PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) masuk hari ke-23 pada Khamis, 9 April 2020. Sepanjang tempoh tersebut, daerah Kampar di Perak merekodkan prestasi cemerlang apabila kekal diklasifikasikan sebagai Zon Hijau berikutan tiada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di daerah tersebut! Dengan rekod terkini itu bermakna, tahap pematuhan penduduk di daerah tersebut ke atas penguatkuasaan PKP berada pada tahap 99 peratus! : KitaReportersKetua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim (dua dari kanan) berbincang dengan seorang anggota tentera semasa meninjau sekatan jalan raya di Gopeng, Perak pada 9 April 2020.
Wow......tahniah orang Kampar. Anda hebat dan cukup mendengar kata!
Untuk rekod, sehingga 7 April 2020, Perak mencatatkan 233 kes positif Covid-19 dengan daerah Kinta dan Hilir Perak berada dalam Zon Merah dengan 93 dan 66 kes.
Mendedahkan kejayaan itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, ia adalah hasil pemantauan pasukan keselamatan dan kerjasama baik masyarakat setempat yang akur terhadap arahan kerajaan.
HASRON NAZRI HASHIM
Beliau berkata, meskipun menerima pelbagai alasan tidak munasabah pada peringkat awal pelaksanaan PKP, namun ia tidak berlarutan apabila orang awam mula menunjukkan disiplin terhadap larangan tersebut.
"Masyarakat setempat telah memberi kerjasama baik terhadap perintah kawalan termasuk mengurangkan pergerakan sama ada di jalan raya dan di tempat tumpuan awam.
"Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini, mereka semakin berdisiplin apabila jumlah kenderaan semakin berkurangan di atas jalan dan orang ramai tidak lagi bersesak di bank, pasar raya mahupun pasar awam," katanya ketika ditemui di Gopeng pada 9 April 2020.
Menurut Hasron Nazri, pihaknya menggerakkan rondaan, pemeriksaan dan program advokasi dengan membuat pengumuman pematuhan PKP setiap hari di semua lokasi bagi tujuan mendidik masyarakat.
Malah katanya, sekatan jalan raya di dua lokasi bersempadanan iaitu di daerah Batang Padang dan Kinta juga diperketatkan dengan hanya membenarkan pihak berkepentingan sahaja melepasi kawalan.
"Banyak kenderaan yang melalui sekatan ini telah diarah berpatah balik, penegasan terpaksa dilakukan apabila ramai antara mereka gagal memberi alasan munasabah.
"Secara keseluruhan, sebanyak lima sekatan jalan raya telah dijalankan dalam daerah ini dan 10 laluan ke pekan Kampar ditutup bagi mengurangkan kenderaan keluar masuk," katanya.
Tambahnya, beberapa elemen pematuhan akan dipertingkatkan bagi memastikan daerah Kampar kekal sifar kes Covid-19.
Katanya, ia termasuklah meningkatkan rondaan di kawasan perumahan dan kampung-kampung di mana lokasi yang sering berlakunya aktiviti sosial dalam kalangan penduduk.
"Saya hargai kesedaran masyarakat, tetapi masih ada beberapa elemen perlu ditingkatkan berkaitan pergerakan orang ramai untuk memastikan mereka benar-benar berada di rumah pada waktu yang ditetapkan," katanya.
Ayuh warga Kampar, kekalkan rekod cemerlang ini untuk pastikan daerah anda kekal selamat untuk didiami! - KitaReporters
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim (dua dari kanan) meninjau sekatan jalan raya di Gopeng, Perak baru-baru ini.
Tags: