Seni & Sukan 07 Jun, 2021

'Ceria Popstar' kembali! Banyak 'star' pada musim kelima ini! 10 peserta berebut RM20k, trofi

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Program mencari bakat si cilik berusia di antara 7 hingga 17 tahun, ‘Ceria Popstar’ kembali untuk musim kelima bermula 9 Jun 2021 ini menerusi saluran Astro Ceria (611) pada setiap hari Rabu, jam 9 malam.

Seramai 10 orang peserta bakal beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing seterusnya merebut gelaran terulung, ‘Juara Ceria Popstar 2021’ dan membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai sejumlah RM20,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat pula masing-masing akan memenangi RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Astro


Terdahulu, Astro Ceria menerima lebih dari 1,000 penyertaan dari pelbagai lapisan latar belakang bakat-bakat cilik berusia di antara 7 hingga 17 tahun yang dihantar secara dalam talian dari 23 Mac hingga 3 April 2021 dengan menggunakan tanda pagar rasmi #CeriaPopstar2021. 

Kemudiannya, sesi uji bakat tertutup diadakan selama dua hari pada 10 dan 11 April 2021 di sebuah hotel di ibu negara yang dijurikan bersama oleh  barisan pelakon, penyanyi dan pelawak popular seperti di pentas ‘Maharaja Lawak Mega’, Sharif Zero (gambar atas, kiri);  Naib Juara GV5, Dia Fadilla (dua dari kiri); Juara GV2, Siti Nordiana (kanan); dan anggota kumpulan One Nation Emcees, MimiFly.




Kesimpulannya, 10 peserta yang memenuhi kriteria pemilihan juri terdiri daripada  (mengikut nama pentas)  Balqis, 12,  (dari Kuantan, Pahang); Damia, 15, (Taiping, Perak); Dayana, 11, (Ipoh, Perak);  Dinda, 16, (Sepang, Selangor); Keka, 15, (Putrajaya); Marsya, 18, (Klang, Selangor); Ariff, 16,(Klang, Selangor); Armand, 15, (Kuala Lumpur); Iman Boy, 13, (Petaling Jaya, Selangor); dan Syabil, 13 dari Cheras, Kuala Lumpur.

Tentu korang nak tahu juga kan apa keistimewaannya tahun ini berbanding empat musim lalu iaitu sejak program realiti bakat untuk kanak-kanak itu dilancarkan pada tahun 2013?

‘Ceria Popstar’ musim ini tampil lebih hebat dan unik apabila menyuntik elemen kolaborasi mega dengan program-program terhebat terbitan Astro seperti Maharaja Lawak Mega’ dan ‘Gegar Vaganza’,” ujar Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong (gambar bawah).



Menurut Cecilia, menggabungkan genre komedi yang sarat dengan gelak tawa, musim kali  ini menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih segar dan kompak serta diyakini mampu menawan hati penonton yang sentiasa menginginkan pembaharuan dalam sajian kandungan yang ditawarkan. 


Dihoskan oleh penyampai radio ERA, stesen nombor satu negara, Danial Zaini bersama penyanyi, pelakon dan pengacara serba boleh, Shiha Zikir, ‘Ceria Popstar’ turut membariskan nama-nama hebat sebagai tonggak utama di sebalik produksi besarnya. 

Buat julung kalinya, pengacara, pelakon dan pengarah versatil, Nabil Ahmad tidak lagi mengacarakan program ini, malahan kini beliau berada di posisi Juri Tetap bersama Dato’ AC Mizal, Elly Mazlein dan Ernie Zakri. 




Tugasan Guru Vokal pula dipertanggungjawabkan kepada penyanyi dan ‘award-winning’ komposer, Hael Husaini dan Juara Gegar Vaganza (GV) musim kelima, (kanan).

Sentuhan GV terus diperlihatkan lagi dalam ‘Ceria Popstar’ apabila dua juara (musim kedua dan musim keenam), Siti Nordiana dan Naqiu diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai ‘Inspirer’ atau idola inspirasi kepada bakat-bakat yang terpilih. 

Dalam pada itu, penyanyi, MimiFly pula ditugaskan sebagai Guru Koreografer untuk membantu dari aspek gerak tari peserta. 

Wah! Nampak gayanya peserta-peserta kali ini cukup bertuah mendapat bimbingan daripada kalangan artis profesional dan ternama gitu.



Sehubungan itu, pastinya cabaran bagi setiap peserta untuk memberikan persembahan terbaik semakin mendebarkan al maklum berhadapan dengan nama-nama hebat dalam industri ya tak?

Apa pun good luck semua dan anggaplah diri dah berjaya kerana menjadi 10 peserta yang layak ke pentas Ceria Popstar musim ke-5 ini pun dah satu kejayaan. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested