Seni & Sukan 15 Oct, 2025

FAM vs FIFA| Pemain warisan: Antara fakta, emosi dan harapan! FAM perjuang maruah negara ke CAS!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Ketika dunia sukan antarabangsa memerhati dengan penuh minat isu pemain warisan Malaysia, ramai barangkali tidak sedar bahawa situasi ini jauh lebih kompleks daripada sekadar tuduhan "dokumen palsu".

Status tujuh pemain warisan negara masih dalam proses pertimbangan FIFA.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, Malaysia dilabel oleh segelintir pihak luar sebagai "negara manipulasi identiti", seolah-olah skuad Harimau Malaya menggunakan pemain tidak layak. 

Hakikatnya, isu ini berakar daripada perbezaan tafsiran undang-undang -- bukan penipuan.

Tujuh pemain warisan Malaysia -- Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel -- telah dikenakan hukuman gantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan dokumen warisan tidak sah.

Namun, mereka sudah diiktiraf secara rasmi sebagai warganegara Malaysia oleh kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen. 

Malah mereka memiliki MyKad dan pasport Malaysia.

Di sinilah bermulanya persoalan undang-undang antarabangsa yang lebih mendalam.

Bolehkah FIFA mempertikaikan kewarganegaraan yang telah disahkan secara rasmi oleh kerajaan berdaulat?


Byron Castillo.

 Jawapan itu sebenarnya sudah terjawab melalui kes berprofil tinggi iaitu pemain Ecuador, Byron Castillo yang menjadi preseden penting di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 2022.

Castillo dituduh menggunakan dokumen kelahiran palsu -- dikatakan lahir di Colombia, bukan Ecuador. 

Chile dan Peru ketika itu membuat aduan rasmi kepada FIFA bagi membatalkan kelayakan Ecuador ke Piala Dunia Qatar 2022.

FIFA menjalankan siasatan dan menemui percanggahan dalam sijil kelahirannya. Namun apabila kes itu dibawa ke CAS, mahkamah tertinggi pertubuhan sukan dunia itu membuat keputusan yang mengubah tafsiran global terhadap isu kewarganegaraan pemain.


CAS menjadi mahkamah tertinggi sukan untuk memutuskan nasib tujuh pemain warisan negara.

Panel CAS memutuskan dengan jelas bahawa selagi kerajaan Ecuador mengiktiraf Castillo sebagai rakyatnya secara sah dan mengeluarkan pasport rasmi, FIFA tidak boleh menafikan kelayakannya.

“Pengiktirafan kerajaan mengatasi kuasa mana-mana badan sukan,” menurut kenyataan rasmi CAS dalam kes berkenaan -- satu keputusan yang kini menjadi asas undang-undang dalam isu pemain warisan dan naturalisasi.

Akhirnya, Ecuador kekal layak ke Piala Dunia. Walaupun ada percanggahan dokumen asal, Castillo diiktiraf sebagai warganegara sah dan bebas bermain untuk negaranya. Dunia menerima keputusan itu sebagai preseden kukuh.

Malaysia ketika ini berada di persimpangan hampir sama.

Tujuh pemain berstatus warisan itu bukan sekadar menerima taraf kerakyatan sementara -- mereka rakyat Malaysia yang sah di sisi undang-undang.

Perbezaannya cuma terletak pada dokumen warisan yang dikemukakan ketika proses awal pendaftaran, bukan soal status kewarganegaraan semasa. Dalam bahasa mudah, isu warisan, bukan isu kerakyatan.


FAM masih menunggu keputusan rayuan yang bakal diputuskan oleh FIFA.

FAM dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan ke CAS dengan hujah utama: Tuduhan FIFA tidak disokong bukti kukuh dan melangkaui bidang kuasa kerana menyentuh keputusan kedaulatan kerajaan.

Menurut seorang penganalisis undang-undang sukan antarabangsa, Malaysia mempunyai asas kukuh dalam rayuan ini.

“Jika CAS kekal dengan prinsip yang sama seperti kes Byron Castillo, Malaysia ada peluang besar untuk menang. Selagi pemain itu sah sebagai rakyat Malaysia, FIFA tidak boleh menafikan hak mereka mewakili negara,” katanya.

Malah, beberapa pakar termasuk bekas pegawai FIFA turut berpandangan bahawa keputusan CAS dalam kes Castillo akan menjadi 'rangka panduan' utama untuk menilai rayuan Malaysia kelak.

Artikel 5 dan 7 Peraturan FIFA menjelaskan bahawa kelayakan pemain adalah tertakluk kepada status kewarganegaraan sah yang dikeluarkan oleh sesebuah negara — bukan tafsiran pentadbiran FIFA semata-mata.

Ini bermakna, kewarganegaraan sah oleh kerajaan Malaysia sepatutnya mencukupi bagi mengesahkan kelayakan pemain tersebut, tanpa perlu diragukan semula oleh badan antarabangsa.

FAM juga berpendirian, isu sebenar berpunca daripada 'dokumen sokongan warisan' yang diserahkan ketika proses awal naturalisasi -- bukan penipuan identiti. 

Malah, beberapa pemain dilaporkan sudah tampil untuk memberi kerjasama penuh dalam siasatan dalaman.

Dalam konteks lebih luas, Malaysia kini berdepan cabaran dua hala -- mempertahan maruah negara di mata dunia dan memastikan reputasi program pemain warisan dan naturalisasi tidak tercalar oleh salah tafsir peraturan antarabangsa.

Apa yang menarik, isu ini membuka perbincangan lebih besar tentang kedaulatan negara dalam menentukan siapa rakyatnya dan sejauh mana FIFA boleh campur tangan dalam urusan imigresen sesebuah negara.

“Apabila kerajaan mengiktiraf seseorang itu sebagai rakyatnya, tiada mana-mana entiti luar boleh mempertikaikannya -- termasuk FIFA. Itu asas undang-undang antarabangsa,” tegas pakar perundangan sukan dari Eropah Timur, Prof. Dr. Adrian Miklos. 


Ibu pejabat FIFA di Zurich.
Bagi Malaysia, perjuangan ini bukan sekadar soal bola sepak. Ia kini menjadi pertarungan maruah dan kedaulatan undang-undang negara di mahkamah tertinggi sukan dunia.

Jika rayuan Malaysia diterima dan keputusan CAS berpihak kepada FAM, ia bukan sahaja akan mengembalikan imej Harimau Malaya di pentas dunia, malah boleh menjadi kes rujukan baharu bagi negara lain yang mengamalkan dasar naturalisasi pemain.

Apa pun keputusannya kelak, satu perkara pasti: Malaysia tidak pernah menipu. Negara ini hanya sedang berdepan tafsiran berbeza antara undang-undang FIFA dan undang-undang kedaulatan nasional.

“Naturalisasi bukan penipuan. Ia pengiktirafan undang-undang. Bila kerajaan sahkan, tiada siapa pun, termasuk FIFA, boleh nafikan kedaulatan itu,” ujar seorang pegawai kanan sukan tempatan.

Seperti kata pepatah bola sepak moden -- perlawanan belum tamat selagi wisel belum ditiup.

Buat Harimau Malaya, perjuangan belum berakhir. Kali ini bukan di padang, tetapi di mahkamah  antarabangsa sukan. - KitaReporters

13
14
0
11
0
You will be interested