Seni & Sukan 03 Sep, 2025

Tomoi gegar Hari Kemerdekaan! Sukan bela diri tarik golongan muda! GCS Merdeka Muay Thai Challenge!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Gegar Tomoi!! Begitulah sokongan peminat sukan Tomoi apabila penganjuran program kejohanan Muay Thai, GCS Merdeka Muay Thai Challenge 2025 (Cabaran Muay Thai Merdeka GCS 2025) diadakan di lapang sasar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Aur, Air Kuning dekat Taiping. 

GCS yang membawa maksud G-Gabungan, C-Cengkaman dan S-Sakti merupakan nama silat Melayu dan Muay Thai bermaksud ilmu seni mempertahan diri yang berasal dari Thailand. 


Sebahagian daripada lebih 5,000 penggemar sukan tomoi tidak berganjak dari tempat duduk untuk menonton tomoi.

Kalangan penggemar sukan tomoi dari seluruh Malaysia yang datang untuk menyaksikan kejohanan ini dilihat tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing berhadapan dengan gelanggang kerana terpegun dengan aksi yang ditunjukkan oleh peserta.

Biarpun suasana panas dalam keheningan malam, peserta-peserta muda menunjukkan kebolehan masing-masing dalam usaha menjatuhkan lawan mereka di dalam gelanggang.

Kejohanan tomoi itu berlangsung pada 30 Ogos dan berakhir pada 31 Ogos 2025. Antara kategori yang dipertanding seperti superbid fight, super fight, women fight, otai fight dan overweight fight.


Dua remaja perempuan turut bersaing dalam pelawanan tomoi.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud yang turut menonton tomoi selama dua hari ini mengakui golongan muda dilihat mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan tomoi berbanding sukan lain.

“Sukan tomoi menjadi salah satu seni bela diri yang disegani orang muda. Ini terbukti dengan ramainya penonton muda yang datang untuk melihat tomoi.

“Justeru itu, kita perlu mendekati golongan ini demi kepentingan kepada negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada GCS Merdeka Muay Thai Challenge 2025 pada 31 Ogos 2025. Kejuaraan Muay Thai itu bagi merebut tali pinggang sumbangan Ahmad Saidi Mohamad Daud.


Dua remaja sedang menunjukkan aksi tomoi sambil diawasi seorang pengadil perlawanan.

Ahmad Saidi juga mahu menaik taraf pusat latihan Kelab Tomoi GCS di Kampung Banggol Pasir, Changkat Jering dengan menyediakan beberapa kelengkapan dan peralatan bagi melatih mereka yang berminat dengan sukan tomoi.

Pengerusi Kelab Tomoi GCS Changkat Jering, Taiping, Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab berkata, hampir 300 peserta menyertai program GCS Merdeka Muay Thai Challenge 2025.

Katanya, sambutan yang menggalakkan ini membuktikan sukan tomoi dapat membangun dengan jayanya.

Seorang jurulatih dari Kelab Bara Merah di Kamunting, Taiping, Nazri Aziman mahu berbakti dengan melatih golongan muda menyertai tomoi.

“Saya mempunyai 25 orang remaja berumur enam sehingga 19 tahun. Saya mahu memberi peluang kepada anak muda supaya mereka tidak terbabit dengan perkara negatif,” katanya, yang juga bekas anggota tentera.

Remaja, Lokman Adam Nazri berkata, keluarganya memberikan galakan untuk menyertai sukan tomoi. “Saya minat dengan tomoi dan mahu melangkah jauh ke hadapan dan mencipta nama pada suatu hari nanti,” ujarnya. - KitaReporters


Ahmad Saidi Mohamad Daud (lima, kiri) bergambar dengan seorang pemenang Tali Pinggang Kejuaraan MuayThai Challence 2025.

Ahmad Saidi (tiga, kanan) menyerahkan Geran Padanan Sukan kepada Mohd Azry Azamin Abdul Wahid (tengah) pada Program Kejuaraan GSC Muay Thai Challence 2025

7
15
0
11
0
You will be interested