MEREKA datang dengan lenggang-lenggoknya, cantik berhias, rata-rata masih sihat walaupun kebanyakan sudah menjangkau usia 60 hingga 70 tahun. Wanita-wanita ini adalah wartawan, pegawai perhubungan awam yang pernah mewarnai dunia penyiaran dan media cetak serta elektronik sebelum adanya media sosial seperti sekarang.
Tetamu istimewa ialah Datuk Habsah Hassan, Datuk Jamelah Abu Bakar, Datin Rohani Zain dan Norela Samad serta wartawan-wartawan baharu yang hadir memeriahkan acara.
Bila berhimpun di Majlis Hi-Tea anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di Perdana by Attana Hotels and Resorts di Kuala Lumpur, seramai 60 wartawan wanita yang sudah menamatkan kerja dan yang masih bertugas, bertemu mesra dalam suasana "ibu, anak-anak, cucu dan adik serta kakak" dan kata mereka mahu melihat persatuan terus berkembang maju.
Ini kerana persatuan itu adalah legen dianggotai wartawan wanita sejak ditubuhkan pada 1970-an lagi.
Majlis bermula jam 11 pagi hingga 4 petang sebagai meraikan Tahun Baharu 2024 dan penghargaan kepada sokongan memeriahkan program yang diatur oleh PERTAMA.
Mereka disajikan masakan ala kampung.
Daripada nasi putih, gulai lemak petola, sayur campur, ikan masak bercili, masak lemak nangka, tofu Jepun dengan ayam, gulai daging salai dan ayam goreng berempah. Sup ayam dan Laksa Penang yang cukup enak.
Tidak cukup itu, disediakan serba ulam dan serba jenis kerabu daripada jantung pisang, taugeh, ikan masin dan kerabu ayam dengan tambahan keropok ikan, papadom, salad yang dihidangkan dalam pelbagai jenis termasuk kentang, sambal belacan, cencaluk, budu, sambal mangga dan sambal tempoyak.
Tidak lupa ada kuih-muih, buah-buahan dan pengat pisang serta pelbagai perisa kopi dan teh serta jus kordial.
Hidangan itu ditaja sepenuhnya oleh PERTAMA. Di samping itu, tetamu juga dihadiahkan telekong, tuala, kain sarong, hadiah menarik hasil cabutan bertuah, kad minyak, tol, kerongsang dan baucar diskaun.
Paling menarik apabila tiga wanita bertuah mendapat hadiah beg untuk pakaian paling cantik.
"Cantiknya beg ini, sedondon dengan telekong yang saya dapat," kata juara bertahan Rashidah Ibrahim yang menang dua tahun berturut pakaian yang paling bergaya dan anggun.
Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali yang begitu teruja dengan sambutan itu memohon maaf jika majlis tidak sempurna.
"Kami buat semua ini dalam masa seminggu. Terpaksa kejar masa. Masing-masing sibuk urusan pejabat terutama ketika musim pilihan raya negeri tahun lalu (2023). Biarpun diuji kekangan masa, kami tetap berusaha membuat program yang dipersetujui ahli-ahli.
"Sebelum ini PERTAMA sangat terharu dengan sambutan ahli-ahli yang menghadiri bengkel digital creator tahun lalu (2023). Ramai minta disusulkan siri kedua. Kami sudah berusaha mengatur program ini. Sebelum ini ahli turut menyertai acara mendaki (hiking), majlis hari raya bersama Perdana Menteri.
"PERTAMA juga diberi peluang mewakili wartawan ke Hari Wanita Nasional (Hawana) di Melaka dan Ipoh serta kempen selamatkan wartawan yang bertugas di Gaza.
"Ada program lagi yang tertangguh seperti mendaki Gunung Kinabalu, lawatan persahabatan dengan persatuan wartawan Indonesia dan sebelum puasa tahun ini, kami perlu mengatur mesyuarat agung pemilihan Ahli Jawatankuasa yang baharu. PERTAMA berterima kasih kepada sokongan jitu semua ahli," katanya.
Kami geng Charlie Angel, usik Kak Cham.
Opah teruja kerana majoriti yang datang itu ada dua peringkat umur dan masing-masing saling bermesra, bertanya perihal dunia kewartawanan yang sudah lama kami tinggalkan, bertemu bekas rakan sekerja dan bila wartawan dari semua organisasi berkumpul, maka lahirkan bakat-bakat terpendam.
Seronok tengok mereka menyanyi lagu-lagu Inggeris dan dangdut, malah ada yang malu-malu bila diminta naik ke pentas untuk menceriakan persembahan bersama Royce Saayan yang menjadi penyanyi jemputan.
Royce sanggup tunggu sampai jam 4 petang sebab seronok sangat dengan wartawan yang semua sporting.
Rakan seperjuangan.
Masing-masing bergelek walaupun rentak tarian tak sama. Gegak gempitalah bila wartawan India mempersembah tarian daripada lagu-lagu Tamil, Hindi, keroncong dan tradisional dalam gaya tarian seperti dalam filem Hindi.
Sampai Opah yang sudah lama berhenti dari Kelab Tarian Line Malaysia turut sama "gatal kaki" naik ke pentas poco-poco yang menggamatkan suasana.
Semua memori ini tinggal kenangan bagi Opah, sejak menyertai dunia wartawan ketika umur 19 tahun pada 1982. Sehingga sekarang bila sudah masuk usia emas (warga emas), seni menulis yang dulu digunakan untuk mencari rezeki, membina keluarga kini sudah menjadi dunia terapi minda supaya tidak mudah nyanyuk.
Membaca adalah menguatkan saraf-sarat minda dan menulis akan menguatkan ingatan kita kepada ayat-ayat yang hendak dirangka, mengolah perbendaharaan kata dan sesungguh menulis ini membuatkan minda aktif.
Ilmu itu makanan minda. Ingat tu! - KitaReporters
Lama dan baharu tetap bersatu.