Seni & Sukan 30 Mar, 2020

COVID-19 BUKAN PERANG, OLIMPIK TAKKAN BATAL

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

JANGAN sesekali dibuat perbandingan antara pandemik Covid-19 dengan Perang Dunia, malah pembatalan langsung Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak sesekali berada dalam agenda Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). : KitaReporters

PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Greece, Spyros Capralos (kiri) memerhatikan Obor Sukan Olimpik yang diterima wakil Jawatankuasa Pengelola Tokyo 2020 yang juga bekas perenang Jepun pada temasya Atlanta 1996, Naoko Imoto. – Kredit foto olympic.org 


Benar, tiga Sukan Olimpik pada 1916, 1940 dan 1944 telah dibatalkan gara-gara Perang Dunia Pertama dan Kedua, tetapi untuk membandingkannya dengan ancaman penularan wabak maut, penyakit Koronavirus-2019 (Covid-19) bukanlah perkara yang betul.

Olimpik 1916 dijadualkan di Berlin, Jerman, manakala temasya 1940 di Tokyo, Jepun sementara London, England sepatutnya menjadi tuan rumah pada 1944.

LOGO Sukan Olimpik Tokyo 1940 yang terpaksa dibatalkan kerana Perang Dunia Kedua. - Kredit foto: olympic.org 


Beberapa edisi Sukan Olimpik selepasnya turut mengharungi aneka pemboikotan negara-negara tertentu gara-gara perbezaan ideologi politik, namun tetap berjaya diteruskan sehingga terpadamnya obor temasya pada hari penutupan rasminya.

Olimpik Munich 1972 terpalit dengan episod pembunuhan atlet Israel di Perkampungan Sukan, manakala Olimpik Moscow 1980 dipulaukan oleh negara-negara sekutu Amerika Syarikat kerana pencerobohan Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan sebelum Los Angles 1984 menyaksikan negara-negara Blok Komunis pula ‘membalas dendam’.

OLIMPIK Munich 1972 diteruskan sehingga habis demi prinsip IOC untuk tidak tunduk kepada keganasan.


Malaysia turut terlibat dalam memulaukan Olimpik 1980 atas arahan kerajaan sedangkan skuad bola sepak negara sudah bertungkus lumus untuk menempah tiketnya sebagai juara Kumpulan 2 Kelayakan Asia dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 6 April 1980.

Itulah kemaraan terakhir Malaysia dalam bola sepak Olimpik yang sehingga hari ini sudah berkemarau 40 tahun, namun merupakan yang kedua berjaya dicapai selepas Munich 1972. Iraq kemudian dipilih menggantikan Malaysia pula ke Moscow.

SKUAD bola sepak negara yang kempunan ke Olimpik Moscow 1980 kerana arahan boikot oleh kerajaan Malaysia yang membantah pencerobohan Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.


Covid-19 yang kini telah melepasi angka 700,000 kes di seluruh dunia, memaksa IOC menunda Sukan Olimpik Ke-32 di Tokyo, Jepun yang dijadualkan dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020 ke tahun 2021, tetapi ditetapkan tidak lewat dari musim panas tahun depan.

THOMAS Bach (kiri) yakin "Obor Olimpik akan muncul di hujung terowong gelap dunia" akibat Covid-19. - Kredit foto: olympic.org


“Apa yang boleh kita katakan ialah inilah (Covid-19) sebuah krisis yang tidak terjangka buat umat manusia.

“Kita tidak pernah melihat satu penularan sejenis virus di seluruh dunia sebelum ini.

“Jadi, ini juga satu cabaran luar dugaan buat Sukan Olimpik. 

"Itu sebabnya sepanjang pengetahuan saya, penangguhannya merupakan yang pertama dalam sejarah Olimpik,” kata Presiden IOC, Thomas Bach dalam siaran media yang dipetik dari laman sesawang rasmi, olympic.org.

Tegasnya, perbandingan Covid-19 dengan Perang Dunia sentiasa ‘berbahaya’ kerana boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara.

“Bukan perkara yang tepat untuk membandingkannya memandangkan penderitaan manusia yang disebabkan perang dan apa yang sesebuah perang membawa bersamanya selama bertahun-tahun,” katanya.

Bach, 67, seorang peguam dan bekas atlet lawan pedang kelahiran Wurzburg, Jerman masih meyakini Olimpik Tokyo 2020 dapat diteruskan dengan memberikan satu analogi khas biarpun tidak senang dengan perbandingan Covid-19 sekarang dengan Perang Dunia silam tadi.  

“Bahawa pada penghujung terowong yang segelap ini yang kita semua harungi bersama, tanpa mengetahui berapa lama akan berlaku, obor Olimpik akan menjadi cahaya di situ.”

Lembaga Eksekutif IOC juga menekankan: “Satu pembatalan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak akan menyelesaikan mana-mana masalah atau membantu sesiapa. 

"Justeru, pembatalan tiada dalam agenda kami.” 

Keazaman IOC dan Jawatankuasa Pengelola Tokyo 2020 tegasnya, akan terus utuh malah beliau sanggup untuk tidak menunggu sehingga musim panas 2021 untuk melangsungkannya kerana mengandaikannya boleh diawalkan pada musim bunga tahun itu lagi.

“Komitmen ini tidak akan berubah dan prinsip ini akan memandu kami dalam semua keputusan yang kami ambil seperti mana dalam segala keputusan yang dilakukan dalam masa-masa kebelakangan ini.

“(Melangsungkan Olimpik Tokyo 2020 walaupun berlanjutan sehingga 2021 yang memecah tradisi kitaran tahun lompat) akan menjadi satu perayaan umat manusia yang berjaya mengatasi krisis Koronavirus yang tidak terjangka ini,” katanya. - KitaReporters

OBOR Sukan Olimpik tiba di Pangkala Udara Matsushima, Miyagi di Jepun dari Athens, Greece pada 20 Mac 2020. - Kredit foto olympic.org

0
1
0
0
1
You will be interested