Seni & Sukan 19 Oct, 2021

Skuad B22! Diperkasa 4 senior Harimau Malaya, bek kelab Jerman! Buru tiket ke Piala Asia B23!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

SKUAD B22 Malaysia bakal berentap dalam Kumpulan J dengan Laos, Mongolia dan Thailand dalam Kelayakan Piala Asia B23. - Kredit foto: FAM



KEHADIRAN empat ‘senior’ Harimau Malaya dan seorang pemain yang berpangkalan di Jerman, menonjolkan ciri-ciri daya saing skuad Bawah 22 Tahun (B22) Malaysia dalam menghadapi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 (B23) 2022 di Mongolia mulai 25 Oktober 2021.

Mereka ialah penyerang KV Kortrijk di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin selain Mukhairi Ajmal Mahadi, Mohamad Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng yang beraksi dalam siri persahabatan tahap 1 antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan pada 6 dan 9 Oktober 2021 lalu.

Annil Vigneswaran merupakan benteng kelab Jerman, SGV Freiberg yang akan terus menyertai pasukan Harimau B22 itu yang berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada pukul 9.50 malam, 20 Oktober 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak

LUQMAN Hakim Shamsudin (9) bermodalkan aksi Liga Belgium, Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Jun 2021 lalu dan persahabatan di Amman. - Kredit foto: FAM 


QUENTIN Cheng mempunyai susuk tubuh yang besar dan wajar dimanfaatkan untuk skuad B22 Malaysia. - Kredit foto: FAM 


Namun agak diragui ialah sejauh mana keserasian dan persefahaman empat senior dan Annil dengan 18 lagi anggota pasukan yang sudah menjalani latihan pusat Fasa 1 sejak 25 Ogos 2021. 

Empat senior ini hanya mampu menyertai pasukan sejak Isnin, 18 Oktober 2021 kerana perlu menjalani kuarantin pencegahan Covid-19 selama dua minggu sekembalinya daripada kekalahan Harimau Malaya 4-0 dan 5-1 kepada Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan itu. 

Skuad belia negara kendalian Bradley Maloney ini bakal berdepan Laos pada 25 Oktober 2021 diikuti tuan rumah, Mongolia (28 Oktober 2021) dan Thailand (31 Oktober 2021) dalam Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B23 di  Stadium MFF, Ulaanbaatar.

Turut tersenarai ialah dua pemain baharu yang dipanggil ketika kem latihan pusat Fasa 2 iaitu Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC II) dan Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC 2).


MOHAMAD Hakimi Abdullah (17) mampu dipertaruhkan Bradley Maloney dalam kelayakan di Mongolia. - Kredit foto: FAM


Sembilan pemain yang diketepikan kerana masalah kecederaan ialah Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri, Firdaus Ramli, Alif Mutalib dan Chia Ruo Han (Johor Darul Ta’zim II) serta K. Thivandaran (PJ City FC).

Juga terlepas ke Mongolia termasuk penjaga gol Firdaus Irman Fadhil, Khairi Suffian Khaineyusri, Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (Selangor FC 2).

Dalam siri perlawanan pemanas badan di Arena MBSJ, Subang Jaya, Selangor, skuad B22 Malaysia menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 (18 Oktober 2021), Penang FC 2-1 (15 Oktober 2021) dan dikalahkan oleh Negeri Sembilan FC 2-1 (12 Oktober 2021).

Hanya juara 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik dalam kelayakan ini, bakal ke pusingan akhir Piala Asia B23 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022. - KitaReporters


BRADLEY Maloney yang kempunan membuktikan kemampuannya kerana Kejohanan Bawah 20 Tahun Asia dibatalkan pada 2020 akibat Covid-19, berpeluang melakukannya di Mongolia dengan B22 negara. - Kredit foto: FAM 


SKUAD B22 Malaysia (jersi kuning) mampu menyaingi lawan lebih senior dan berpemain import dalam siri tiga perlawanan pemanas badan dengan Negeri Sembilan FC (jersi merah), Penang FC dan Kedah Darul Aman FC. - Kredit foto: FAM 


 

B22 Malaysia (jersi kuning) menundukkan Penang FC (jersi putih) 2-1 di Subang Jaya. - Kredit foto: FAM

8
9
0
12
0
You will be interested