Pasya Fauzi, naib juara program realiti ‘Mentor 7’, melangkah ke fasa seni yang lebih matang dengan pelancaran single terbaharu, ‘Aku Bukan Cinta’.
Kehadiran lagu balada emosional ini mendapat perhatian segera kerana ia merupakan hasil ciptaan gandingan mantap komposer yang telah menjuarai ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-39, iaitu Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.
Lirik lagu yang puitis namun mudah difahami turut ditulis sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna.
Dengan melodi yang kuat dan susunan muzik yang moden, karya ini bukan sekadar sebuah lagu putus cinta, tetapi satu naratif tentang kekuatan dan keikhlasan untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi memberi kebahagiaan.
Menurut Pasya, atau nama sebenar Faizul Ashraff Fauzi, 31, melodi dan lirik lagu ini begitu dekat di hatinya.
"Sejujurnya, pertama kali saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh hati kerana melodinya sangat kuat dan liriknya begitu dekat dengan realiti kehidupan.
"Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman seperti dalam lagu ini, jadi saya rasa ia ada ‘jiwa’ yang mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.

Pasya menjelaskan, mesej utama yang dibawa oleh single ini melangkaui kisah kesedihan semata-mata.
Ia mengangkat tema kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi bahagia apabila cinta tidak dihargai.
"Walaupun perit, kadang-kadang kita perlu lepaskan demi kebahagiaan diri sendiri dan juga orang yang kita sayang. Lagu ini adalah tentang keikhlasan dan juga doa agar orang yang pernah kita cintai tetap bahagia,” tambah Pasya.
Dari sudut mesej, ‘Aku Bukan Cinta’ membawa nilai keberanian dalam menerima hakikat sesuatu hubungan yang tidak lagi sehaluan.

Mengenai kolaborasi bersama Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, Pasya menyifatkannya sebagai pengalaman berharga.
"Ikhwan memberi sentuhan lirik yang puitis tapi mudah difahami manakala Wan Saleh pula mengangkat lagu ini dengan susunan muzik yang moden, segar dan penuh perasaan. Saya rasa sangat beruntung dapat belajar daripada mereka,” akui Pasya.
Mengulas mengenai proses rakaman, Pasya mengakui cabaran utamanya adalah untuk benar-benar menyelami setiap bait lirik agar penyampaian vokal sampai dengan jujur kepada pendengar.

Dari kiri: Pasya, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.
Beliau meletakkan harapan agar usahanya dihargai waima meletakkan single ini sebagai fasa baharu yang lebih matang dalam perjalanan seninya.
"Saya harap peminat dapat merasai kejujuran yang cuba saya sampaikan. Kalau lagu ini dapat menjadi penguat semangat kepada mereka yang pernah terluka dalam percintaan, itu sudah cukup bermakna bagi saya, ” akhirinya.
Karya balada yang penuh jiwa dan emosi ini diyakini mampu mendapat tempat di hati para pencinta muzik tanah air serta menjadi peneman setia bagi mereka yang pernah terluka dan kecewa dalam percintaan. - KitaReporters.