Victory Pictures mengadakan Majlis Pengenalan Barisan Pelakon Utama untuk filem badminton Malaysia yang dinanti-nantikan, Sentuhan Wira, bertempat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 10 Disember 2025.

Dari kiri: S Jay, Ooi Liang Chia, Hon Kahoe, Azim Yusof, Kim Azzim, Sam Liew, Syafiq Khairul dan Henry Ong
Sentuhan Wira bertujuan menghidupkan kembali detik bersejarah yang pernah menyatukan seluruh negara, iaitu kemenangan Malaysia dalam Piala Thomas 1992, sambil memberi penghormatan kepada para pemain yang mengangkat martabat badminton negara ke pentas dunia.
Majlis ini secara rasmi memperkenal para pelakon utama kepada pihak media dan orang ramai.
Ia turut menampilkan upacara simbolik penyerahan skrip oleh pasukan pengarah kepada para pelakon -- menandakan bahawa produksi filem kini memasuki fasa seterusnya.

Diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan Victory Pictures, Sentuhan Wira diinspirasikan daripada kemenangan bersejarah Malaysia dalam Piala Thomas 1992.
Klip rakaman sejarah kemenangan tersebut turut diputarkan semasa majlis, membolehkan para tetamu mengenang kembali detik-detik yang menyatukan rakyat Malaysia.
Pengarah filem, Lenny Ooi daripada Victory Pictures, berkongsi, “Filem ini lebih daripada sekadar projek kreatif -- ia merupakan sebahagian daripada warisan negara yang perlu terus diingati.”
Lenny Ooi dan Nick Ooi menyerahkan skrip kepada para pelakon, disaksikan oleh beberapa lagenda Piala Thomas, termasuk ikon badminton negara Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit, yang merupakan pemain utama skuad ketika itu serta berkhidmat sebagai penasihat produksi.

Rashid Sidek (dua dari kiri) dan Cheah Soon Kit (dua dari kanan) menyerah skrip rasmi filem Sentuhan Wira kepada Kim Azzim (kiri) and Sam Liew (kanan).
Senarai rasmi barisan pelakon utama adalah seperti berikut:
Kim Azzim sebagai Rashid Sidek
Sam Liew sebagai Cheah Soon Kit
Ahmad Syafiq Khairul Anuar sebagai Razif Sidek
Ahmad Syahir Mohd Shafe’in sebagai Jalani Sidek
Azim Yusof sebagai Rahman Sidek
Hon Kahoe sebagai Foo Kok Keong
Liang Chia sebagai Soo Bing Kiang
S Jay sebagai Kuan Yoke Ming
Henry Ong sebagai Wong Ewee Mun
Keunikan produksi ini adalah penglibatan bekas pemain kebangsaan sebagai penasihat, yang memberikan panduan dan input profesional bagi memastikan penceritaan yang lebih autentik dan sarat dengan nilai emosi.
Pihak produksi berharap filem ini dapat membantu generasi muda mengenali sejarah negara, sambil memupuk ketabahan, cita-cita dan keberanian untuk mengejar impian. Ini juga diharap dapat menyemarakkan kembali rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Lenny Ooi menegaskan, “Piala Thomas mengajar kita bahawa kejayaan bukan hanya tentang menang atau kalah -- tetapi tentang semangat. Itulah inti pati Sentuhan Wira.”

Dengan berakhirnya majlis pengenalan pelakon utama, Sentuhan Wira kini memasuki fasa akhir praproduksi.
Filem ini dijangka memulakan penggambaran penuh pada awal tahun 2026, sebelum ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Victory Pictures turut menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik bagi membawa filem sukan Malaysia ini ke peringkat antarabangsa. - KitaReporters/Kenyataan Media