Pelantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Selangor FC bukan sekadar perubahan jawatan di 'kerusi panas', tetapi satu mesej berani kepada landskap bola sepak tempatan; skuad Red Giants (Gergasi Merah) mahu kembali 'berkuasa', bukan sekadar bersaing.

Dalam era Liga Malaysia yang semakin dipusatkan kepada satu kuasa dominan, langkah Selangor membawa masuk jurulatih bertaraf antarabangsa adalah impian besar yang jarang dilakukan oleh kelab lain.
Pengendali berusia 56 tahun itu bukan nama asing di Malaysia. Beliau adalah arkitek kebangkitan Harimau Malaya antara 2022 hingga 2024, tempoh yang mengubah semula persepsi penyokong terhadap kemampuan bola sepak negara.
Di bawah kendaliannya, ranking Malaysia melonjak dari 154 ke 130 terbaik dunia -- peningkatan yang dibina melalui struktur, disiplin dan keberanian taktikal, bukan retorik kosong.
Pencapaian paling signifikan pastinya kelayakan Piala Asia 2023 secara merit buat kali pertama sejak 1980, satu detik yang mengakhiri penantian lebih empat dekad.

Selepas meletakkan jawatan pada Julai 2024 atas sebab peribadi, Pan-gon kembali ke Korea Selatan dan menerima cabaran bersama Ulsan HD FC, sebuah kelab elit K League 1 (Liga Korea Selatan Tahap 1).
Dalam tempoh singkat, beliau membantu Ulsan menjuarai liga buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mencipta sejarah sebagai individu pertama memenangi K League sebagai pemain dan ketua jurulatih bersama kelab sama.
Walaupun tempohnya di Ulsan berakhir lebih awal selepas prestasi menurun musim berikutnya, reputasi Pan-gon sebagai jurulatih beridentiti jelas tidak pernah pudar.
Maka apabila Selangor berjaya memikatnya kembali ke Malaysia, persoalan sebenar bukan sekadar siapa yang dilantik, tetapi projek apa yang ingin dibina.

Pan-gon memulakan sesi latihan pertama bersama Selangor pada Rabu 7 Januari.
Pan-gon sendiri menegaskan keputusannya dibuat atas keyakinan terhadap visi kelab, bukan semata-mata kerana faktor kewangan.
“Falsafah kejurulatihan saya sentiasa memberi fokus kepada pemain. Latihan berkualiti, pelan taktikal yang jelas dan analisis lawan yang terperinci adalah asas utama persiapan pasukan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara pemain berpengalaman dan bakat muda -- sesuatu yang amat relevan dengan struktur skuad Selangor ketika ini.
“Disiplin, profesionalisme, fokus dan kerja berpasukan menjadi asas supaya setiap individu dapat melaksanakan peranan masing-masing secara optimum,” tambah Pan-gon.
Di sinilah Selangor memiliki kelebihan tersendiri. Infrastruktur, sokongan penyokong, kestabilan pengurusan dan sistem akademi yang produktif menyediakan persekitaran sesuai untuk pendekatan Pan-gon.
Isu gaji yang didakwa mencecah RM120,000 hingga RM150,000 sebulan sebenarnya hanya bunyi latar dalam bola sepak moden.
Ketika bersama Harimau Malaya, angka kosisten dilaporkan oleh satu sumber Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pan-gon menerima gaji bawah AS$20,000 sebulan (RM87,000 hingga RM94,500) lebih rendah daripada nilai pasaran sebenar yang dianggarkan hampir RM200,000 sebulan.
Justeru, Selangor tidak 'membazir, sebaliknya membayar harga realistik untuk pengalaman, struktur dan kredibiliti antarabangsa.

Gabungan Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih dan Christophe Gamel sebagai Pengarah Teknikal membuka lembaran baharu dalam pengurusan pasukan.
Pan-gon membawa identiti permainan dan disiplin taktikal, manakala Gamel memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda -- satu keseimbangan yang jarang dimiliki kelab tempatan.
Dimensi emosi turut mewarnai projek ini, khususnya hubungan Pan-gon dengan pemain sensasi, Faisal Halim -- tonggak yang pernah menjadi simbol kepercayaan beliau pada peringkat kebangsaan.
Hubungan yang terhenti akibat tragedi dan perubahan haluan kini bersambung semula di bawah jersi merah kuning Selangor.
Namun realitinya, kejayaan tidak datang sekelip mata. Pan-gon memerlukan masa, kesabaran dan perlindungan daripada tekanan luar -- sesuatu yang sering gagal diberikan dalam bola sepak tempatan.
Di sinilah perbandingan dengan juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menjadi relevan.

Dominasi JDT bukan hanya dibina atas bajet besar, tetapi kestabilan, kesabaran dan konsistensi projek.
JDT FC memberi ruang kepada jurulatih membina pasukan, gagal dan bangkit semula tanpa panik, sesuatu yang jarang diamalkan oleh kelab tradisi lain.
Jika Selangor benar-benar mahu mencabar hegemoni JDT FC, mereka perlu meniru aspek paling sukar itu -- disiplin organisasi dan kesabaran jangka panjang, bukan sekadar nama besar di bangku simpanan.
Pelantikan Pan-gon adalah langkah pertama, bukan penyelesaian mutlak. Tanpa sokongan menyeluruh dari pengurusan sehingga ke akar umbi, jurulatih sehebat mana pun akan terperangkap dalam kitaran biasa Liga Malaysia.
Namun jika projek ini dipelihara dan dipupuk dengan konsisten, Selangor berpotensi muncul sebagai pencabar sebenar JDT FC -- bukan hanya di atas kertas, tetapi di atas padang dan di pentas Asia Tenggara.
Akhirnya, Pan-gon bukan jaminan kejuaraan, tetapi beliau adalah asas paling kukuh Selangor miliki hari ini untuk kembali menjadi gergasi -- bukan dengan nostalgia, tetapi dengan visi, keberanian dan kesabaran. - KitaReporters
