Seni & Sukan 16 May, 2021

Ada spy UAE? Cheng Hoe mahu Harimau Malaya lawan Kuwait secara tertutup! Tanpa intipan Al Abyad!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SKUAD pelatih Harimau Malaya menjalani latihan pusat di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam 'gelembung sukan' di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 10 Mei 2021 lalu. - Kredit foto: FAM 


MENGELAKKAN kehadiran spy atau ‘pengintip’ Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kalangan penonton?

Biarpun bukan persahabatan bertahap 1 antarabangsa, perlawanan dengan Kuwait itu mahu dilangsungkan secara tertutup menurut kehendak ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Segala strategi rapi dan formasi pasukan negara wajar menjadi rahsia besar daripada pengetahuan UAE yang dikendalikan oleh bekas pengurus Belanda naib juara Piala Dunia 2010, Bert van Marwijk.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


Langkah pencegahan awal diambil oleh Cheng Hoe apabila Harimau Malaya bimbingannya mengadakan perlawanan dengan Kuwait itu di Dubai, UAE pada 23 Mei 2021 ini.

Skuad negara bakal berdepan tuan rumah atau Al Abyad (Si Putih) apabila menyambung baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun 2021 ini.


KETUA jurulatih negara, Tan Cheng Hoe tetap menganggap tempoh persediaan Harimau Malaya selama dua minggu ini mencukupi selain lapan hari di Johor Bahru, Mac 2021 lalu. - Kredit foto: FAM


“Kami tahu UAE membuat persediaan rapi dan serius bagi kelayakan ini. Mereka juga ambil pemain naturalisasi dan berkelebihan fizikal. 

“Namun bukan fizikal semata-mata yang akan membawa kejayaan, teknikal dan kemahiran pun mampu menyainginya dan menjadi penyumbang.

“Setakat ini saya cuba minta perlawanan dengan Kuwait itu dibuat secara tertutup,” kata Cheng Hoe dalam sidang media secara dalam talian sebelum hari pertama kem latihan Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini, Ahad, 16 Mei 2021.

Harimau Malaya bakal berlepas ke Dubai pada 20 Mei 2021 ini dan mengharungi satu lagi persahabatan pemanas badan tetapi bertahap 1 antarabangsa dengan Bahrain di Manama pada 28 Mei 2021 ini.

Secara kebetulannya, Cheng Hoe pula berpeluang mengintip kekuatan dan kelemahan terbaharu UAE yang akan menentang Jordan dalam perlawanan persahabatan di Dubai pada 24 Mei 2021 ini.   

Jauh berbeza dengan Malaysia yang hanya mampu mengadakan kem latihan pusat pertama di Johor Bahru, Mac lalu selepas lebih setahun ‘dicutikan’ akibat Covid-19 sejak kali terakhir menewaskan Indonesia 2-0 pada November 2019.


SAFAWI Rasid (kanan) mengetuai rakan sepasukan serius menjalani latihan Harimau Malaya menghadapi dua perlawanan persahabatan dan tiga aksi kelayakan. - Kredit foto: FAM


Al Abyad yang menewaskan Malaysia 2-1 dengan dua gol Ali Ahmed Mabkhout di Bukit Jalil dalam kelayakan dua tahun lalu, sebaliknya mengharungi lima perlawanan persahabatan dari 12 Oktober 2020 lalu hingga 29 Mac 2021 lalu.

Mereka bermula dengan dikalahkan Uzbekistan 2-1, menewaskan Tajikistan 3-2, dikalahkan Bahrain 3-1, seri 0-0 dengan Iraq dan membelasah India 6-0, kesemuanya di Dubai.


ALI Ahmed Mabkhout (kiri) menjaringkan dua gol UAE ketika menewaskan Malaysia 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam kelayakan, 10 September 2019.


SYAFIQ Ahmad (kiri) mengejutkan UAE dengan gol tandukannya, perlu bersaing dengan Guilherme de Paula bagi posisi penyerang utama negara.  


Sementara itu Cheng Hoe berkata, kecuali empat pemain yang hanya menyertai pasukan terus ke Dubai dari negara kelab pangkalan masing-masing, Syahmi Safari dikecualikan dari hari pertama latihan pusat hari ini, 16 Mei 2021.

Mereka ialah dua bek tengah - Junior Eldstal (Chonburi FC, Thailand) dan Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand), perantara menyerang, Liridon Krasniqi (Newcastle Jets, Australia) serta penyerang remaja 19 tahun, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium).  

“Syahmi memohon dikecualikan kerana perlu selesaikan hal keluarga. Saya harap apabila tiba melapor diri di kem esok (17 Mei 2021), fokusnya dan pemain-pemain lain akan kembali kepada persediaan pasukan.

“Yang lain saya dapati juga bebas daripada kecederaan. Saya juga ada senarai pemain yang menunggu dan sudah mengambil vaksin imunisasi Covid-19 (April 2021 lalu) jika ada apa-apa yang berlaku kemudian,” katanya.

Baki dua perlawanan kelayakan Harimau Malaya yang sudah mengumpul sembilan mata di tempat kedua Kumpulan G ialah menentang pendahulu, Vietnam yang belum kalah pada 11 Jun 2021 dan Thailand, 15 Jun 2021 - kedua-duanya di Stadium Al Maktoum, Dubai. - KitaReporters


TAN Cheng Hoe (kiri) mengakui kehilangan Shahrul Saad di benteng tengah akibat kecederaan namun berharap Aidil Zafuan Radzak (dua dari kiri) cepat menemui keserasian dengan gandingan baharunya. - Kredit foto: FAM 


 TIGA penjaga gol yang dipertaruhkan bagi menghadapi UAE, Vietnam dan Thailand khususnya (dari kiri) Khairulazhan Khalid, Samuel Somerville dan Farizal Marlias. - Kredit foto FAM

1
0
0
0
0
You will be interested