Seni & Sukan 25 Aug, 2025

Yuran F1 terlalu mahal! Boleh biayai 20 jenis sukan, 363 atlet podium, 9,834 atlet berbakat setahun!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this


MALAYSIA tidak bercadang untuk menganjurkan semula perlumbaan Formula Satu (F1) buat masa ini susulan beberapa faktor terutama kos yuran penganjuran yang tinggi mencecah RM1.5 bilion dan pertimbangan faedah kepada rakyat serta atlet. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penganjuran semula F1 memerlukan pelaburan yang besar apabila kerajaan perlu membayar sekitar RM300 juta setahun untuk yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersial F1.  

Beliau menjelaskan, dana tersebut boleh digunakan untuk program-program penting lain di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi manfaat lebih langsung kepada rakyat dan pembangunan sukan negara. 


Beliau memberikan contoh, dengan kos yuran penganjuran RM300 juta setahun, kementerian dapat membiayai program pembangunan untuk 20 jenis sukan, melibatkan 363 atlet podium dan 9,834 atlet pembangunan bakat dengan kos tahunan RM124.1 juta. 
"Ini bermakna jumlah RM300 juta boleh menampung pelaksanaan program ini untuk tempoh dua hingga empat tahun penuh," katanya.
Malah beliau turut membandingkan kos penyelenggaraan litar dengan program sukan lain. 
"Kos penyediaan litar sebanyak RM10 juta setahun untuk memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan  Gred 1 Federation Internationale de l'Automobile (FIA) pula boleh menampung program Road to Gold (RTG) selama setahun. 
"Dengan jumlah yang sama, kerajaan juga boleh memperuntuk Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun. GPS ini penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan melalui penglibatan sektor swasta," ujar Hannah.


Hannah turut berkata, Malaysia dijangka perlu menandatangani kontrak penganjuran selama tiga hingga lima tahun yang akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran sehingga RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut.

"Selain kos yuran hak penganjuran, kos penyediaan litar dan penganjuran acara juga perlu diambil kira. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1FIA. 
"Ia memerlukan sebanyak RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati standard penarafan tersebut," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis, 21 Ogos 2025.
Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada Malaysia boleh mengehoskan kejohanan F1 lagi.
Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Tenggara yang menganjurkan acara perlumbaan berprestij tersebut pada tahun 1999. 
Bagaimanapun, Malaysia telah berhenti menganjurkan kejohanan tersebut pada 1 September 2017, berikutan peningkatan yuran penganjuran dan penurunan jumlah penonton.


Hannah turut menyatakan bahawa kalendar perlumbaan F1 yang sangat padat juga menjadi salah satu faktor. 
"Pada tahun 2025, F1 akan berlangsung di 23 destinasi lain selepas pusingan pertama di Australia. Singapura telah menganjurkan F1 sejak 2008, manakala Thailand akan menjadi salah satu destinasi bermula 2028. 
"Kehadiran penganjuran F1 oleh negara-negara jiran boleh menjejaskan pulangan di Malaysia," katanya.
Justeru Hannah menegaskan bahawa F1 dianggap sebagai 'aset yang baik untuk dimiliki' tetapi bukan satu keperluan mendesak bagi Malaysia buat masa ini. 
Ini kerana katanya, dana yang diperlukan adalah terlalu tinggi dan lebih bermanfaat jika digunakan untuk keperluan rakyat dalam aspek lain.
"Malaysia tidak menutup peluang sepenuhnya untuk F1 kembali sekiranya ada pihak korporat yang berminat untuk menampung kos yuran hak penganjuran. Pihak yang berminat boleh menghubungi SIC untuk perbincangan lanjut," katanya.


Menurutnya, SIC kini memberi tumpuan kepada penganjuran acara MotoGP yang menawarkan pulangan ekonomi dan manfaat yang lebih tinggi dengan kos yuran hak penganjuran yang jauh lebih rendah, iaitu satu perempat berbanding yuran F1. 
"Acara tahunan MotoGP menarik hampir 185,000 penonton, menjana nilai tambah impak ekonomi sebanyak RM329 juta pada 2024 dan mewujudkan 4,463 peluang pekerjaan. 
"SIC juga menjadi destinasi pilihan untuk acara antarabangsa lain seperti SuperGT, GT World Challenge Asia dan acara tempatan seperti Malaysian Cub Prix," katanya.
Hannah menambah, SIC juga membuka kemudahannya kepada orang awam melalui program SIC Timeout yang membolehkan rakyat mengakses litar secara percuma untuk aktiviti riadah seperti berjoging dan berbasikal. 
"Program ini bertujuan untuk memberi akses kepada pembayar cukai kepada kemudahan kelas pertama," katanya. - KitaReporters

14
6
0
16
0
You will be interested