Yazit Ahmad (dua dari kiri) adalah pengasas Search dan kekal bersama kumpulan itu sehingga akhir hayatnya. - Foto media sosial
‘PERANG’ yang meletus antara Amy, Nasir Daud dan waris Yazit Ahmad dengan Home Of Champions (HOC) berhubung isu penggunaan jenama kumpulan Search turut menarik perhatian salah seorang pengasas band rock itu, Zainal Rampa.
Walaupun sedar, dia tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam pertelingkahan itu, namun sebagai rakan yang sama-sama berjuang dalam industri muzik, Zainal terpanggil untuk memberi pandangan.
Apatah lagi apabila ia turut membabitkan Allahyarham Yazit, individu yang turut bertanggungjawab atas kelahiran Search pada 1981, selain dirinya sendiri dan Hillary Ang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan Search
Zainal Rampa dan Hillary Ang adalah pengasas Search bersama Yazit pada 1981. - Kredit foto: FB Zainal Rampa.
“Memang saya sudah tidak ada apa-apa hak ke atas Search walaupun saya adalah salah seorang pengasasnya. Tapi, pandangan saya ini lebih bersifat nasihat seorang abang kepada adik-adiknya.
“Pada saya isu ini terlalu kecil untuk dijadikan medan perbalahan, cabar mencabar dan berbalas kenyataan. Benda boleh bincang, buat apa nak gaduh.
“Tak perlu nak pakai lawyer bagai, cukup jika mereka dapat berjumpa, duduk semeja dan berbincang elok-elok. Carilah jalan penyelesaian agar kedua-dua pihak berpuas hati.
“Namun, satu perkara saya minta, dalam apa hal sekalipun yang membabitkan Search, Yazit jangan dilupakan walaupun dia sudah tiada. Ini kerana jasa dan pengorbanannya terlalu besar kepada Search.
“Bayangkan daripada awal penubuhan Search, Allahyarham satu-satunya ahli asal yang kekal hingga akhir hayatnya walaupun anggota Search lain silih berganti selepas saya, Hillary dan Memet meninggalkan kumpulan itu,” ujar Zainal.
Yazit yang merupakan pemain dram Search meninggal dunia pada 26 September, 2019 lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Walaupun sudah tidak bersama dalam kumpulan Search, namun hubungan Zainal dan Yazit kekal ibarat satu keluarga. -Kredit foto: FB Zainal Rampa.
Menurut Zainal, setiap kali tercetus isu membabitkan Search, dia terus teringatkan Yazit terutama terkenang kembali bagaimana Search ditubuhkan hingga kemudiannya lahir sebagai band rock yang menguasai dunia muzik tempatan dan Indonesia.
“Band ini ditubuhkan secara add-hoc. Ketika itu, saya dan Hillary sudah dapat kerja untuk bermain muzik di Red Rooster Pub, Kuala Lumpur sedangkan band kami belum cukup ahli serta belum ada nama.
“Saya ajak Memet sertai kami sebagai pemain bass sementara Hillary pula mempelawa Yazit yang ketika menetap di Johor Baru sebagai pemain dram.
“Saya masih ingat, kami jemput Yazit di Puduraya dengan menaiki kereta Memet. Yazita datang naik bas dari Johor. Apabila kami sampai, dia sudah berdiri di tepi jalan, menunggu kami. Dia melambai ke arah kami sambil tersenyum.
“Saya ingat sangat peristiwa itu kerana ia adalah detik penubuhan kumpulan ini. Nama Search adalah ilham daripada rancangan dokumentari In Search Off tapi selepas berbincang, kami hanya guna perkataan Search.
"Begitupun, selepas beberapa bulan bersama, saya meninggalkan kumpulan itu, digantikan oleh Amy, diikuti oleh Memet, yang mana tempatnya diisi oleh Nasir. Nama Search terus memuncak terutama selepas mereka melahirkan album.
“Beberapa tahun kemudian, Hillary pula mengundur diri. Sejak itu ahli kumpulan kerap bertukar ganti sebelum Din dan Kid menyertai mereka. Tapi, Yazit tetap kekal bersama Search. Atas sebab itu, saya berharap apa pun yang berlaku, mereka tidak melupakan Yazit,” kata gitaris itu yang meneruskan kerjaya seninya bersama beberapa kumpulan seperti Blues Gang sebelum membentuk kumpulan Rampa bersama Allahyarham Poe.
Sejak seminggu lalu, perang mulut tercetus antara Amy dan Nasir dengan HOC apabila mereka mendakwa syarikat berkenaan menggunakan nama kumpulan itu bagi tujuan perniagaan tanpa persetujuan semua ahli.
Mereka memberi tempoh selama tujuh hari kepada HOC menghentikan kegiatan perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan atau tindakan undang-undang akan diambil ke atas syarikat berkenaan.
Sementara itu HOC dalam sidang media,
Jumaat 28 Mei 2021 mendakwa Amy, Nasir dan waris Yazit tidak berhak membuat tuntutan
ke atas penggunaan jenama kumpulan itu kerana nama Search tidak didaftar di
bawah tanda dagang atau ‘trademark’.
Malah, HOC melalui peguamnya mendakwa, Amy tidak berhak membuat tuntutan berikutan sudah meninggalkan kumpulan itu pada Mac, 2020.
Pada masa sama, pemilik HOC, Mozylir Mokhtaruddin mendakwa, sebelum mengeluarkan produk atas jenama Search, syarikatnya sudah mengadakan perbincangan serta mendapat persetujuan daripada Nasir, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid).
Apakah kesudahan krisis ini?
Bagi Zainal, jalan terbaik adalah saling bertolak ansur untuk mencari titik penyelesaian. - KitaReporters
Din (kiri) dan pemilik HOC, Mozylir jalin kerjasama keluarkan produk atas jenama Search.