.

Tepat pada masanya untuk mencetuskan kembali gelombang nostalgia dan adrenalin, filem yang dinanti-nantikan, "Keluang Man", bersedia untuk membanjiri pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei 2025 ini.
Filem ‘Keluang Man’ menandakan permulaan era baharu bagi superhero original pertama Malaysia di layar perak.
Ia menjanjikan sebuah karya sinematik yang segar dan mengujakan, membezakannya daripada filem-filem superhero lain yang pernah muncul.
Kekuatan utama naskhah ini terletak pada watak utamanya, Keluang Man, lakonan Nas Muammar Zar atau lebih dikenali sebagai Nas T, yang digambarkan sebagai individu 'gila-gila', bersahaja tetapi dipenuhi dengan kejutan jenaka yang pasti akan menghiburkan penonton.
Filem berdurasi 132 minit ini turut menguatkan intensiti jalan cerita dengan gabungan babak aksi mendebarkan, elemen emosi, dan sentuhan tempatan, sekali gus membentuk graf 'mood' tontonan penuh tenaga yang diharapkan dapat menyuntik rasa bangga terhadap adiwira tempatan ini.

Nas T (tengah) bersama Remy Ishak dan Anwaar Beg Moghal (kanan) yang berlakon sebagai Inspektor Sahab (Punjabi).
Lebih daripada itu, "Keluang Man" juga menandakan permulaan bagi Astro Shaw Cinematic Universe, menjanjikan potensi pengembangan kisah-kisah adiwira tempatan yang lebih luas pada masa hadapan.
Filem 'live-action' ini merupakan adaptasi daripada siri animasi TV popular yang diperkenal pada akhir era 1990-an, yang mana berjaya mencipta fenomena tersendiri dan menjadi kebanggaan Malaysia pada ketika itu.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run, rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions ia turut mendapat kerjasama jenama fesyen tempatan ‘Abstrax’ serta kasut ‘FK’ Sneakers.
Sejujujurnya penulis sendiri tidak begitu berminat dengan filem bergenre superhero apatah lagi apabila watak ‘Keluang Man’ diterajui Nas T, seorang pelakon yang tidaklah sehebat nama Datuk Rosyam Nor dan Datuk Remy Ishak yang turut berlakon.

Dari kiri: Nas T, Rosyam dan Remy Ishak dalam salah satu babak filem 'Keluang Man'.
Walapun sudah lama bertapak dalam industri perfileman pada tahun 2006, nama Nas T mula dikenali sebagai pemuzik Kumpulan Kugiran Dragon Red pada tahun 2001 dan juga aktif sebagai deejay sejak di bangku sekolah lagi.
Dan disebabkan kemunculannya di dalam drama atau filem lebih kepada pelakon pembantu, itu yang menyebabkan penulis belum nampak kehebatannya di layar perak.
Tetapi melalui ‘Keluang Man’ anggapan penulis ternyata terpesong. Memang benar jika seseorang itu diberi peluang seperti yang diperoleh dari watak ‘Borhan’, Nas T mampu terserlah dan ternyata lakonannya bersahaja dan tidak menghampakan.
“Ya saya sendiri pun risau bila orang ramai macam tak expect yang saya boleh buat ke tidak tetapi itulah cabaran yang aaya sahut malah sejak usia 14 tahun saya sendiri memang meminati kartun Keluang Man,” komen Nas T terharu apabila ramai yang memuji lakonannya melalui watak Borhan dengan gayanya tersendiri.
Menariknya lagi filem ini, selain diterajui Nas T, Rosyam Nor dan Remy Ishak, pengarahnya, Anwari Ashraf Hashim turut membariskan nama-nama bintang terkenal sebagai ‘cameo’ antaranya seperti Halim Othman, Amelia Henderson, Wahid Senario, Azlee Senario, Delimawati, A Galak, Naim Daniel, Mierul Aiman, Nadhir Nasar serta Anwaar Beg Moghal, Dennis Yin dan Shweta Sekhon sekali gus menjadikan ia sebuah filem Malaysia apabila semua bangsa disatukan.
Babak-babak yang menyelitkan nama nama popular itu menambahkan lagi seri dan ‘aji no moto’ kata orang dalam resepi pembuatan skrip filem ini oleh Anwari yang terkenal sebagai pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, penulis 'Kahar: Kapla High Council', serta pengarah dan 'showrunner' drama premium popular 'Projek: High Council' dan 'Projek: Anchor SPM’.

