Farizal terduduk kehampaan sementara dua pemain Bahrain meraikan jaringan penalti.
KEKALAHAN 1-2 Malaysia kepada Bahrain pada perlawanan Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu, 11 Jun, 2022 lalu bukan sahaja menjadi ‘tiket’ penyokong melepaskan geram ke atas pemain naturalisasi, Guilherme de Paula malah tidak terlepas menerima kecaman adalah penjaga gol, Farizal Marlias.
Farizal, 36, yang juga merupakan kapten Harimau Malaya, disalahkan sebagai punca kekalahan pasukan negara ekoran tindakannya menjatuhkan pemain lawan, Ali Jaafar Madan, menyebabkan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Bahrain yang disempurnakan oleh Abdulla Yusuf Helal pada minit ke-81.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Asia 2023
Kalangan penyokong menganggap ia sebagai kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjaga gol berpengalaman seperti Farizal apatah lagi dalam perlawanan sepenting itu malah mereka menuntut jurulatih, Kim Pang-gon agar merehatkan penjaga gol berkenaan pada perlawanan terakhir kelayakan, menentang Bangladesh pada Selasa, 14 Jun, 2022.
Ekoran itu tentera-tentera siber turut menyerang akaun Instagram Farizal dengan meluahkan kekecewaan mereka serta menghamburkan kata-kata kecaman yang ada antaranya dianggap sebagai keterlaluan.
Azmi, bekas penjaga gol kebangsaan mempertahankan Farizal. - Kredit foto: Azmi Mahmud.
Begitu pun nasib yang menimpa penjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mendapat simpati daripada bekas penjaga gol kebangsaan, Azmi Mahmud yang menyifatkan kecaman dilemparkan ke atas Farizal sebagai tidak adil dan keterlaluan.
“Bagi saya, Farizal sudah lakukan tugas yang baik sepanjang perlawanan itu, cuma kesilapan yang berlaku menyebabkan dia dikecam kerana ia menjadi punca kekalahan.
“Semua orang buat silap dan inilah risiko yang perlu ditanggung oleh seorang penjaga gol namun adalah tidak adil meletakkan kekalahan itu ke atas bahu Farizal seorang kerana kita juga perlu melihat apa punca kesilapan berlaku.
“Kita boleh juga mempersoalkan mengapa pemain pertahanan membenarkan hantaran dilakukan di dalam kawasan gol sehingga Farizal perlu bertindak keluar untuk menghalang bola itu dan akhirnya menjatuhkan pemain lawan. Jadi, semua pemain perlu bertanggungjawab serta tidak adil untuk netizen mengecam Farizal seorang,” kata Azmi.
Aksi Farizal yang membawa kepada sepakan penalti untuk Bahrain. - Kredit video: Rakaman dari siaran langsung televisyen oleh Kampung Kids.
Namun, bekas penjaga gol yang pernah menyarung jersi negara pada era 1990-an itu mengakui bahawa Farizal membuat percaturan yang silap apabila cuba menangkap bola itu dan kemudian menjatuhkan penyerang lawan.
“Tindakannya keluar untuk menyelamatkan pintu gol
memang betul, cuma dia sepatutnya menumbuk sahaja bola itu, bukan
cuba menangkapnya. Dia juga tidak perlu membetes pemain lawan, sebaliknya cukup
dengan merebahkan badan dan menghalang dengan badan.
“Tapi, dalam keadaan sebegitu, pemain perlu membuat keputusan segera dan ternyata Farizal membuat keputusan yang silap sehingga memberikan penalti kepada lawan.
“Tapi, kita kena ingat, penjaga gol bertaraf dunia pun
pernah membuat kesilapan mudah, ia memang lumrah dalam bola sepak, jadi tak
perlu penyokong nak kecam Farizal,” ujar Azmi.
Azmi berkata, sepanjang pembabitannya dengan pasukan Kedah dan kebangsaan, beliau sendiri pernah melakukan kesilapan yang dianggapnya lebih teruk berbanding Farizal.
Kesilapan Azmi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1992 antara Kedah dengan Pahang masih kekal dalam ingatannya. - Kredit foto: Video YouTube.
“Jika peminat bola sepak masih ingat, kesilapan yang saya lakukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1992 menyebabkan Kedah tewas 0-1 kepada Pahang. Sampai sekarang bila saya tonton semula video perlawanan itu, saya akan geleng kepala melihat kesilapan yang saya lakukan.
“Bayangkan, ketika saya meluru keluar untuk menyepak bola lambungan Alan Davidson, saya sudah ‘miskick’ sehingga membolehkan Zulhamizan (Zakaria) mudah menolak bola itu ke pintu gol yang ternganga. Dan ia berlaku pada minit pertama perlawanan.
“Walaupun selepas itu saya bermain cemerlang menyelamatkan banyak percubaan Pahang namun kesilapan berkenaan membawa padah apabila Kedah tewas 0-1.
"Sebagaimana dialami Farizal, saya juga teruk menerima kecaman daripada penyokong namun nasib baik ketika itu belum ada media sosial macam sekarang, kalau tidak mahu lunyai saya dikerjakan,” cerita Azmi.
Beliau juga tidak akan melupakan kesilapan yang dilakukan semasa mewakili Malaysia menentang Mynmar pada Sukan SEA 1991, Manila.
“Ketika itu bola pada tangan saya dan sudah bersedia untuk membuat sepakan tapi tiba-tiba saya mendengar tiupan wisel. Saya terus meletakkan bola kerana menyangka pengadil memberi sepakan bebas, pada ketika itu pemain Mynmar meluru dan terus menjaringkan gol. Rupa-rupanya, tiupan wisel yang saya dengar itu ditiup oleh penonton,” katanya.
Mengenai desakan penyokong agar Farizal direhatkan untuk perlawanan menentang Bangladesh, Azmi berkata, ia tidak perlu dilayan oleh Pang-gon kerana penjaga gol itu masih pertaruhan terbaik untuk menjaga gawang.
“Bagi saya, Farizal masih penjaga gol terbaik negara sekarang. Pengalamannya juga luas dan saya tak jangka kesilapan dalam perlawanan dengan Bahrain akan memberi kesan psikologi serta menjejaskan tumpuannya untuk perlawanan dengan Bangladesh.
“Penyokong ada hak untuk bersuara tapi jurulatih ada hak untuk menentukan pemain yang mahu diturunkannya. Tak kanlah kerana satu kesilapan, Farizal hendak dihukum sedangkan selama ini dia sudah memberikan yang terbaik untuk skuad negara,” ujar Azmi. - KitaReporters