu pun fahaman politik," katanya.
Yong Fai Goh
Dia yang merupakan seorang tukang jahit berkata, bagi membuktikan semangat kecintaannya kepada kemerdekaan negara, dia memilih perkataan "Merdeka" untuk dijadikan nama kedai jahitnya yang mula dibuka sejak 56 tahun lalu dan nama itu kekal sehingga hari ini.
Dalam masa sama dia turut melahirkan rasa bangga melihat semangat yang ditunjukkan oeh warga Labis yang datang bersama keluarga dan anak-anak kecil mereka untuk menyertai larian tersebut biar pun ketika ini anak kecil tersebut masih belum mengerti erti sebuah kemerdekaan.
Menurutnya, dia percaya anak-anak kecil ini akan mula mengerti betapa pentingnya erti sebuah kemerdekaan apabila menginjak dewasa nanti dan mereka ini pasti berusaha memelihara kemerdekaan yang dihadiahkan hasil perjuangan generasi terdahulu kepada mereka nanti.
Seorang penduduk Labis turut membawa anak-anaknya yang masih kecil untuk menyertai Larian Merdeka Labis di Dataran Labis pada 20 Ogos 2022 lalu.
Program tersebut menyaksikan penduduk Labis tanpa mengira kaum dan peringkat umur keluar beramai-ramai berjalan sejauh kira-kira tiga kilometer mengelilingi pekan Labis sambil mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta mereka kepada negara ini sekali gus memeriahkan lagi kempen Sambutan Bulan Kemerdekaan di Labis.
Sementara itu ADUN Bekok, Tan Chong turut menyeru warga Labis mengetepikan sebarang perbezaan pandangan serta latar belakang dalam kalangan masyarakat bagi memastikan keamanan, keselamatan serta kemajuan yang dinikmati hasil sebuah kemerdekaan dapat terus dikekalkan dan diwarisi generasi akan datang.
"Laungan merdeka tidak seharusnya dilaungkan ketika menjelang sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos setiap tahun, sebaliknya perlu sentiasa dijiwai dan disemai dan disemarakkan di dalam diri setiap individu yang bergelar warga negara kerana dengan cara ini sahaja kita mampu menjamin kemerdekaan ini dapat dikekalkan.
"Selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diterapkan oleh kerajaan, saya menyeru warga Labis untuk mengetepikan sebarang perbezaan antara kita sebaliknya berusaha mencari persamaan bagi menjamin kehidupan yang lebih harmoni sempena sambutan bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia pada bulan depan," katanya. - KitaReporters