Seni & Sukan 06 Nov, 2020

Dolla Impikan lagu dwibahasa! Digelar Blackpink Malaysia?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

BILANGAN penyanyi berkumpulan wanita tempatan tidaklah ramai malah jika dihitung yang popular boleh dikira dengan jari. Jika dulu, antara yang popular adalah Elite dan sekarang kumpulan DeFam antara segelintir yang masih bertahan dan diminati ramai walaupun beberapa anggotanya ada yang menyanyi solo atau pun berlakon jika tidak menyanyi bersama. Terkini, muncul sebuah lagi kumpulan wanita yang menamakan diri mereka Dolla. Siapa mereka ini? : KitaReporters


Kumpulan Dolla. Dari kiri: Angel, Syasya, Tabby dan Sabronzo.


Lagi cerita-cerita berkaitan:

Dolla yang baharu setahun jagung berada dalam industri hiburan dianggotai empat gadis jelita terdiri daripada Sabronzo (Sabrina Rusli), 25; Tabby (Tabitha Ariel Lam), 20; Angel (Angelina Chai Ka Ying), 19; dan Syasya atau nama penuhnya, Noorsyasya Afiqah Shahrizal, berusia 19 tahun. 

Dan lebih menariknya, kumpulan pop wanita Malaysia ini menerima jolokan sebagai ‘Blackpink Malaysia’. 

Wow! Hebat perbandingan yang diberikan itu, mesti bagus mereka ni ya tak?

Sudah tentu Dolla berjaya menggegarkan industri muzik Malaysia dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian sehingga diberikan gelaran setaraf dengan kumpulan wanita antarabangsa tersebut.

Mana tidaknya, walau pun baharu ditubuhkan tahun 2019 malah baharu mempunyai sebuah single debut ‘Dolla Make You Wanna’ pada Mac 2020, mereka dah mengumpul peminat yang menggelarkan diri mereka itu ‘iDolla’.

Malah lebih membanggakan apabila mereka diberi peluang untuk membawa bakat mereka ke arena antarabangsa apabila terpilih untuk berkolaborasi dengan artis-artis wanita dari seluruh Asia Tenggara dalam menghasilkan lagu ‘Heal’, sebuah projek khas kelolaan Star Music, anak syarikat konglomerat media ABS-CBN yang berpusat di Filipina.


Foto kredit: ABS-CBN.com

Lagu ‘Heal’ yang baharu saja dilancarkan pada September 2020 merupakan projek yang pertama seumpamanya di rantau ini, bertujuan menyampaikan rasa cinta dan memacu penyatuan warga rantau ini dalam menghadapi suasana tidak ketentuan dan waktu mencabar akibat pandemik Covid-19. 

Jika belum cukup dikenali pada persada muzik arus perdana, Dolla tidak mahu mengalah malah meluaskan lagi jangkauan muzik mereka dengan pelancaran single kedua dengan lagu Melayu berjudul ‘Impikan’.

Turut dilancarkan bersama lagu Impikan adalah  lagu versi Bahasa Inggeris yang diberi judul Watch Me Glow.

Wah! Dua dalam 1 rupanya, satu kelainan yang diberikan Dolla.

Menariknya, lagu ‘Impikan’  adalah ciptaan komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar dan Karl Oscar Gummesson yang turut menulis lirik untuk Watch Me Glow

Manakala lirik Impikan pula ditulis oleh penyanyi rap, komposer dan penerbit terkenal Malaysia iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.



Mengulas tentang lagu ini yang menggunakan khidmat pencipta lagu antarabangsa yang pernah menghasilkan beberapa lagu hits untuk kumpulan K-Pop seperti Loona, Red Velvet, Girls’ Generation, Exo-CBX, Vixx, Boys Republic dan Pentagon, Sabronzo atau nama penuhnya Sabrina Rusli (gambar atas) bagi pihak Dolla berkata:

“Sudah pastinya kami sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti ‘All Night’ nyanyian Girl’s Generation. Dengan peluang ini ia sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa.” 

Lagu yang cuba mengangkat falsafah pantang menyerah kalah, Impikan/Watch Me Glow membawa pesanan untuk sentiasa tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan. 

Mengulas lanjut,  Angelina Chai atau lebih mesra disapa sebagai Angel berkata, “Lagu ini cuba membangkitkan semangat mereka yang belum mencapai apa yang mereka impikan dalam hidup. Jangan mengeluh dan mudah menyerah kalah. Dengan usaha yang berterusan, apa yang diimpikan pasti boleh dikecapi suatu hari nanti.”

Menurut Angel, lagu berkenaan didedikasi khas buat peminat mereka  yang percaya dengan bakat dan kemampuan mereka untuk terbang lebih jauh dalam persada seni.

“Kami berharap lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif daripada pendengar dan mengukuhkan lagi jenama dan muzik di Malaysia, malah kami turut menaruh impian lagu ini membuka ruang dan peluang untuk kami menempa nama di luar negara,” sambung Sabronza.



Sementara itu, Ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar memberitahu, kerjasama dengan syarikat produksi The Kennel AB dari Sweden itu sudah lama terjalin menerusi beberapa projek untuk artis di bawah Universal Music Group.

”Bila kami menerima lagu Watch Me Glow dalam senarai lagu yang mereka hantar untuk projek lain, kami merasakan ia sesuai dengan konsep muzik yang Dolla cuba tampilkan. Setelah berbincang dengan pihak Dolla sendiri, kami bersepakat untuk menjadikan single kedua Dolla dan dikeluarkan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” jelas Anne.

Menurut Anne, ini merupakan pertama kalinya Universal Music Malaysia mengeluarkan lagu dalam dua bahasa sebagai strategi membawa Dolla menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa dan meletakkan nama mereka pada peta muzik global.

“Kami menyifatkan kerjasama strategik dengan penggiat seni antarabangsa adalah suatu langkah untuk pemain industri muzik Malaysia mendapat manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan kemahiran dalam seni pembikinan muzik popular global, “ akhiri Anne. - KitaReporters




4
2
0
0
1
You will be interested