Seni & Sukan 25 Sep, 2025

Demi artis veteran yang uzur, kurang bernasib baik! Karyawan anjur Malam Amal Legends! Kutip dana!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Malam 1 November 2025 nanti bakal mencatat sejarah  di Melaka Bandar Bersejarah apabila nama-nama besar dalam industri muzik tanah air dan Nusantara kembali bergabung bagi menjayakan Malam Amal “Legends” anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).


Pada malam itu, Melaka International Convention Centre (MITC) akan dipenuhi aura nostalgia, lampu gemerlapan dan bunyi tawa peminat yang pasti tidak sabar menantikan kehadiran artis-artis legenda muzik tanah air, yang terdiri daripada Datuk Ramli Sarip & Sweet Charity, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Andre Goh, Ito Blues Gang, Kumpulan Kopratasa, Helen Velu dan  S. Mariam (Mariam AHma).

Menariknya, ia bukan sekadar konsert, tetapi perjalanan masa, membawa peminat kembali ke era 70-an dan 80-an, di mana kaset pita dan radio lama menjadi teman setia generasi muzik tanah air.

Namun lebih penting ia sebuah persembahan istimewa yang bukan sahaja meraikan seni, tetapi juga menjadi wadah solidariti untuk membantu artis-artis yang sedang berdepan cabaran hidup.


Dari kiri: Freddie Fernandez, Mohd Ariff Shah, Ramli Sarip, Khadijah Ibrahim dan Helen Velu. - Foto: FAS.


‘Malam Amal Legends’ membawa misi mengutip dana kebajikan dengan sasaran RM200,000 bagi membantu artis veteran yang uzur dan kurang bernasib baik. 

Dana yang terkumpul akan memastikan KARYAWAN terus berperanan menjaga kebajikan lebih 7,000 artis tanah air, sesuatu yang dilihat penting demi kelangsungan seni.

“Ramai artis kita berdepan cabaran hidup, ada yang sakit, ada juga terbeban dengan isu undang-undang dan kewangan. 

"Malam ini adalah bukti bahawa kita bersatu demi menjaga seni dan insan seni,” ujar Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez pada majlis sidang media konsert ‘Malam Amal Legends’ yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 23 September 2025.

Turut hadir Pengerusi KARYAWAN, Khadijah Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif  MITC Sdn Bhd., Datuk Mohd Ariff Shah serta artis-artis terbabit antaranya Ramli Sarip, Andre Goh, Ito Blues Gang, Kumpulan Kopratasa dan Helen Velu yang popular dengan lagu 'Kereta Lembu' serta  Helmy Gimmick selaku pengacara majlis.



Berkongsi lanjut, Freddie memaklumkan, hasil dana yang berjaya dikumpulkan KARYAWAN sepanjang tahun lepas telah membantu lebih 200 artis, dengan kira-kira RM300,000 sumbangan berupa dana dan keperluan diagihkan kepada artis-artis yang memerlukan.

“Kalau bukan kita yang bantu artis, siapa lagi? Mereka sudah lama berkorban untuk hiburan kita, kini masa kita pula menyokong mereka,” tambah Freddie sambil menghargai daya usaha gigih Khadijah Ibrahim atau lebih mesra disapa ‘ibu Khaty'’ dalam menjayakan setiap program KARYAWAN.

Lebih daripada sekadar konsert amal, malam tersebut juga dijangka menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu. 

“Kami telah meninggalkan satu legasi muzik -- bukan hari ini sahaja, tetapi sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Insya-Allah, satu hari nanti kita akan gabungkan antara dulu, kini, dan masa depan. Itulah misi sebenar kami,”  sambung ibu Khaty. 


Dalam pada itu, tidak syak lagi untuk menjayakan konsert sebesar ini, kos teknikal, penyediaan makanan serta persiapan artis sememangnya besar. 

Namun, KARYAWAN bependapat harga meja yang ditetapkan melalui lima kategori serendah RM3,000 sehingga RM100,000 adalah berpatutan malah bertepatan dengan objektif untuk memastikan dana yang dikumpul benar-benar dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. 

“Kita mahu pastikan peminat yang hadir bukan sahaja pulang dengan kenangan persembahan hebat, tetapi juga dengan rasa puas kerana telah menyumbang,” tambah Freddie.

Persembahan malam itu dijangka berlangsung lebih daripada dua jam setengah. 

Sweet Charity bersama Ramli Sarip sahaja akan menghiburkan sekurang-kurangnya satu jam setengah sebelum bergandingan dengan Kopratasa untuk persembahan penutup. 

Sorakan penonton dijangka memecah bumbung MITC, mengimbau kembali konsert jalanan, festival kecil, dan momen kaset pita yang dahulu menjadi tanda pengenalan muzik tanah air.

Jadi bagi peminat yang merindui zaman itu, inilah peluang  untuk menyaksikan semula legenda-legenda bergabung di pentas, sesuatu yang mungkin hanya berlaku sekali dalam satu generasi.



Pendek kata, 'Malam Amal “Legends' ini  membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan -- ia adalah legasi, kasih, dan tanggungjawab. 

Dari lampu pentas yang gemerlapan, bunyi gitar dan piano, hingga tepukan dan sorakan penonton, MITC menjadi saksi malam legenda yang akan terus dikenang generasi demi generasi.

Dan ia sekali gus akan menjadi sebuah malam bersejarah yang menggabungkan nostalgia, persahabatan, dan solidariti seni. 

Untuk tempahan meja atau penajaan, orang ramai boleh menghubungi talian 016-233 8888  (Khaty) atau 012-207 1400 (Freddie) mahu pun melayangkan pertanyaan melalui  e-mel ke [email protected] atau layari laman rasmi karyawan.my - KitaReporters

10
15
0
11
0
You will be interested