Seni & Sukan 16 Feb, 2022

Keluarga Malaysia: Kasihku Tertumpah di Pahang! Infak buat pusat tahfiz, keluarga terjejas banjir!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Alias Ahmad menyerahkan infak al-Quran dan barangan makanan keperluan asas kepada Aida Ahmad, wakil Pusat Maahad Tahfiz Zaid bin Tsabit di Kampung Paya Panjang, Bera, Pahang sambil diperhatikan oleh Mohiadin Bahado (kiri) dan Azman Rasman.


PROGRAM ‘Kasihku Tertumpah di Negeri Pahang’ ibarat pengakhiran sementara misi kemanusiaan mangsa banjir anjuran Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM) dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) dari Selangor selepas menginfakkan 600 naskhah al-Quran, kelengkapan solat dan barangan makanan keperluan asas pada 13 Februari 2022 lalu.

Infak dalam program mengambil aspirasi daripada konsep Keluarga Malaysia itu adalah untuk beberapa pusat, pondok dan madrasah tahfiz serta kepada beberapa keluarga di sekitar Temerloh, Mentakab, Bera, Triang dan Chenor yang menjadi mangsa banjir pada awal tahun 2022 ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan misi kemanusiaan

Wakil pusat tahfiz dan mangsa banjir bersama-sama sukarelawan PJMM dan PJNH dalam Program 'Kasihku Tertumpah di Negeri Pahang' di rumah aktivis masyarakat, Rosmawati Mohd Hanafiah di Kampung Seberang Guai, Bera, Pahang, pada 13 Februari 2022.


Pengerusi bersama program berkenaan, Mohiadin Bahado, berkata program itu dilaksanakan apabila mendapat maklumat daripada beberapa aktivis masyarakat di kawasan terbabit yang memaklumkan banyak al-Quran dan kelengkapan solat di pusat pengajian agama terbabit rosak digenangi banjir.

Menurut beliau, dengan usaha gigih Pengerusi PJMM, Ruslan Saidin dan Pengurusnya, Sazali Mohiden; Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; serta Pengelola Sahabat Kelas al-Quran Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Alias Ahmad mereka berjaya mengumpul sejumlah besar al-Quran, barangan makanan keperluan asas dan dana dalam beberapa minggu sahaja.

“Kami berasa amat terharu apabila seorang dermawan Datin Zainab Ismaun menginfak dana dalam bentuk wang untuk diagihkan kepada keluarga mangsa banjir dan serta pusat tahfiz terbabit bagi meringankan bebanan mereka. 


Siti Hawa Abdul Latif (dua dari kanan) menyerahkan infak al-Quran dan wang derma kepada seorang mangsa banjir di Kampung Tualang, Temerloh.


“Pelbagai pihak yang menginfak al-Quran dan barangan makanan keperluan asas turut menyuarakan rasa simpati kepada mereka yang menjadi mangsa banjir kerana akan berasa tertekan dengan kerja-kerja pemulihan dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih merebak.

“Jika masih ada pusat, pondok dan madrasah tahfiz yang memerlukan infak al-Quran dan kelengkapan solat khasnya, kami akan cuba ikhtiarkan untuk mengumpulnya dengan mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak ,” kata Mohiadin yang juga Pengerusi PJNH.

Majlis penyerahan infak al-Quran, kelengkapan solat dan barangan makanan keperluan asas itu berlangsung di rumah aktivis masyarakat, Rosmawati Mohd Hanafiah di Kampung Seberang Guai, Bera, Pahang yang turut dihadiri Ketua kampung berkenaan, Safie Yahya; sukarelawan dua pusat jagaan terbabit, Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (BADIM), aktivis masyarakat dari Temerloh, Azhar Ahmad dan Siti Hawa Abdul Latif.


Safie Yahya (dua dari kanan) mewakili Madrasah An Najah, Bukit Keledang, Bera, Pahang, menerima infak al-Quran, surah Yasin serta barangan makanan keperluan asas daripada Alias.


Sementara itu, Safie berkata, beliau berasa terharu walaupun bencana banjir sudah berlalu lebih sebulan namun masa ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih sanggup turun padang membantu keluarga mangsa banjir dan pelajar pusat tahfiz.

Menurutnya, walaupun sudah mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan dan NGO selain perhatian daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, namun infak al-Quran serta kelengkapan solat amat dihargai khusus kepada pelajar pusat tahfiz terbabit yang rata-rata datang daripada keluarga miskin dan anak yatim.

Alias pula berkata, infak al-Quran itu bertepatan dengan sempena bulan Rejab selain untuk mengimarahkan sambutan Ramadan supaya aktiviti agama di pusat tahfiz terbabit dapat berjalan lancar seperti sebelum bencana banjir dan pandemik Covid-19.

“Saya secara peribadi berasa bertuah apabila terpanggil untuk membantu mengumpulkan al-Quran daripada infak pelbagai pihak termasuk individu prihatin dengan nasib pelajar tahfiz supaya dapat menerus pengajian agama seperti biasa,” katanya. - KitaReporters


Rosmawati Mohd Hanafiah (dua dari kanan) mewakili mangsa banjir yang tidak dapat hadir menerima infak al-Quran, surah Yasin dan barangan makanan keperluan asas.

25
11
0
10
0
You will be interested