Seni & Sukan 18 Nov, 2025

Meneruskan Sebuah Perjalanan! Soma susun strategi bangunkan kerjaya! Nak bina galeri seni sendiri!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Memasuki tahun 2026, penyanyi Soma tampil dengan azam dan fokus baharu dalam usaha memantapkan perjalanan karier seninya.  Antara perancangannya ialah memulakan siri jelajah seluruh negara.



Selain itu, beliau merancang untuk meneruskan pembikinan muzik video, menghasilkan lagu-lagu baharu serta memperkukuh keupayaan vokal dan mutu persembahan sebagai persediaan menuju sebuah konsert berskala besar yang diimpikan.

Dengan misi memperluas pengaruh muzik dan mendekatkan diri dengan peminat, Soma memilih untuk memulakan langkah 2026 dengan sebuah showcase istimewa di kampung halamannya  di  Warisan Hall Studio, Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor -- sebuah acara yang bukan sahaja melambangkan permulaan menuju fasa baharu, tetapi juga menjadi ruang untuk menghargai akar yang membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi.

Showcase bertajuk “Sebuah Perjalanan” itu yang telah berlangsung pada 14 November 2025 diadakan bagi mengimbau kembali kisah awal penglibatannya dalam seni suara sekali gus meraikan ulang tahun pertamanya sebagai artis rakaman. 

Menariknya, sambutan ulang tahun ini jatuh tepat pada usianya yang ke-50, menjadikan acara tersebut simbolik kepada perjalanan penuh tekad dan ketekunan.


Soma dikejutkan dengan acara potong kek hari jadi yang dibawa oleh anak tunggalnya serta rakan baiknya, Julaidah (kiri), manakala majlis diacarakan oleh Mat Over (kanan). - Kredit foto: FAS.


“Perjalanan karier seni Soma bermula di kampug halaman sendiri sebelum melangkah jauh di luar sana. 

"Objektif acara sempena meraikan ulang tahun pertama sebagai artis rakaman  yang jatuh pada usia 50 tahun & pradengar lagu terbaharu menjadikan ia satu memori penting dalam perjalanan karier seni saya,” jelas Soma atau nama sebenarnya, Rosmah S. Sengari @ Basar, ketika ditemui.

Pada malam persembahan, Soma membawakan 11 buah lagu baharu dan lama diiringi barisan pemuzik berpengalaman termasuk Man Kidal (gitar utama), Belle Fatah selaku pengarah muzik merangkap pemain piano/keyboard, Adam Maulana (dram), Ujang (gitar kedua) dan Yunos (bass),



Dari kiri: Yunus, Adam Maulana, Man Kidal, Soma, Belle Fatah dan Ujang,


Gabungan tenaga profesional ini memberikan dimensi penuh kepada setiap persembahan malam itu, malah Soma turut  mengundang penyanyi yang kini menjadi peserta Gegar Vaganza, Korie untuk berduet lagu ‘Pergilah Sayang’, nyanyian asal Korie bersama kakaknya, Ratu Rock Ella.  

Melihat gaya persembahannya yang berjaya menghidupkan pentas dan menyuntik emosi ke setiap lagu yang dipersembahkan, siapa sangka Soma mempunyai karisma dan pesona seorang bintang profesional, walaupun sebenarnya baharu setahun jagung menceburi industri muzik perdana. 


Duet bersama Korie.


Acara yang berlangsung lebih kurang dua jam itu, turut menjadi platform pradengar untuk single baharu berjudul “N.P.D”, hasil ciptaan Belle Fatah dengan lirik ditulis sendiri oleh Soma. 

Lagu yang dijangka dilancarkan pada 2026 itu merupakan karya yang mencerminkan kematangannya sebagai pengkarya,

Walaupun lagu tersebut masih dalam proses pembikinan, keberanian Soma menyanyikannya secara langsung menggambarkan keyakinannya terhadap karya ini yang bakal menjadi wajah baharu kesinambungan muziknya.

“Malam ini khas untuk semua yang berada di sini, anda menjadi pendengar pertama saya menyanyikan lagu ’N.P.D’ secara live walau pun lagu tersebut belum dirakamkan vokalnya,” ujar Soma sambil mendapat tepukan gemuruh.

Showcase ‘Sebuah Perjalanan' turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi, Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) ; Timbalan Presiden DPDDM, Datuk Sazelan Arbi Bashah;  Dato’ Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor; Dato’ Dr. Nasa, Ahli Jawatankuasa DPDDM serta Abdul Razak Khasbullah, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat. 


Dari kiri: Mat Over, Nor Hasnal Hashmi, Soma, Sazelan Arbi Bashah, Mohd Alias Hamzah dan Dr. Nasa.


Secara keseluruhan, seramai 100 tetamu hadir termasuk penduduk kampung yang sentiasa menyokong Soma dengan membeli tiket khas berharga cuma RM50 sempena angka hari jadinya yang ke-50.

"Saya sengaja letakkan harga RM50 sebagai 'hadiah' kepada penduduk kampung yang sentiasa menyokong walaupun sebenarnya harga tiket sepatutnya lebih tinggi," tambah Soma.

Berkongsi lanjut, Soma menyatakan bahawa usaha untuk kekal relevan dalam industri memerlukan konsistensi dan komitmen, termasuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu lagu baharu setiap tahun serta terus aktif dalam pelbagai aktiviti seni.




Beliau turut berkongsi perancangannya untuk menghasilkan album kedua dalam tempoh satu hingga dua tahun. 

Menyentuh impiannya sebelum meniti usia tua, Soma berkata, selain kepingin mengadakan sekurang-kurangnya satu konsert berskala besar, beliau berhajat  membina sebuah galeri seni peribadi sebagai rekod perjalanan hidup serta kenangan buat generasi seterusnya.

Dalam pada itu, selain aktif dalam bidang muzik, Soma tidak menolak peluang untuk terlibat dalam dunia lakonan sekiranya ada tawaran yang sesuai.

Apa pun, showcase di kampung halaman ini menjadi bukti bahawa perjalanan Soma masih panjang dan penuh potensi -- sebuah permulaan baharu yang kukuh menuju tahun 2026 yang lebih mencabar, lebih produktif, dan lebih bermakna. - KitaReporters


Antara rakan-rakannya yang sentiasa menyokong perjalanan seni Soma.

9
15
0
12
0
You will be interested