Seni & Sukan 08 Jun, 2022

Gadis 20 tahun jadi pemusnah! Hubungan cinta Pique-Shakira berakhir! Ditangkap berlaku curang!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Pique dan Shakira dikurniakan dua anak lelaki, Milan dan Shasha hasil hubungan selama 11 tahun. - Kredit foto: Instagram 3gerardpique


HIKAYAT cinta pemain bola sepak kelab Barcelona dan Sepanyol, Gerard Pique dengan penyanyi sensasi Latin, Shakira, yang dijangka mahu dinoktahkan dengan perkahwinan akhirnya berkesudahan dengan perpisahan.

Ia adalah berita yang memeranjatkan peminat kedua-dua selebriti itu kerana selama ini tidak ternampak riak berlaku keretakan dalam hubungan mereka malah pasangan itu masih meraikan bersama Hari Valentine pada 14 Februari 2022 lalu.

Apatah lagi, Pique dan Shakira sudah melayari kehidupan bersama selama 11 tahun meskipun tanpa ikatan perkahwinan serta diserikan dengan kehadiran dua anak lelaki, Milan, 9 tahun, dan Sasha, 7.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tragedi perpisahan

Walaupun jarak usia mereka 10 tahun, namun Pique dan Shakira hidup bahagia selama 11 tahun. - Kredit foto: Instagram Shakira.


Pique dan Shakira mengumumkan secara rasmi perpisahan itu pada 4 Jun, 2022 namun tidak menyatakan apakah punca mereka mengambil keputusan itu serta meminta diberi ruang privasi demi kebaikan anak-anak mereka.

"Dengan rasa kesal kami mengesahkan bahawa kami sudah berpisah," begitu kenyataan bersama Pique dan Shakira sambil menambah: "Kami saat ini meminta diberi ruang privasi demi kebaikan anak-anak kami, yang merupakan keutamaan kami.”

Walaupun cuba merahsiakan punca perpisahan mereka namun khabar angin bertebaran menyatakan ia berpunca daripada Pique yang bermain kayu tiga dengan wanita lain malah pemain bola sepak itu didakwa sudah tinggal berasingan di sebuah pangsapuri lain.

Kecurangan Pique itu didedahkan oleh akhbar Sepanyol, El Periodico, diakui oleh dua wartawannya, Lorena Vazquez dan Laura Fa yang mendakwa bintang Barcelona itu bertemu seorang gadis jauh lebih muda dari Shakira yang kini berusia 45 tahun, sementara Pique pula berusia 35 tahun.

Malah, Firstpost melaporkan, gadis berusia 20 tahun berambut perang itu adalah seorang mahasiswi tapi, identitinya tidak didedahkan. Laporan juga menyebut, Pique dilihat bersama gadis berkenaan beberapa kali dan Shakira dapat menghidu kecurangan kekasihnya itu.


Kehadiran dua anak lelaki, Milan dan Sasha menyerikan kehidupan Pique dan Shakira. - Kredit foto: Instagram 3gerardpique


Pique dan Shakira pertama kali bertemu ketika pengambaran video lagu rasmi Piala Dunia 2010 "Waka Waka (This Time for Africa)" pada 2010. Ia disusuli dengan pertemuan secara sembunyi-sembunyi bagi mengelak diburu paparazi malah ketika hubungan itu mula dapat dihidu, kedua-duanya saling menafikan bahawa mereka sedang bercinta.

Namun pada Februari 2011, pasangan itu secara terbuka bergandingan tangan ketika meninggalkan sebuah restoran di Barcelona. Mereka akhirnya mengakui bercinta. Perbezaan usia yang cukup jauh, Shakira 10 tahun lebih tua dari Pique, tidak menjadi masalah. Uniknya, tarikh lahir mereka sama iaitu 2 Februari. 


Anak-anak kini menjadi keutamaan Shakira. - Kredit foto: Instagram Shakira.


Pada Januari 2013, Shakira dan Pique mengumumkan kelahiran bayi pertama mereka, seorang bayi laki-laki yang diberi nama Milan Pique Mebarak. Selanjutnya, pada akhir Januari 2015 mereka menyambut kelahiran Sasha Pique Mebarak, putera kedua mereka.

Beberapa tahun lalu, mereka dikatakan akan mengukuhkan percintaan mereka dengan perkahwinan namun ia tidak menjadi kenyataan. Dalam satu wawancara bersama 60 Minutes, pada awal tahun 2020, Shakira mendedahkan mengapa dia tidak mahu berkahwin dengan Pique.

"Sejujurnya, perkahwinan membuat saya sangat takut.  Saya tidak mahu dia (Pique) melihat saya sebagai isteri. Saya lebih memilih dia melihat saya sebagai kekasih," kata Shakira.

Kini, segala-galanya sudah berakhir, pasangan yang dianggap paling ideal, sangat romantik dan couple of the decade gagal mempertahankan istana cinta mereka yang gara-gara kehadiran orang ketiga! - KitaReporters


 

Pique dan Shakira gagal mempertahankan cinta mereka gara-gara kehadiran orang ketiga.

16
15
1
12
0
You will be interested