"Keluang Man adalah surat cinta kepada generasi yang membesar pada tahun 90-an, satu generasi yang penuh semangat dan nilai yang masih relevan sehingga ke hari ini. Saya yakin ramai yang menantikan untuk menyaksikan superhero original pertama Malaysia ini diangkat ke versi 'live-action'" ujar Anwari pada majlis Malam Gala ‘Keluang Man’ yang berlangsung di GSC IOI Mall, Putrajaya pada 22 Mei 2025 lalu.

Majlis penuh meriah turut dihadiri sebahagian besar pelakon-pelakon terlibat sambil peminat yang hadir dalam kostum ‘Keluang Man’ dihiburkan dengan persembahan lagu tema asal Keluang Man yang dihidupkan semula dengan sentuhan moden melalui gandingan bertenaga Krisya dan SOG.
"Filem ini bukan sekadar projek hiburan, tetapi merupakan usaha menghargai warisan budaya pop Malaysia yang pernah mencorak zaman dan mencipta kenangan bersama.
"Saya mengharapkan penonton dapat menerima filem ini serta mampu menghidupkan semula semangat superhero Keluang Man seterusnya legasinya dapat diwariskan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya," sambung Anwari.


Anwari dan Raja Jastina.
Sementara itu, Raja Jastina Raja Arshad selaku Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw, mengakui cabaran dalam merealisaskan harapan tinggi peminat dalam memberikan penghormatan terhadap watak ikonik yang telah menjadi sebahagian daripada budaya pop tempatan.
"Keluang Man adalah superhero original pertama Malaysia, dan kami sedar bahawa mengangkat semula IP ikonik ini ke layar perak hadir dengan tanggungjawab yang besar. Ini bukanlah sebuah 'remake', tetapi filem ini mengangkat semula ikon kebanggaan negara dengan sentuhan baru oleh pengarah Anwari Ashraf,” ujar Raja Jastina.
Menurutnya, ini merupakan filem ‘postmoden' pertama Malaysia dalam usaha mempersembah sebuah dunia sinematik yang segar, kombinasi fantasi dan realiti yang belum pernah dilihat semua.

Raja Jastina turut berbangga menyatakan bahawa penghasilan filem ini, dari pra hingga pascaproduksi, melibatkan 100% tenaga kreatif dari Malaysia, dengan lebih daripada 1,000 tenaga kreatif tempatan menyumbang dalam visual, audio, CGI, dan VFX.
"Kami yakin filem ini akan memberikan pengalaman hiburan dan keseronokan kepada penonton dan membangkitkan rasa bangga terhadap superhero tempatan. Oleh itu, kami mengajak semua untuk menonton Keluang Man di pawagam dan 'kita enjoi'," serunya.
Filem "Keluang Man" mengisahkan Borhan, seorang pesakit di Hospital Tumpoi yang sering melarikan diri dari hospital di malam hari.
Apabila sejarah lamanya menghantui, pesakit yang menghidapi 'Dissociative Schizophrenia' ini mula berniat membalas dendam, dan tanpa sengaja, Borhan membentuk identiti baharunya sebagai seorang superhero, Keluang Man.

Gambar kanan: Penulis menggayakan jaket 'Keluang Man' yang dihasilkan khas oleh pengasasnya, Dr. Faiz Izwan Anuar dari jenama 'Abstrax' untuk promosi 'Keluang Man'.
Pendek kata, selari dengan slogannya ‘Kita Enjoi’, penulis yakin penonton akan keluar pawagan dengan perasaan itu.. memang ‘enjoi’ menonton ‘Keluang Man’. Impaknya memang ke tahap maksimum gitu!
Ikuti siri jelajah Keluang Man pada 31 Mei di Johor; 1 Jun di Melaka; 6, 7, 8 Jun di Perak, Penang, Kedah; 13, 14, 15 Jun di Terengganu dan Pahang serta 20, 21, 22 Jun di Lembah Klang. - KitaReporters