Seni & Sukan 01 Dec, 2025

Gila Hindustan| Video| Dua dunia Dharmendra! Dua isteri, dua rumah, dua keluarga yang ditinggalkan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

RAMAI tahu Dharmendra, bintang Bollywwod yang meninggal pada usia 89 tahun pada 24 November 2025 adalah suami kepada aktres Hema Malini. Mereka berkahwin pada 1980, mempunyai dua orang anak perempuan, Esha Deol dan Ahana Deol. 



Dharmendra bersama isteri pertama, Prakash Kaur (kanan) dan isteri kedua, Hema Malini.


Namun sebelum kehadiran Hema Malini, sudah ada seorang wanita yang setia mengharungi kehidupan susah dan senang bersama sebagai suami isteri. Wanita itu ialah Prakash Kaur yang dikahwini Dharmendra ketika dia (Dharmendra) berusia 19 tahun pada 1954.

Waktu itu, Dharmendra hanya insan biasa, belum mencipta nama sebagai bintang. 

Prakash adalah tunjang kekuatan Dharmendra dan keluarga. Dia menyokong perjuangan seni suaminya yang meniti kejayaan demi kejayaan sebagai bintang Bollywood sehingga muncul antara bintang ternama.

Prakash adalah wanita di belakang tabir, amat jarang muncul dalam majlis-majlis atau menonjol dalam media massa ketika sinaran lampu kegemilangan Bollywood menyimbah cahaya kepada Dharmendra.

Dharmendra bersama Prakash Kaur, isteri pertama yang tidak diceraikan ketika mengahwini Hema Malini.


Prakash menumpukan tugas sebagai suri rumah membesarkan anak, sementara suami disanjung dan dipuja. Pasangan ini mempunyai empat anak, dua lelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Sunny Deol, Bobby Deol, Vijeta Deol dan Ajeeta Deol.

Sunny dan Bobby Deol menurut jejak bapanya menceburi dunia filem. Kedua-duanya kini adalah antara bintang popular Bollywood kini.


Dharmendra (tengah) bersama anaknya Sunny Deol (kiri) dan Bobby Deol, yang mengikut jejaknya jadi pelakon dan kini antara bintang terkenal di Bollywood. 


Rumah tangga yang tenang dan penuh kasih sayang ini bergoncang menghadapi kejutan besar apabila Dharmendra membuat keputusan mengahwini Hema Malini, yang juga bintang popular ketika itu.

Selain berlakon dengan hero atau heroin lain, kedua-dua mereka kerap digandingkan bersama dalam filem sebagai bintang utama. Dharmendra dan Hema Malini berlakon dalam 28 filem, termasuk filem box-office ‘Sholay’ (1975).

Selain itu antaranya ‘Tum Haseen Main Jawaan’ (1970) yang merupakan filem pertama lakonan bersama. Juga ‘Seeta Aur Geeta’ (1972), ‘Raja Jani’ (1972), ‘Jugnu’ (1973), ‘Pratigya’ (1975), ‘Charas’ (1976), ‘Dream Girl’ (1977), dan ‘The Burning Train’ (1980).

Mungkin kerana kekerapan berlakon bersama ini, hubungan Dharmendra dan Hema Malini begitu rapat. Akhirnya mereka berkahwin pada 1980. Namun Dharmendra tidak menceraikan Prakash. Hema jadi isteri kedua.


Dharmendra bersama Hema Malini. Pasangan suami isteri ini pernah berlakon bersama dalam 28 buah filem Bollywood.


Anak sulung pasangan Dharmendra dan Hema, Esha Deol, pernah menceburi perfileman untuk beberapa ketika sementara adiknya, Ahana Deol ialah penari klasik.

Pastinya perkahwinan ini melukakan hati Prakash dan anak-anak. Tetapi Prakash mengambil sikap bertenang, begitu juga dengan anak-anak.

Perkahwinan ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat dan orang ramai kerana di bawah Akta Perkahwinan Hindu 1955, seorang suami tidak dibenarkan berkawin lain ketika isteri pertama masih masih hidup dan masih terikat sebagai isteri yang sah.

Kerana itu ada laporan mengatakan Dharmendra dan Hema Malini memeluk agama Islam untuk membolehkan mereka berkahwin. 

Namun Dharmendra menafikan perkara ini. Mayatnya juga dibakar menurut upacara Hindu di pusat pembakaran mayat Vile Parle, Mumbai.


Dharmendra bersama Hema Malini (tiga dari kiri), Esha Doel (kanan) dan Ahana Doel.


Ada kisah menarik di sebalik perkahwinan Dharmendra dengan Hema Malini. 

Keluarga Hema, terutama ibunya, Jaya Chakravarthy, menentang keras hubungan Hema dengan Dharmendra kerana dia sudah beristeri. Justeru keluarga Hema merancang mengahwinkannya dengan Jeetendra, seorang lagi bintang popular ketika itu.

Persiapan sudah dibuat dan perkahwinan itu dirancang diadakan secara rahsia di Chennai (Madras) pada 1974. Namun rahsia ini bocor dan sampai ke pengetahuan Dharmendara.

Dia terbang ke Chennai dan meredah masuk ke dalam upacara perkahwinan. Suasana jadi kecuh. Dharmendra merayu kepada Hema tidak meneruskan perkahwinan, sementara Hema minta masa untuk berfikir.

Keluarga Jeetendra berang dan terus meninggalkan majlis. Jeetendra akhirnya berkahwin dengan Shoba Sippy. Apa yang berlaku ini seolah-olah seperti dalam filem pula!


Filem box-office 'Sholay' menampilkan Amitab Bachchan (atas kiri), Dharmendra, Sanjeev Kumar (bawah kiri) Hema Malini dan Amjad Khan.


Walau beristeri dua, Dharmendra tetap melaksanakan tanggung jawab sebagai suami kepada Prakash dan Hema, juga sebagai ayah kepada anak-anak mereka. Namun hubungan kedua-dua keluarga ini adalah jauh dan renggang.

Selama tempuh perkahwinan, Prakash dan Hema serta anak-anak tinggal di rumah berasingan. Mereka tidak pernah berjumpa atau bertegur sapa dan saling menghormati ‘privacy’ masing-masing.

Hanya Esha Deol pernah berkunjung ke rumah Prakash untuk menziarahi abang Dharmendra, Ajit Singh Deol, yang sakit. 

Esha sangat rapat dengan Ajit. Dia minta bantuan Sunny Deol untuk membolehkannya menziarahi Ajit. Prakash menyambut baik kedatangan Esha.

Kini Dharmendara sudah tiada. Entah bagaimana hubungan keluarga bermadu itu selepas ini. Mungkinkah jadi lebih mesra atau semakin jauh? -KitaReporters

 

 

 

 

15
13
0
11
0
You will be interested