Seni & Sukan 26 Jul, 2021

Liga Super: Perak FC kena belasah 5-0! Penyokong pun naik minyak! Desak Yee Fatt letak jawatan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Chong Yee Fatt menjadi mangsa kecaman penyokong pasukan Perak FC ekoran kekalahan 0-5 kepada Terengganu FC pada 24 Julai, 2021. Kredit foto: CakapSukan.Com


KEKALAHAN 0-5 Perak FC kepada Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu, 24 Julai, 2021 menyebabkan penyokong Seladang ‘naik minyak’, dengan jurulatih, Chong Yee Fatt menjadi sasaran.

Rata-rata penyokong yang kecewa dengan kekalahan itu melepaskan kemarahan melalui media sosial dengan menuding jari kepada Yee Fatt dan meminta beliau meletak jawatan!

Selain mempertikaikan pemilihan pemain, mereka turut mempersoalkan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih itu sehingga ada yang menganggap ia hanya sesuai digunakan untuk pasukan budak sekolah!


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perak FC

Kempen yang dijalankan melalui media sosial oleh penyokong Perak. - Kredit foto: Media sosial


Seorang peminat,Wan Zaino menyarankan Perak agar segera mencari jurulatih baharu bagi menggantikan Yee Fatt ekoran kegagalan menerapkan taktikal yang berkesan.

“Tolong la cari jurulatih lain. CYF (Chong Yee Fatt) level (taraf) Liga FAM. Malu tengok pasukan Perak main macam ni. Pemain-pemain bukan tak bagus, cuma taktikal tak kena.

“Masih ada harapan kalau tak nak jatuh liga (ke Liga Perdana). Jalan terbaik sekarang tukar jurulatih,” luahnya melalui laman Facebook Perak FC.



Sementara itu Joe Nazrul pula menganggap Yee Fatt hanya layak melatih pasukan Liga M3.

“Minta maaf la, taktikal hancur, menjahanamkan pasukan Perak. Pengurusan tolonglah ambil jurulatih lain, Nidzam Jamil tu kosong,” tulis Joe.

Lebih teruk bila seorang lagi peminat, Shofi Udin melabel taktikal diguna pakai Yee Fatt setaraf taktikal budak sekolah.

“Ni Perak, bukan budak sekolah!” tulisnya, cukup untuk menggambar kekecewaan dan kemarahannya.

Kanda Arjuna pula mempertikaikann percaturan Yee Fatt dalam penyusunan pemain untuk perlawanan itu yang dianggapnya tidak tepat.

“Pemain tengah jadi pemain pertahanan, nasib baik tak ditukar penjaga gol jadi penyerang. Pemain import tidak digunakan sebaik mungkin pada separuh masa pertama. Dah kena baru kelam-kabut  nak buat rombakan, yang kena tukar sepatutnya jurulatih kerana tak pandai susun pemain,” ujarnya.

Hidayat Costar pula menulis: “Ambil import sekadar import tapi main macam pemain tempatan atau kadang-kadang lebih teruk. Ambil jurularih sekadar jurulatih tapi taktikal macam harapkan pemain.

“Mental pemain dah jatuh, tak ada beri motivasi, main sekadar nak habiskan minit. Kalau begini, jimatkan duit bagi semua pemain muda tempatan main.”


Aksi Perak menentang Terengganu. - Kredit foto: Terengganu FC.


Begitu pun bagi bekas pemain, V Saravanan pula, adalah tidak adil jika pemain muda diberi bebanan tinggi untuk memulihkan maruah pasukan Perak.

“Pemain muda baru nak ambil peluang untuk mencungkil bakat mereka di liga kita. Saya cukup sedih dengan pengurusan, langsung tak fikir sebelum buat keputusan,” ujar bekas pemain itu yang kini menjadi jurulatih bagi skuad Bawah 13 Tahun HJK Helsinki, Finland.


Yee Fatt (kanan) mahu membuat penambaikan terhadap Perak menjelang pertemuan dengan KL City pada 27 Julai, 2021. - Kredit foto: Perak FC


Sementara itu, Yee Fatt ternyata tidak terkesan dengan desakan itu sebaliknya terus memberi tumpukan mempersiapkan pasukan untuk berdepan pasukan KL City pada Selasa, 27 Julai, 2021.

Mengakui tertekan dengan kekalahan besar kepada Terengganu itu, beliau berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap pasukan menjelang perlawanan dengan KL City.

Yee Fatt mengakui kelonggaran jentera tengah serta ketidakserasian dalam kalangan pemain import baharu menjadi punca The Bos Gaurus diaibkan oleh Sang Penyu.

Kekalahan kepada Terengganu itu meletakkan Perak di tangga ke-10 dengan 12 mata daripada 14 perlawanan, satu kedudukan yang dianggap runcing dengan berbaki lapan perlawanan. 

Dua pasukan terbawah daripada 12 pasukan bertanding akan diturunkan secara automatik ke Liga Perdana. – KitaReporters


Kesebelasan utama Perak FC yang turun menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada 24 Julai, 2021. - Kredit foto: Perak FC

1
0
5
0
1
You will be interested