Seni & Sukan 03 Jun, 2020

Lanjutan larangan solat di masjid: Bersabar! Ada hikmahnya!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

HASRAT umat Islam mengimarahkan masjid dan surau di Selangor selepas berakhirnya tempoh larangan solat Jumaat, sembahyang fardu berjemaah, kegiatan kuliah dan ceramah agama terpaksa dilupakan buat sementara waktu berikutan penangguhan itu dilanjutkan sebulan lagi bagi fasa kedua sehingga 30 Jun 2020 yang sudah bermula pada Ahad 1 Jun 2020. : KitaReporters

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu rakyat Selangor patuhi arahan dan garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kait pandemik COVID-19. - Kredit foto: Pejabat Diraja Selangor.


Sebelum itu, larangan solat dan aktiviti agama di masjid serta surau di Negeri Selangor diberikan sejak 18 Mac 2020 hingga 31 Mei 2020 kecuali sebahagian kecil pegawai dan ahli jawatankuasa yang diberi kebenaran mengimarahkan " rumah Allah ' apabila penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.  

Lanjutan larangan ini dikuatkuasakan berikutan arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj setelah menerima pandangan dan nasihat daripada Mufti Selangor, Majlis Agama islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung perkembangan terkini pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang, khususnya di Selangor.

Arahan ini terkandung dalam kenyataan media Baginda yang dikeluarkan oleh Pejabat Diraja Selangor pada 1 Jun 2020.

Bagaimana pun tempoh lanjutan penangguhan bagi fasa kedua selama 30 hari ini akan dikaji kesesuaiannya  dan boleh dipendekkan jika keadaan wabak berkenaan semakin baik dan jumlah kesnya menurun setiap hari.

Dalam konteks ini, orang ramai khususnya yang tinggal di Selangor perlu mematuhi arahan dikeluarkan oleh baginda Sultan kerana ia salah satu usaha membendung pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang sekalipun situasinya kini semakin menurun jika dibandingkan pada April dan Mei 2020.


"Keputusan larangan ini suatu yang sangat sukar dan berat untuk diambil.

"Dengan memahami keluh kesah rakyat tidak dapat menunaikan ibadat di masjid dan surau selama tempuh 12 minggu setakat ini.

"Namun keputusan terpaksa dibuat bagi memastikan penularan jangkitan wabak berbahaya  COVID-19 dapat dibendung dan dikawal dengan berkesan," titah baginda.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda sehingga ini sentiasa memantau secara terperinci data-data mutakhir penularan wabak COVID-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di Selangor yang telah menunjukkan aliran penurunan.

Berikutan penurunan kadar jangkitan penyakit berkenaan sekitar pertengahan Mei, pada 14 Mei 2020 lalu, Sultan  memperkenankan solat Jumaat boleh didirikan di 39 buah masjid terpilih di Selangor dengan jumlah mereka dibenarkan hadir tidak lebih 12 orang terdiri daripada kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. 

Bagaimanapun katanya, Sultan Selangor masih merasa bimbang dengan risiko jangkitan jika kawalan dilonggarkan yang boleh mengakibatkan nyawa rakyat di Selangor akan turut terancam.

Untuk itu, katanya, dengan perasaan  berat hati Baginda memutuskan tempoh larangan bagi mengerjakan solat Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu di masjid dan surau di negeri ini dilanjutkan sehingga 30 Jun 2020 kecuali bagi 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini untuk melakukan solat Jumaat dengan jumlah ditetapkan.


Bagaimana pun sebagai melaksanakan tuntutan fardu kifayah, waktu azan solat akan tetap berkumandang.

Solat fardu lima waktu boleh dilakukan seramai tiga orang iaitu Imam, Bilal dan Siak di masjid dan surau di Selangor. 

Selain itu, program ceramah melalui media sosial boleh terus dijalankan.

Semakkan semula larangan berkenan akan dilakukan selepas minggu pertama bulan Jun ini dan jika penularan pandemik berkenaan didapati menurun secara konsisten pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah solat Jumaat ditambah serta masjid dan surau dibuka lebih awal secara berperingkat-peringkat khusus di kawasan yang diketegorikan sebagai zon hijau.

Bagi memastikan keadaan segera pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid dan surau, Sultan Selangor menyeru rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup mulut dan hidung.

Juga perlu mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun JAIS.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sentiasa prihatin dan mengikuti perkembangan mutakhir wabak COVID-19 terutama yang melibatkan rakyat dan kawasan di Selangor. - Kredit foto: Selangorkini.


Sebelum ini pada 15 Mei 2020, Kerajaan Selangor melalui JAIS telah meyenaraikan beberapa masjid terpilih berstatus Masjid Negeri dan Masjid Daerah bagi melaksanakan solat Jumaat di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat.

Bagi peringkat pertama masjid yang diberi kebenaran ialah Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Masjid-masjid lain ialah Masjid Sultan Abdul Aziz, Pulau Indah, Pelabuhan Kelang; Masjid Sultan Suleiman, Kelang; Masjid Sultan Ala 'Ed Din, Banting; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Petaling; dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Sepang.

Manakala Masjid Daerah pula Masjid Jamek Rahimah, Kuala Kubu Bharu; Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor; Masjid Jamek Pekan Kajang; Masjid Jamek Sultan Hisham, Sabak Bernam; Masjid Jamek Ar Rahimah, Kelang; Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam; Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves; dan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Sepang.

Sementara itu, bagi masjid pengurusan (naik taraf) di negeri ini, kebenaran melaksanakan solat Jumaat telah bermula 22 Mei 2020 lalu.

JAIS juga memaklumkan masjid dan surau yang lain, kebenaran solat Jumaat yang tidak dinyatakan perlu kekal melaksanakan solat zohor pada hari Jumaat seperti yang telah ditetapkan. - KitaReporters

1
0
1
0
0
You will be interested