Seni & Sukan 18 Dec, 2025

FAM vs FIFA| Ranking Harimau Malaya dijangka turun! 3 kemenangan dibatal! Terima dengan hati terbuka?

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Belum pun sempat 'menarik nafas', Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima hukuman 'tambahan' daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang kemungkinan besar mengakibatkan ranking negara menurun.

Namun, bekas pemain kebangsaan, Safee Sali berkata, semua pihak perlu menerima hukuman tersebut dengan hati terbuka.


FIFA membatalkan tiga aksi persahabatan antarabangsa pasukan Harimau Malaya sebelum ini.
FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Badan induk bola sepak dunia itu membatalkan keputusan perlawanan membabitkan tiga aksi persahabatan antarabangsa pasukan Harimau Malaya sebelum ini.

Aksi persahabatan itu termasuk pertembungan Malaysia dengan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berkesudahan seri 1-1.
Dua lagi perlawanan adalah Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 menerusi kemenangan 2-1 dan skuad negara berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor (8 September 2025) yang mana Harimau Malaya menang 1-0.
FAM dalam satu kenyataan pada Rabu 17 Disember 2025 memaklumkan bahawa hukuman terbaharu itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember 2025 lalu berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.

Skuad Harimau Malaya menang 2-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025.
Malaysia menewaskan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor 1-0.
Badan induk itu menjelaskan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio itu mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan terbabit.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan itu. 

"Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).

"FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini," kata FAM.

Pada September 2025 lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen.

Selain digantung, pemain terbabit turut didenda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang, manakala FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada 8 Disember 2025 lalu mengesahkan badan induk itu sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA itu.


Pasukan negara mengikat Cape Verde 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025.
Susulan hukuman tambahan itu ia bakal memberikan impak yang besar khusus buat mata ranking Malaysia setelah Harimau Malaya berjaya merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam aksi tersebut.

Kedudukan ranking FIFA menyaksikan Malaysia ketika ini berada di tangga ke-116 dunia dengan mengutip 1168.41 mata selepas menutup 2025 dengan penuh bergaya tanpa tewas dalam lapan perlawanan.

Bagaimanapun, dengan tiga kekalahan yang diumumkan oleh FIFA ini, tambahan mata ranking yang diraih ketika atasi Singapura dan Palestin selain mengikat Cape Verde mungkin ditolak.

Kemenangan ke atas Singapura dan Palestin masing-masing menghadiahkan tambahan +3.86 dan +5.89 mata ranking FIFA kepada Malaysia, sementara aksi berdepan Cape Verde menyumbang +1 mata.

Keseluruhannya sebanyak +10.75 mata berjaya dikumpulkan dalam tiga perlawanan tersebut dan kiraan tidak rasmi setelah penolakan mata menyaksikan Malaysia mengumpul 1157.66 mata.

Kiraan berkenaan bakal menyaksikan Malaysia turun satu anak tangga ke kedudukan 117 dunia, dipotong oleh Gambia yang mengumpul sebanyak 1161.55 mata buat masa ini.

Setakat ini, masih belum terdapat sebarang pengesahan rasmi membabitkan mata ranking Malaysia dengan carta kedudukan FIFA juga masih belum dikemas kini.


Safee Sali.

Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan, Safee Sali berkata, semua pihak perlu menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

"Terima kekalahan dan keputusan itu adalah perkara yang saya rasa baik," katanya.

Justeru tambah beliau, tanpa perlu menoleh ke belakang lagi, semua pihak perlu memberi fokus kepada program pembangunan pada peringkat awal dalam usaha melahirkan generasi pelapis dan pemain berkualiti. 

"Apa yang lebih utama ialah kita membangunkan pemain-pemain yang kita ada sekarang ini terutama akar umbi. 

"Seperti yang saya lakukan, lebih fokus kepada program akar umbi untuk lebih mematangkan dan memantapkan permainan mereka daripada akar umbi," katanya.

Legenda bernombor 10 ikonik itu akan menganjurkan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana pada 27 Disember 2025.

Kejohanan itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan inisiatif bola sepak terdahulu, Super Safee Serenia Cup.
Malah Safee turut mengasaskan Super Safee Soccer School di beberapa lokasi seluruh negara. - KitaReporters

8
7
0
6
0
You will be interested